Fatwa sumber rujukan ummah

Fatwa sumber rujukan ummah

oleh Datuk Mohd Ajib Ismail

Fatwa seringkali menjadi perhatian dan rujukan umat Islam apabila berhadapan dengan pelbagai isu semasa berkaitan hukum agama. Sesuatu fatwa diperlukan bagi menjawab sebarang permasalahan yang dikemukakan masyarakat tentang perkara yang tidak mempunyai hukum jelas daripada sumber al-Quran dan al-Sunnah. Sebagai contoh, beberapa bulan yang lalu, fatwa berkaitan pengharaman rokok, vape dan e-cigarette kembali menarik perhatian apabila Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Tembakau dan Merokok 2022 dibentangkan di Dewan Rakyat dalam usaha melahirkan generasi yang bebas daripada tabiat merokok.

Fatwa secara umumnya dapat difahami sebagai pandangan atau penjelasan mengenai hukum syarak daripada mufti dan institusi kefatwaan sama ada diwartakan oleh pihak kerajaan ataupun tidak. Amalan merujuk kepada pandangan ilmuwan dan mufti dalam merungkai permasalahan agama adalah selaras dengan firman Allah SWT dalam al-Quran pada Surah al-Nahl ayat 43 yang bermaksud: “Dan tidaklah Kami mengutus rasul sebelummu (wahai Muhammad), melainkan daripada kalangan orang lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.”

Perkara itu juga bersesuaian dengan kaedah yang dibahaskan oleh ulama iaitu mazhab orang awam adalah berdasarkan fatwa muftinya.

Ulama yang muktabar memberikan fatwa berdasarkan manhaj dan pendekatan tertentu melalui keilmuan, keikhlasan, amanah serta berhati-hati dalam mengeluarkan sesuatu hukum. Misalnya Imam al-Syafii diketahui dengan fatwa yang mengambil kira situasi masyarakat setempat sehingga menghasilkan dua himpunan pandangan ketika berada di Iraq iaitu ‘qaul qadim’ dan ketika berada di Mesir iaitu ‘qaul jadid’. Dalam hal itu, Ibn Qayyim al-Jawzi menyatakan terdapat satu kaedah bahawa fatwa boleh berubah berdasarkan perubahan tempat, zaman, situasi, motif (niat) dan risiko. Justeru kajian dan penilitian amat diperlukan di samping menguruskan khilaf atau pandangan yang berbeza dan mentarjihkan dalil yang bercanggahan agar fatwa yang dikeluarkan benar-benar berperanan menyantuni permasalahan yang dihadapi oleh ummah. Perkara itu seiring dengan pandangan Imam al-Syafii sendiri yang menyatakan bahawa sesuatu ilmu (hukum) itu diambil daripada dalil yang lebih kuat.

Ajaran Islam melalui keseluruhan syariatnya adalah bersifat syumul (menyeluruh) dan murunah (anjal) yang sesuai pada setiap zaman serta tempat. Justeru sifat itu mesti diterjemahkan dalam kehidupan seharian masyarakat melalui pandangan hukum atau fiqh yang meraikan keperluan zaman. Perkara itu juga demi mengelakkan hukum-hakam Islam menjadi jumud dan beku ketika berhadapan dengan perubahan zaman, situasi serta tempat. Satu fatwa yang berkualiti dibuat dengan mengambil kira metode yang digunakan oleh ulama silam, menganalisis penulisan kitab silam dan mengambil kira situasi hukum yang diguna pakai. Dalam hal ini, Imam al-Shafii menyatakan bahawa seseorang itu tidak diperintahkan agar berhukum dengan sesuatu kebenaran sehinggalah dia (benar-benar) mengetahui kebenaran tersebut. Pendekatan inilah yang digunakan oleh ilmuwan terkemuka seperti Yusuf al-Qaradawi, Muhammad Abu Zahrah dan Muhammad al-Ghazali yang mengeluarkan pandangan hukum berpandukan analisis nas serta konteks semasa dengan mengutamakan proses saringan data serta mengambil kira penemuan baharu.

Di dalam mengeluarkan sesuatu fatwa, al-Shatibi menegaskan bahawa pentarjihan di antara pandangan yang ada itu perlu dilakukan demi menjauhkan diri daripada mengikut hawa nafsu di samping menjamin hukum yang dikeluarkan lebih mencapai matlamat syarak atau maqasid al-syariah. Fatwa dan ijtihad itu akhirnya akan membawa umat Islam amnya dan ulama serta ahli akademik Islam khususnya kepada percambahan pemikiran dengan memanfaatkan kekuatan akal, perdebatan dan perbincangan serta kajian yang bertujuan membawa kebaikan kepada ummah. Perkara itu, sekali gus menyerlahkan bahawa syariat Islam adalah sesuai diamalkan sepanjang zaman.

Golongan cendiakawan, ahli akademik dan alim ulama perlu memainkan peranan untuk melihat permasalahan yang timbul serta menerangkan hukumnya berdasarkan pandangan mazhab tertentu. Jika tidak ada perbahasan dalam perkara berkenaan, maka mereka perlu menggunakan daya pemikiran untuk mengeluarkan hukum berdasarkan sumber perundangan syariat dan pandangan ulama muktabar dengan syarat memenuhi tuntutan maqasid syariah.

Dalam sesetengah kes berkaitan kesalahan jenayah syariah, fatwa diperlukan bagi membolehkan pihak berkuasa agama seperti Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap kesalahan yang dilakukan. Bahkan kesalahan melanggar fatwa turut disenaraikan sebagai satu kesalahan jenayah syariah di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997. Di Malaysia apabila sesuatu fatwa telah diwartakan, ia dianggap sebagai undang-undang dan setiap individu Muslim di negeri berkenaan terikat dengan fatwa itu. Sebagai contoh di Wilayah-Wilayah Persekutuan, sesiapa yang melanggar fatwa yang diwartakan akan dianggap melakukan kesalahan dan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 9 iaitu menghina atau mengingkari pihak berkuasa agama dan Seksyen 12 iaitu pendapat yang bertentangan dengan fatwa berdasarkan Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 Akta 559.

Di peringkat Persekutuan, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) atau nama lamanya iaitu Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia ditubuhkan sejak awal 1970 sebagai platform yang membincangkan isu semasa daripada perspektif hukum-hakam agama. Pelbagai kajian dibentangkan oleh ahli yang berkepakaran dalam bidang masing-masing termasuk sains dan perubatan sebelum sesuatu pandangan hukum dimuktamadkan. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut membangunkan portal Sumber Maklumat al-Ahkam al-Fiqhiyyah atau e-SMAF yang menghimpunkan fatwa dan pandangan hukum bagi rujukan masyarakat. Di peringkat Wilayah Persekutuan, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan juga menyediakan kemudahan portal e-Fatwa di samping Irsyad Fatwa, Bayan Linnas dan Al-Kafi Li-Al-Fatawi yang boleh dijadikan sumber rujukan hukum berkaitan isu semasa sebagai pencerahan kepada ummah.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Fatwa sumber rujukan ummah

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker