AED bantu atasi kematian mengejut

Sebaran :

AED bantu atasi kematian mengejut

Oleh DR. ISKANDAR MIRZA AMRAN

SERING kali kita digemparkan dengan berita kematian mengejut seseorang individu yang berlaku di kawasan awam dan ia boleh terjadi di mana-mana tidak mengira masa.

Ia biasanya terjadi apabila seseorang jatuh pengsan secara tiba-tiba dan biasanya orang yang berada di sekeliling akan panik.

Jika anda berjalan di satu kawasan dan melihat seseorang tiba-tiba pengsan di tepi jalan atau di tempat awam, apakah tindakan terbaik bagi menolong mangsa?

Pada kebiasaannya, tindakan awal yang dilakukan adalah proses bantuan pernafasan (CPR) sebelum menunggu bantuan paramedik tiba ke lokasi kejadian.

Atas dasar itulah, kepentingan CPR sudah menjadi semakin popular dalam kalangan masyarakat pada masa ini.

Kita dapati, semakin ramai orang awam mendaftar untuk mengikuti kursus CPR sama ada secara bersemuka atau online.

Dengan mengetahui cara terbaik dan optimum untuk melakukan CPR, mangsa mempunyai harapan yang tinggi untuk bernafas semula.

Salah satu alat yang akan meningkatkan keberkesanan CPR adalah peranti yang dinamakan Automated External De brillator atau nama singkatannya AED.

AED adalah suatu peranti yang dapat menganalisa denyutan jantung dan memberi nasihat kepada penyelamat sama ada untuk menyampaikan arus renjatan kepada mangsa.

Oleh itu, AED seharusnya ada di kawasan awam terutamanya di sekolah, lapangan terbang, hospital, klinik, pusat beli-belah dan taman rekreasi.

Semasa melakukan CPR, pad AED akan diletakkan di bahagian dada mangsa dan renjatan akan disampaikan jika pesakit mempunyai denyutan jantung yang tidak sekata.

Ia melibatkan kadar darah yang dipam oleh jantung terlalu minimum untuk disalurkan ke organ penting seperti otak, jantung dan buah pinggang.

Jika pengaliran darah terlalu sedikit kebahagian otak, mangsa boleh mendapat serangan strok.

Dengan itu, adalah sangat penting untuk kita memberi CPR yang berkualiti dan dengan adanya peranti AED, denyutan jantung tidak sekata dapat dipulihkan dan kadar untuk mangsa sedar atau pulih daripada kematian secara mengejut adalah tinggi.

Di samping itu, perlu diingat cara penggunaan AED amat mudah iaitu menghidupkan suisnya terlebih dahulu.

Kemudian, buka pakaian mangsa di bahagian dada, pastikan dada tidak mempunyai bulu yang tebal.

Permukaan dada yang basah atau mempunyai pelekat berubat yang boleh mengurangkan keberkesanan AED untuk menganalisa rentak jantung mangsa.

Jika dada mangsa mempunyai bulu yang tebal, di kotak AED mempunyai dua set pad elektrod, gunakan set pertama untuk menanggalkan bulu di bahagian berkenaan.


LATIHAN CPR yang ternyata dapat menyelamatkan nyawa mangsa yang pengsan secara tiba-tiba perlu dipelajari oleh semua orang agar teknik yang betul dapat diberi apabila berlaku kejadian tidak terduga. – GAMBAR HIASAN

Seterusnya, pasangkan pad elektrod di bahagian dada mangsa.

Semasa AED menganalisa rentak jantung, pastikan tiada sesiapa yang menyentuh mangsa.

Jika AED mengesan rentak jantung yang tidak normal, ia akan memberi nasihat kepada anda untuk menyampaikan renjatan kepada mangsa.

Jika ini berlaku, pastikan semua orang berdekatan tidak menyentuh mangsa sebelum anda menekan butang renjatan.

Selepas menekan butang tersebut, mulakan semula CPR selama dua minit sehingga AED memulakan analisa rentak jantung seterusnya.

Ikuti arahan yang diberi oleh AED sehingga mangsa sedar atau ambulans sampai.

Dengan adanya peranti AED, kita dapat menyelamatkan nyawa.

Alat ini seharusnya diwajibkan di semua kawasan awam sama seperti adanya alat pemadam kebakaran yang diwajibkan di semua tempat.

Saya juga menyarankan untuk semua sekolah menengah atau universiti untuk mengadakan program CPR dan penggunaan AED agar semua rakyat Malaysia bersedia untuk memberi bantuan itu di mana mana sahaja jika berhadapan dengan situasi di atas. K Online

————————————————————————————————————

DR. ISKANDAR MIRZA AMRAN ialah Felo Kardiologi dan Pakar Perubatan Dalaman, Institut Jantung Negara.

AED bantu atasi kematian mengejut


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


TMJ salah tafsir kos – Faizal Azumu


Sebaran :

Leave a Reply