Pemimpin PKR saman 8 individu lepas tak dicalonkan semula

Pemimpin PKR saman 8 individu lepas tak dicalonkan semula

Seorang pemimpin PKR yang bertanding di kerusi DUN Rengit pada pilihan raya umum (PRU) lalu mengambil tindakan undang-undang selepas tidak dicalonkan semula di kerusi berkenaan.

Malik Faishal Ahmad mengemukakan saman terhadap Khairuddin A Rahim yang sebelum ini keluar daripada Amanah dan menyertai PKR serta tujuh individu lain.

Dalam surat tuntutan itu, Malik mendakwa tindakan itu telah menyebabkan dia hilang peluang untuk bertanding apabila mereka menghantar memorandum yang mengandungi tuduhan “fitnah” kepada kepimpinan PKR.

Individu-individu terbabit mendakwa mereka mendapat maklumat bahawa Malik meminta suapan puluhan ribu ringgit daripada kontraktor semasa menjadi ahli Majlis Perbandaran Batu Pahat ketika pentadbiran Pakatan Harapan.

Bagaimanapun Malik menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu.

“Akibat daripada perkataan-perkataan fitnah tersebut, anak guam kami telah kehilangan peluang untuk dilantik sebagai calon pilihan raya negeri Johor bagi kawasan N25 DUN Rengit yang telah dijanjikan,” menurut surat tuntutan yang dihantar melalui peguam Malik, Manian K Marappan.

“Perkataan-perkataan fitnah yang memfitnah anak guam kami dibawa ke skandal awam, kebencian dan penghinaan oleh rakan-rakan, kenalan-kenalan dan masyarakat awam di sekitar Batu Pahat dan Rengit dan juga pimpinan Parti Keadilan,” tambahnya.

Berdasarkan dokumen yang dilihat Malaysiakini, lapan individu itu menghantar memorandum berkenaan kepada pemimpin tertinggi PKR dengan mendakwa pemimpin tertentu dari PKR, Amanah dan Bersatu menerima suapan puluhan ribu ringgit di atas kelulusan kerja-kerja yang ditawarkan oleh Majlis Perbandaran Batu Pahat kepada kontraktor.

Mereka memaklumkan kepimpinan PKR bahawa Pakatan Harapan Batu Pahat tidak boleh menerima individu yang didakwa menerima rasuah dan tidak berintegriti untuk memimpin mereka dan “apatah lagi untuk menjadi calon pilihan raya”.

Malik, yang dilantik sebagai penyelaras PKR Rengit tahun lepas, menuntut Khairuddin dan tujuh yang lain menarik balik kenyataan mereka dan mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka.

Dia juga menuntut ganti rugi dan kos yang dialami berikutan kenyataan mereka dengan jumlah kuantum harus dipersetujui pihak terlibat.

Mereka juga diberi tempoh selama tujuh hari daripada tarikh notis itu untuk memberikan sebarang maklum balas.

‘Sokongan siasatan tak semestinya bersalah’

Sementara itu, Khairuddin ketika dihubungi mengesahkan telah menerima surat tuntutan daripada Malik dan telah merujuk perkara itu kepada peguamnya.

Menurut bekas Adun Amanah itu, dia hanya menyokong “rakan” yang melaporkan dakwaan rasuah kepada parti itu dengan harapan siasatan dijalankan.

“Saya kata saya menyokong siasatan tu. Apa-apa pun kalau orang bawa saya sokong untuk disiasat. Sesiapa pun tapi tak semestinya bersalah

“Ia bukan tuduhan. Pasal dia kata kita tuduh, kita tak tuduh dia.

“Ini internal problem (masalah dalaman), ia bukan dibawa keluar. Sebab dia kata dia tak dapat bertanding sebab benda (tuduhan) tu. Saya pun tak tahu, saya pun tak dapat komenlah kerana benda tu ke, wallahualam,” katanya.

Khairuddin berkata dia percaya kes itu tidak akan menjejaskan kempennya di kerusi DUN Rengit.

Malaysiakini difahamkan nama Malik pada awalnya disenarai sebagai calon yang sepatutnya diumumkan pada 14 Feb.

Bagaimanapun, pengumuman untuk kerusi DUN Rengit dan enam kerusi lain ditangguhkan pada saat-saat akhir.

Semasa pengumuman calon pada 19 Feb, Presiden PKR Anwar Ibrahim sebaliknya mengumumkan Khairuddin sebagai calon di Rengit.

Khairuddin merupakan penyandang kerusi DUN Senggarang. Mk

Pemimpin PKR saman 8 individu lepas tak dicalonkan semula


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Rumah Kampung di Bota berusia lebih 100 tahun dialih ke Alor Setar

Pesawat MAS Mendarat Sewaktu Taufan Eunice Melanda UK (Video)

Ogy belasah Nazief, viral sehingga ke Rusia (Video)

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker