Sudahlah Hadi, tunggu je 4 tahun lagi

Sudahlah Hadi, tunggu je 4 tahun lagi

oleh Hishamuddin Aun

Ditanya oleh Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer pada sidang Parlimen 13 Sept lalu mengenai percubaan Perikatan Nasional (PN) hendak menukar sebuah kerajaan yang diilhamkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Presiden PAS Hadi Awang dalam ketawa kecil menganggapnya sebagai soalan ‘bola tanggung’.

“Adakah ia juga merupakan satu perkara yang haram?” soal Rayer yang menemukan jawapan Ahli Parlimen Marang itu: “Mengikut proses demokrasi berparlimen, kerajaan boleh ditukar sama ada melalui undi tak percaya di Parlimen ataupun boleh dapat SD (akuan berkanun) Ahli-ahli Parlimen ataupun kerajaan bubar pilihan raya semula. Ini boleh buat, tak salah di mana Agong di bawah Perlembagaan.”

“Tapi menghasut..?” soal Rayer lagi, kali ini mendapat jawapan lebih tegas Tok Guru: “Tak hasut, kalau saya hasut buat repot polis sekali lagi, tak apalah.” Baik salah mahupun menghasut seperti yang kita faham daripada PAS ialah apabila ia diperlakukan ke atas parti itu tapi tidak jika mereka yang melakukannya ke atas pihak lain.

Terbaru, Hadi kata PN masih berusaha memujuk pemimpin Umno yang tidak menyokong kerjasama parti itu dalam kerajaan perpaduan untuk bergabung dengan mereka. Melanjutkan hujahnya, pencalonan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar pada PRK Kemaman 2 Dis ini persediaan untuk PN mengambil alih pentadbiran kerajaan. Nah itulah tujuan sebenarnya untuk memancing sokongan pengundi pada PRK berkenaan daripada dirampas Barisan Nasional (BN).

Seperkara yang harus diakui ialah Hadi sangat konsisten – konsisten dalam kenyataannya untuk menukar kerajaan yang ada. Dari selepas PRU15 Nov tahun lalu lagi, beliau tidak jemu-jemu mengulangi hasrat yang sama dengan garis masa yang berubah-ubah daripada sebelum PRN enam negeri 12 Ogos lalu, yang dikatakannya sebagai pungutan suara terhadap kepemimpinan Anwar Ibrahim, malah selepas PRN enam negeri yang menyaksikan status quo 3:3, PRK Pulai 9 Sept, dan kini menjelang PRK Kemaman pula.

Di sebalik semua jangkaannya itu tidak menjadi dan istilah “cukup jumloh” yang sering dicanangkannya menjadi bahan persenda, timbalan pengerusi Perikatan Nasional itu tidak serik mengulanginya umpama memainkan piring hitam lama secara berulang-ulang hanya untuk mencetuskan polemik politik bagi menagih reaksi lawan.

Rasanya bukan saja penyokong Pakatan Harapan-BN tidak mempercayainya, malah penyokong PN, termasuk PAS, turut tidak meyakininya, tambahan dengan empat Ahli Parlimen Bersatu baru-baru ini menyatakan sokongan terhadap kepemimpinan Anwar sehingga PRU16, yang jangkaannya pada 2027 nanti.

Cuma kali ini, kenyataan Hadi itu mungkin didorong oleh dua perkembangan yang memihak kepadanya. Pada 15 Nov lalu, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan calon BN untuk membatalkan kemenangan Hadi dengan majoriti 41,729 undi bagi kerusi Parlimen Marang pada PRU15 lalu. Panel tiga hakim mendapati calon BN Jasmira Othman gagal membuktikan dakwaan presiden PAS itu merasuah pengundi melampaui keraguan munasabah. Ia memberikannya legitimasi untuk terus memainkan polemik nak menukar kerajaan.

Kemudian, satu hasil tinjauan Merdeka Center Rabu lalu mendapati penarafan Anwar sebagai perdana menteri menurun selepas setahun pentadbirannya. Penarafan kerajaan perpaduan ketika ini berada pada tahap 41% berbanding 54% pada Disember tahun lalu, dengan tahap tidak puas hati terutama berkaitan ekonomi meningkat kepada 43% daripada 19%. Hadi harus melihat kedudukan kerajaan perpaduan ketika ini di tahap paling lemah lantas mendorong serangan. Tapi betulkah begitu?

Ia tiada pun beza dengan kenyataan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin 3 Nov lalu yang mendakwa majoriti rakyat mahu PN mengambil alih pentadbiran kerajaan pusat. Hanya dengan memetik beberapa komen di media sosial, Hamzah menyimpulkan ramai rakyat mengkritik kerajaan perpaduan konon kerana gagal menyelesaikan isu penting sehingga menjejaskan mereka. Lantaran itu, majoriti rakyat dikatakan mahu PN mengambil alih pentadbiran kerajaan pusat. Boleh?

Kalau hendak ditumpukan kepada laporan yang ada konotasi negatif terhadap Anwar dan kerajaan pimpinannya, tentu ada banyak. Tak perlu tunggu Hadi mahupun Hamzah kerana itu memang kerja kedua-duanya untuk mengapi-apikan kritikan dan penolakan. Jika hendak dicari laporan negatif terhadap Hadi dan Hamzah pula, tak terbilang jumlahnya di sebalik mereka bukan pun mengetuai kerajaan. Jadi, tidak perlu pun dilayan.

Tapi itu tidak juga bermakna Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi tidak boleh menyanggah Hadi daripada polemik yang dicetuskannya kerana memang itu pun yang dimahukan presiden PAS itu untuk kekal relevan. Akmal berkata kenyataan Hadi itu hanya menyebabkan rakyat ‘terseksa’ dengan permainan orang politik yang membuat percaturan berkenaan, sambil Puad menterjemahkannya sebagai membuktikan ‘nafsu besar’ PAS menubuhkan kerajaan ‘tebuk atap’. Kata satu perumpamaan Inggeris (talk is cheap) bahawa cakap-cakap semata-mata benda murahan dan wajar cakap-cakap Hadi itu dibiarkan saja demikian.

Sebaliknya, berlawanan dengan dapatan Merdeka Center itu, ada juga dilaporkan pakar-pakar ekonomi memuji pencapaian Anwar sebagai perdana menteri dan menteri kewangan selepas genap setahun khidmatnya di sebalik keluh-kesah rakyat terhadap peningkatan kos sara hidup. Profesor ekonomi di Sunway Business School Yeah Kim Leng, Geoffrey Williams dari Malaysia Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, serta penasihat Pacific Research Center of Malaysia Oh Ei Sun antaranya mengkredit Anwar kerana meluncurkan inisiatif Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat. Analisis mereka lebih layak dihadamkan.

Anwar yang menyifatkan laporan kaji selidik oleh Merdeka Center itu tidak mewakili suara keseluruhan 32 juta rakyat kerana dapatannya adalah berdasarkan pandangan 1,200 responden sahaja, sebaliknya yakin Malaysia akan menjadi negara hebat di rantau ini dalam tempoh dua atau tiga tahun.

Genap setahun menjadi perdana menteri semalam, beliau berharap pentadbiran kerajaan perpaduan kekal untuk empat tahun lagi tanpa digugat mana-mana pihak. Tentunya ia boleh diinterpretasi dengan pelbagai tafsiran tapi ia juga jawapan paling lantang terhadap Hadi supaya beristiqamah dan bersabar untuk tempoh empat tahun lagi sebelum mengulangi cakap-cakapnya untuk menukar kerajaan. Ia akan mengelakkan “bola tanggung” ke atasnya pula, apatah lagi tiga pilihan yang disebutnya awal tadi tiada petanda akan berlaku.

Kalau pun diulanginya selepas PRK Kemaman lebih seminggu lagi, maka Akmal dan Puad harus menerimanya sebagai isyarat daripada Hadi supaya laporan polis dibuat terhadapnya. FMT

Sudahlah Hadi, tunggu je 4 tahun lagi

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Kriteria pemilihan tentera Al-Qassam

PU Syed tegur usahawan sensasi isu solat lepas subuh

Perebutan kuasa bakal berlaku di dalam Bersatu

Sikap ‘Humble’ Siti Nurhaliza, didedahkan Asyraf Khalid

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker