Raja-Raja Melayu Sudah Bersuara

Sebaran :

Mesej penting hendak disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu adalah baginda-baginda sentiasa prihatin tentang penderitaan rakyat selama ini dan mahukannya segera berakhir. 

 

Menjelang Maghrib kelmarin, saya terima salinan dua dokumen berasingan iaitu pertama, Kenyataan Media Istana Negara dan kedua, Kenyataan Media Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Dokumen pertama

Dokumen ini menyatakan Yang di-Pertuan Agong telah mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara pada Rabu, pukul 2.30 petang. Ia menyatakan, setelah mendengar pandangan pemimpin politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan taklimat oleh pelbagai agensi kerajaan, Seri Paduka ‘menzahirkan pandangan bahawa Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.’ Ini akan memberi peluang kepada ahli Parlimen membahaskan segala Ordinan Darurat yang telah diluluskan serta Pelan Pemulihan Negara.

Yang di-Pertuan Agong juga ‘menzahirkan harapan’ agar angka jangkitan wabak Covid-19 dapat dilandaikan dengan segera. Oleh itu, Seri Paduka ‘menzahirkan pandangan’ bahawa kerajaan ‘perlu bertindak tegas memudahkan birokrasi dan mempercepatkan proses vaksinasi’ kepada seluruh rakyat agar matlamat imuniti kelompok 80 peratus dapat dicapai seawal mungkin.

Seri Paduka juga ‘menzahirkan pandangan’, sebuah pentadbiran yang ‘stabil dan kukuh’ adalah amat perlu, berupaya menangani wabak Covid-19 dan ‘memulihkan ekonomi negara.’

Seri Paduka juga menyedari peranan Parlimen sebagai platform penting untuk wakil-wakil rakyat bersidang membincangkan pelbagai isu, bukan hanya mengenai penularan wabak tetapi juga peruntukan perbelanjaan kerajaan bagi ‘membantu rakyat yang dalam kesempitan’ dan ‘memulihkan semula ekonomi negara.’

Seri Paduka menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas sokongan Raja-Raja Melayu, para petugas barisan hadapan dan seluruh rakyat yang bertungkus lumus mengorbankan masa dalam usaha memerangi penularan Covid-19.

Seri Paduka menyeru seluruh rakyat sama-sama mendoakan agar rakyat dan negara sentiasa dalam lindungan Allah SWT serta dijauh daripada segala musibah.

Dokumen kedua

Dokumen kedua menyatakan, enam Raja Melayu (dari Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Perak, Kedah) serta Pemangku Raja Pahang dan Raja Muda Perlis telah ‘mengadakan perjumpaan bersama Yang di-Pertuan Agong’ di Istana Negara pada hari sama. Kita tidak dimaklumkan kenapa Sultan Kelantan (atau wakilnya) tidak hadir sama.

Raja-raja Melayu ‘menzahirkan penghargaan’ kepada Yang di-Pertuan Agong kerana mengadakan pertemuan ini untuk ‘mendapatkan nasihat’ daripada Raja-Raja Melayu yang memerintah sembilan buah negeri.

Raja-Raja Melayu juga menzahirkan di peringkat negeri masing-masing, baginda-baginda turut menerima menghadap pelbagai pihak yang menyembahkan kebimbangan terhadap keadaan negara ketika ini dan pelbagai cadangan ‘memohon kebijaksanaan’ Raja-Raja Melayu ‘membantu merangka formula penyelesaian’ untuk meringankan kesusahan dan penderitaan hidup rakyat.

Dokumen itu selanjutnya menyatakan, Raja-Raja Melayu telah ‘mencambahkan pandangan dan menzahirkan pendapat secara terbuka serta berterus terang’ agar dapat dijadikan ‘bahan panduan dan rujukan’, membantu Yang di-Pertuan Agong membuat ketetapan secara bijaksana, sambil pada setiap masa melindungi kemuliaan dan kedaulatan takhta pemerintahan, ‘kekal berkecuali dan bebas daripada dilihat atau ditafsirkan berpihak kepada mana-mana individu atau kumpulan politik.’

Raja-Raja Melayu mengambil maklum tujuh isu besar melanda negara masa ini, antaranya angka jangkitan harian Covid-19 yang besar walaupun dalam darurat, keadaan ekonomi dan kewangan negara yang membimbangkan, suasana politik tidak stabil, penderitaan rakyat yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan, suasana pembelajaran di sekolah, umat Islam tidak dapat melakukan ibadah di masjid dan surau terutama solat Jumaat, demikian juga penganut agama lain terhalang melakukan urusan agama masing-masing.

Raja-Raja Melayu menegaskan pendirian betapa pentingnya mekanisme semak dan imbang antara cabang eksekutif, legislatif dan kehakiman ‘untuk menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab kepada rakyat terutama dalam hal ehwal kewangan dan perbelanjaan negara.’

Raja-Raja Melayu ‘menyokong dan senada’ dengan pendirian Yang di-Pertuan Agong ‘yang menitahkan agar Parlimen segera bersidang.’ Di peringkat negeri, raja-raja Melayu turut berpendirian agar Dewan Undangan Negeri (DUN) dibolehkan bersidang secepat mungkin.

Ringkasan

Untuk membantu pembaca memahami maksud ayat-ayat dalam dua dokumen tersebut, saya perincikan seperti berikut:

Dalam dokumen pertama, Yang di-Pertuan Agong ‘menzahirkan pandangan’:
 Sidang Parlimen hendaklah diadakan ‘secepat mungkin.’
 Kerajaan memudahkan birokrasi dan mempercepatkan proses vaksinasi.
 Sebuah pentadbiran yang ‘stabil dan kukuh’ adalah perlu untuk menangani wabak Covid-19 dan ‘memulihkan ekonomi negara.’
 Parlimen perlu bersidang untuk membolehkan wakil rakyat membincangkan pelbagai isu semasa yang penting.

Dalam dokumen kedua, Raja-Raja Melayu mengambil maklum tujuh isu besar:
 Nyawa dan kehidupan rakyat wajib diutamakan.
 Kerenah birokrasi pemberian vaksin dikurangkan.
 Suhu politik disejukkan.
 Sebuah kerajaan yang mendapat sokongan majoriti rakyat.
 Darurat tidak disambung lagi selepas 1 Ogos 2021.
 Parlimen dan DUN bersidang secepat mungkin.

Mesej penting

Mesej penting yang hendak disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu adalah baginda-baginda sentiasa prihatin tentang penderitaan rakyat selama ini dan mahukannya segera berakhir.

Pada masa sama, Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu juga menyampaikan mesej kepada badan eksekutif supaya segera melakukan apa yang perlu bagi memerangi wabak Covid-19, mengembalikan demokrasi berparlimen, melakukan urus tadbir yang baik dan mewujudkan pemerintahan stabil (mendapat sokongan majoriti), berintegriti dan bertanggungjawab.

Soalnya, apakah respons daripada badan eksekutif nanti? Apakah mereka boleh memahami makna ‘menzahirkan pandangan’ (bahasa Istana) dan sedar akibat tidak mempedulikan atau sengaja mengingkari ‘pandangan’ tersebut?

DATUK Salleh Buang pernah bertugas sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau kini konsultan bebas sepenuh masa, pengarang dan kolumnis akhbar.

Raja-Raja Melayu Sudah Bersuara


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU NET


Parlimen perlu bersidang secepat mungkin – Agong

 


Sebaran :

Leave a Reply