‘Instafamous’ mengaku tidak bersalah miliki beg, kasut dan baju berjenama tiruan untuk jualan


KUALA LUMPUR: Seorang ‘instafamous’ wanita yang sebelum ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki pelbagai barangan tiruan antaranya beg Chanel, kasut Gucci dan baju Louis Vuitton bagi maksud perdagangan, sekali lagi menukar pengakuannya di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Pada 8 April lepas, Nur Ilyana Mohtada, 27, atau lebih dikenali sebagai Illey, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan atas pertuduhan itu di Mahkamah Sesyen lain yang membenarkannya diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Hari ini, OKS menukar pengakuannya kepada bersalah sebaik pertuduhan dibacakan semula di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Emelia Kaswati Mohamad Khalid.

Bagaimanapun, selepas fakta kes dibacakan wanita itu sekali lagi menukar pengakuan kepada tidak bersalah dan mahkamah menetapkan 31 Mei untuk sebutan semula kes serta lantikan peguam.

Nur Ilyana didakwa memiliki 31 helai baju, 13 pasang kasut, 16 beg, lima dompet dan seutas tali pinggang berjenama Chanel, Gucci, Balenciaga dan Louis Vuitton dengan cap dagangan berdaftar yang disenaraikan dengan salah bagi maksud perdagangan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di KL Runaway, Jalan Gombak, Kampung Sungai Merali di sini pada 12 tengah hari 24 Jun 2020 mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2020 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 102(1)(ii) akta sama yang memperuntuk hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM10,000 bagi setiap barang yang dipakaikan salah cap atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Bernama

Instafamous Nadira mohon maaf, padam gambar dengan PU Amin

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker