Imej 4 anak Harimau Malaya dirakam, suatu harapan baharu

Imej 4 anak Harimau Malaya dirakam, suatu harapan baharu

Usaha menangani isu populasi Harimau Malaya menemui harapan baharu susulan penemuan terkini membabitkan hidupan liar yang diancam kepupusan itu, awal tahun ini.

Menerusi imej dikongsikan Tabung Hidupan Liar (WWF), empat anak harimau itu dilihat bersama ibunya dengan tiga di hadapan, manakala seekor lagi di bahagian kanan.

Secara purata, Harimau Malaya atau Panthera tigris jacksoni melahirkan dua hingga empat anak setiap dua tahun.

Haiwan itu juga berupaya bunting lagi dalam tempoh lima bulan, jika semua anak dalam seperinduknya mati.

Keadaan itu perlu mengambil kira sama ada Harimau Malaya betina mendapat pasangan sihat dan mempunyai keadaan sesuai bagi pembiakan.

Sambutan Hari Harimau Global

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif WWF-Malaysia, Sophia Lim, menyifatkan penemuan spesies itu sebagai perkembangan dialu-alukan, khususnya menjelang sambutan Hari Harimau Global, bulan ini.

“Perkembangan ini memberi harapan baharu untuk menyelamatkan spesis terancam kritikal ini daripada ambang kepupusan susulan populasinya kini kurang daripada 150 ekor di seluruh Semenanjung.

“Justeru, rondaan berterusan sangat penting untuk dilakukan bagi melindungi harimau dan anaknya daripada ancaman pemburu haram dan kehilangan habitat sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Kurang 150 ekor harimau di hutan

Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor menyatakan iltizam kerajaan menangani isu populasi Harimau Malaya di hutan negara yang kini dilapor berjumlah kurang daripada 150 ekor.

Perdana Menteri berkata, Malaysia berdepan risiko kepupusan Harimau Malaya yang menjadi simbol Jata Negara, lambang negeri serta pelbagai kementerian, jabatan dan agensi jika tindakan segera tidak diambil.

Antara faktor kepupusan ialah disebabkan kehilangan habitat dan sumber makanan akibat perubahan guna tanah, pemburuan serta perdagangan haram, selain penularan virus canine distemper.

Royal Belum seluas 117,500 hektar sesuai untuk harimau

Mengulas penemuan anak harimau itu, Pengarah Perbadanan Taman Negeri Perak, Shah Redza Hussein berkata, lokasi berkenaan muncul sebagai habitat sesuai dengan ketersediaan mangsa sebagai makanan, sekali gus membolehkannya membiak.

“Kita memerlukan usaha antipemburuan haram berterusan yang lebih kukuh bagi memastikan anak harimau ini selamat daripada pemburu haram dan mampu bertahan sehingga dewasa.

“Ia memerlukan usaha kolaboratif. Ini adalah bukti harimau masih boleh mendiami semula, jika habitat, makanan dan keselamatan terjamin dengan populasi berdaya maju, walaupun kecil,” katanya.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung, pasukan antipemburuan haram WWF-Malaysia dan Unit Peronda Orang Asli Menraq PSPC kerap membuat rondaan di Taman Negeri Royal Belum, meliputi kawasan seluas 117,500 hektar.

Pelaksanaan rondaan yang kerap berjaya mengurangkan kegiatan pemburuan haram kepada hampir 98 peratus.

Undang-undang lebih ketat bagi jenayah hidupan liar juga dijangka berkuat kuasa bulan ini dengan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2020 (Akta 716) menjadikan denda maksimum meningkat kepada RM1 juta berbanding RM500,000, bagi pesalah.

Dua lagi kejayaan penting membanteras kegiatan pemburuan haram adalah penubuhan Pasukan Petugas Harimau Kebangsaan, diketuai Perdana Menteri serta penubuhan Biro Jenayah Hidupan Liar di bawah Polis Diraja Malaysia.

WWF-Malaysia dengan kerjasama Maybank akan mengadakan Hari Harimau Global dengan tema ‘Roar For Life Eco-Festival’ dijadual diadakan di Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pada 30 dan 31 Julai ini. BH

Imej 4 anak Harimau Malaya dirakam, suatu harapan baharu


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Ain Edruce pengacara baru Melodi

Lelaki Melayu Pertama ‘Catwalk’ Di Paris Fashion Week

Fizi ‘naik hantu’ perbuatan Shakilla?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker