Agong boleh lantik PM baharu ketika darurat


Agong boleh lantik PM baharu ketika darurat

Yang di-Pertuan Agong boleh melantik Perdana Menteri baharu ketika darurat, sekiranya calon itu mendapat kepercayaan majoriti Ahli Parlimen, kata seorang peguam.

Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin berkata, perkara itu tidak mustahil walaupun Parlimen tidak bersidang.

Beliau berkata, kes di Perak pada 2009 menunjukkan ketua kerajaan boleh diganti berdasarkan akuan berkanun (SD) dan bukti ekstrinsik yang dibentuk dengan betul untuk dikemukakan kepada Agong.

Firoz Hussein merujuk keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2010 yang menyaksikan Sultan Perak memecat Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar dan melantik Zambry Abdul Kadir tanpa perlu mengambil undian dalam Dewan Undangan Negeri.

Selain SD, sultan turut menemu bual semua 59 ADUN untuk menyimpulkan Nizar tidak lagi mempunyai sokongan majoriti untuk kekal sebagai menteri besar.

Firoz Hussein berkata, berdasarkan Perkara 43 (2)(b) Perlembagaan Persekutuan, Agong melantik Perdana Menteri daripada kalangan Ahli Parlimen, yang pada hematnya, mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Ahli Parlimen boleh mengemukakan SD kepada Agong untuk melantiknya sebagai Perdana Menteri tanpa mengadakan sidang Parlimen,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas titah Agong yang mahu kerajaan Perikatan Nasional mengadakan persidangan Parlimen secepat mungkin untuk membahaskan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara.

Majlis Raja-raja Melayu berpandangan darurat tidak perlu dilanjutkan selepas 1 Ogos.

Parlimen terakhir bersidang pada 17 Dis 2020 dan darurat diisytiharkan pada 12 Jan lalu.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, Perdana Menteri baharu boleh meminta Agong melanjutkan tempoh darurat untuk membentuk Kabinetnya sebelum ke Dewan Rakyat membuktikan kesahihan pentadbirannya.

“Situasinya tidak stabil sekarang dan beliau (Perdana Menteri baharu) perlu membetulkan keadaan, terutama ketika berurusan dengan penjawat awam,” katanya.

Rafique berpendapat ketika darurat, kuasa eksekutif diberikan kepada Agong dan ordinan tertentu yang diumumkan turut mengambil kuasa daripada perdana menteri.

“Contohnya, Seksyen 14 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 membenarkan Agong mengadakan persidangan Parlimen pada tarikh sesuai tanpa nasihat perdana menteri,” katanya. FMT

Agong boleh lantik PM baharu ketika darurat


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU NET


PM tak boleh nasihat Agong – Ku Li

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker