Perkataan ‘big boss’ merujuk kepada Guan Eng – Saksi

Perkataan ‘big boss’ merujuk kepada Guan Eng – Saksi

Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini, bahawa ‘CM’ yang merujuk kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan ‘big boss’ adalah individu yang sama.

Kenyataan itu diberikan Zarul Ahmad, 65, yang juga saksi utama dan pendakwaan ke-23 ketika pemeriksaan utama peguam Guan Eng, Haijan Omar, membabitkan RM2 juta yang diberi kod nama ‘coklat’ diserahkan pengarah CZCSB itu melalui ahli perniagaan, G Gnanaraja kepada ‘big boss’.



Zarul Ahmad juga tidak bersetuju dengan cadangan Haijan bahawa beliau tidak menyebut memberi ‘coklat’ untuk ‘CM’ (yang dimaksudkan Guan Eng) disebabkan orang berbeza.

Haijan: ‘CM’ merujuk kepada Guan Eng?

Zarul Ahmad: Ya.

Haijan: ‘Big boss’ merujuk kepada PM (Perdana Menteri) ketika itu, Datuk Seri Najib Razak?



Zarul Ahmad: Tak setuju.

Haijan: Dalam WhatsApp, Datuk (Zarul) hanya sebut menyerahkan coklat untuk ‘big boss’ kepada Gnanaraja?

Zarul Ahmad: Ya.

Haijan: Datuk tak sebut penyerahan wang untuk ‘CM’ kepada Gnanaraja?



Zarul Ahmad: Ya tak sebut.

Haijan: Datuk juga tak sebut kepada Gnanaraja untuk serahkan wang atau ‘coklat’ untuk PM atau Najib?

Zarul Ahmad: Tak sebut.

Zarul Ahmad menjawab soalan terbabit pada prosiding pembelaan untuk mencabar kredibilitinya.



Prosiding itu untuk menentukan sama ada wujud percanggahan pernyataan Zarul Ahmad, dalam kes penipuan Gnanaraja di Mahkamah Sesyen Shah Alam, dengan kes rasuah Guan Eng berhubung lot tanah Kerajaan Pulau Pinang, berkaitan projek terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion.

Pada 24 Oktober tahun lalu, pihak pembelaan memohon mendapatkan salinan pernyataan Zarul Ahmad kerana kedua-dua dokumen itu diperlukan bagi membolehkan pihaknya memulakan prosiding mencabar kredibiliti beliau.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 63, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan RM3.3 juta.

Ia bagi membantu syarikat Zarul Ahmad dilantik bagi melaksanakan Projek Pembinaan Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702.



Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari 2011 hingga Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, beliau dituduh meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi projek sama berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City antara jam 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Guan Eng juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek sama di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Zarul Ahmad mengesahkan ‘coklat’ disediakan disebut olehnya dan bukan ahli perniagaan terbabit.



Bagaimanapun, beliau tidak bersetuju apabila perbualan itu dikatakan hanya merujuk kepada satu penyerahan wang saja pada 18 Ogos 2017?

Prosiding mencabar kredibiliti saksi di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung hari ini. BH

Perkataan ‘big boss’ merujuk kepada Guan Eng – Saksi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker