Pensyarah UiTM didakwa buat gangguan seksual


Pensyarah UiTM didakwa buat gangguan seksual

Seorang pensyarah yang mengajar di sebuah kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Selangor didakwa melakukan pengantunan seksual (sexual grooming) dan menggangu bekas pelajarnya.

Beberapa mangsa menceritakan kepada Malaysiakini pengalaman mereka bersama pelaku yang masih mengajar di universiti tersebut.

Semua nama telah diubah untuk melindungi identiti mereka yang terlibat.



Menurut Sofia, dia yang mula bergelar pelajar UiTM pada tahun 2018 tidak menyangka perkara itu berlaku.

“Saya tidak pernah menyangka dia adalah pemangsa seksual apabila dia mula mendekati saya sejak semester pertama. Dia kata dia jatuh cinta dengan saya.

“Saya abaikan pada awalnya dan benar-benar sangka (mungkin) menyukai saya.

“Saya bingung kerana dia berlagak baik dengan saya dan rakan-rakan di kelas, tetapi di WhatsApp, dia adalah orang yang berbeza sama sekali,” tambahnya.



Pelajar itu juga berkata pensyarah berkenaan mengajaknya keluar ‘dating’ dan membelikannya hadiah, meskipun menjalinkan hubungan dengan wanita lain pada masa sama.

Sofia berkata dia hanya tahu mengenai niat tidak jujur pensyarah berkenaan setelah bertemu Farah yang mendedahkan pelaku berkenaan juga meluahkan perasaan sama padanya.

Farah memberitahu Malaysiakini bahawa dia tidak pernah mempersoalkan niat pensyarah itu sehinggalah baru-baru ini, memandangkan pensyarah berkenaan adalah mentornya dan mereka mempunyai hubungan rapat.

Melalui tangkap layar yang dimuat naik di Twitter, pensyarah yang berusia 30-an itu memberitahu Farah bahawa dia secara diam-diam meminatinya ketika dia menjadi mentor kepada pelajar berkenaan.



Pensyarah itu juga meluahkan kepada Farah bahawa dia mendambakan rasa sayang yang lebih “dewasa” dan lebih banyak “dosa”.

Dalam sebuah artikel yang dilaporkan oleh Says, 15 mangsa tampil menunjukkan perbualan secara peribadi dengan pensyarah sama yang membuat komen seksual terhadap mereka.

Says melaporkan pelaku yang didakwa biasanya akan mengundang pelajar perempuan untuk makan malam atau memberikan bunga dan barang-barang lain, termasuk pakaian dalam, sebagai hadiah.

Malah dia juga menawarkan untuk membeli kondom kepada bekas pelajarnya pada sambutan ulang hari jadi bagi melakukan seks yang selamat pada masa akan datang.



“Apa brand yang awak nak? Tapi nanti bazir, pakai sekali takleh pakai dah.

“Kalau lingerie tu I nak tengok you pakai baru boleh bagi,” tulis pensyarah berkenaan berdasarkan tangkapan layar yang diterbitkan dalam artikel Says.

Sementara itu, Azmira yang belajar di bawah pensyarah itu pada tahun 2019 dan 2020 – memberitahu Malaysiakini bahawa pelajar diminta menghantar catatan mingguan kepadanya, di mana mereka berkongsi perkara yang sangat peribadi seperti hubungan dan masalah kesihatan diri.

Dia berkongsi tulisan yang ditulis di salah satu diari hariannya yang berbunyi: “Boyfriend tak boleh, skandal boleh?” (Sekiranya saya tidak boleh menjadi teman lelaki anda, bolehkah saya menjadi skandal anda?).



Dia berkongsikan catatan yang ditulisnya dalam salah satu buku hariannya yang berbunyi: “Boyfriend tak boleh, skandal boleh?”

Farah mengatakan pada awalnya dia tidak menyedari betapa ‘menyeramkan’ pensyarah itu sehingga melihat ramai wanita mencemuhnya di Twitter.

“Kami – saya dan rakan sekelas – tak boleh nak hadam kerana dia begitu baik dan prihatin (terhadap kami), walaupun itu nampak luaran.

“Dia berlagak seperti ayah (kepada kami), jadi kebanyakan kami tidak mengesyaki atau perasan sesuatu,” katanya.



Amalan yang dilakukan pelaku untuk membina kepercayaan dengan menyasarkan mangsa yang lemah untuk mengeksploitasi mereka secara seksual dikenali sebagai pengantunan.

Amalan seumpama ini kebiasaannya dikaitkan dengan pengantunan orang dewasa terhadap kanak-kanak untuk mendapatkan seks, tetapi juga boleh berlaku di antara orang dewasa.

Pengantunan kanak-kanak adalah jenayah di Malaysia, tetapi bukan jenayah khusus apabila melibatkan mangsa yang dewasa.

Azmira memberitahu Malaysiakini bahawa pada mulanya dia tidak akan pernah menganggap dirinya menjadi mangsa pengantunan seksual.

“Siapa sangka lelaki dewasa berusia 30-an akan tertarik dengan remaja?

“Sekarang, mungkin ya (pengantunan seksual) kerana melihat bagaimana dia mengarut tentang kehidupan peribadi kami, dia mungkin melakukan itu untuk mendapatkan kepercayaan kami atas sebab itu,” katanya.

Malaysiakini cuba menghubungi pensyarah berkenaan untuk mendapatkan respon.

Lapor kepada pihak berkuasa

Ketika ditanya adakah mereka melaporkan tindakan pensyarah itu kepada UiTM, ketiga-tiga mangsa yang dihubungi Malaysiakini mengatakan mereka hanya menyedari niat pensyarah itu setelah mereka meninggalkan universiti.

Kedua-duanya, Sofia dan Farah mengatakan mereka tidak berniat membuat laporan polis tetapi akan tampil bagi membantu pihak berkuasa jika mengambil tindakan terhadap pensyarah tersebut.

Sementara itu, Azmira sedang mempertimbangkan untuk membuat laporan jika dibenarkan keluarganya.

Namun, pengalamannya sebelum ini dengan pihak berkuasa mengenai gangguan seksual tidak positif.

Azmira mengatakan dia sebelum ini telah mengemukakan perkara yang serupa kepada polis bantuan di kampus UiTM tetapi aduannya ditolak.

Dakwanya, dia memberikan tangkap layar perbualan di mana beberapa pelajar lelaki membuat lawak rogol dan komen seksual menjijikkan terhadap gadis yang mereka temui di Instagram, termasuk dirinya.

“Pegawai itu beritahu saya (ia berlaku) kerana saya tidak menetapkan akaun Instagram saya sebagai ‘private’.

“Mereka (kata) tidak dapat melakukan apa-apa kerana tidak ada hubungan langsung (antara saya dan pelajar lelaki berkenaan), tetapi saya boleh melaporkannya lagi sekiranya budak-budak itu mengganggu saya secara langsung.

Dia juga mendakwa polis bantuan memberitahunya bahawa tindakan seperti itu adalah perkara biasa bagi remaja lelaki dan mereka mungkin mempersendakannya.

Ketua perhubungan awam, media, protokol dan pengurusan acara Jabatan Komunikasi UiTM, Nora Noordin enggan memberi sebarang komen ketika ditanya mengenai status pelaku berkenaan.

Namun, dia memberitahu Says bahawa perkara itu sedang disiasat.

Pada saat artikel ini ditulis, Nora masih belum memberikan respons ketika ditanya mengenai jenaka rogol yang dibuat oleh pelajar UiTM, seperti yang diceritakan oleh Azmira.

Kes gangguan seksual di universiti baru-baru ini dilaporkan oleh pelajar Universiti Malaya (UM) Soleil Ching dan oleh beberapa pelajar wanita di Universiti Sains Malaysia (USM).

Pensyarah UiTM didakwa buat gangguan seksual


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU NET


Curi pakaian wanita untuk naikkan syahwat

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker