Suami isteri kempunan kereta terbakar selepas curi tandan sawit

Oleh – Syeikh Baran

Suami isteri kempunan kereta terbakar selepas curi tandan sawit

Sepasang suami isteri bukan sahaja tidak sempat merasa hasil 30 tandan sawit yang disyaki dicuri malah mengalami kerugian selepas kereta Proton Iriz dinaiki mereka terbakar di Kampung Bukit Kepok Merlimau, di sini, pada Khamis, lalu.

Dalam kejadian jam 5.05 petang itu, suspek masing-masing berusia 25 dan 26 tahun itu ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin dengan dibantu anggota Balai Polis Merlimau ketika hadir di balai berkenaan selepas insiden yang mengakibatkan keseluruhan kenderaan itu musnah terbakar.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden, Ahmad Jamil Radzi berkata, kereta pasangan suami isteri itu terbakar selepas terbabas akibat membawa lebihan muatan kelapa sawit yang dipercayai dicuri berdasarkan penemuan sebilah sabit berhulu besi berukuran panjang kira-kira 3.6 meter.

Menurutnya, kegiatan mencuri tandan sawit itu telah dilaporkan kepada pihaknya selepas menerima aduan daripada seorang anggota polis bantuan berusia 47 tahun yang mendapati kesan pokok sawit telah dipotong sebanyak 21 pokok dan anggaran buah yang di ambil sebanyak 30 tandan dianggarkan bernilai RM500.

Katanya, hasil siasatan lanjut mendapati suspek disyaki telah melarikan tandan sawit itu di ladang milik syarikat Sd Guthrie Sd Guthrie Ladang Merlimau Devision di sini sebelum kenderaan yang dinaiki mereka terbakar.

“Berdasarkan maklumat pengadu dia mendapati di lereng sempadan terdapat kesan yang mencurigakan.

“Dia kemudian membuat pemeriksaan dalam parit sempadan terdapat biji sawit lerai namun tidak terdapat tandan sawit sebelum membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Tambahnya hasil semakan mendapati suspek lelaki berusia 26 tahun itu mempunyai lima kes rekod lampau berkaitan jenayah dan satu kes narkotik manakala isterinya turut mempunyai rekod lampau dua kes masing-masing jenayah dan narkotik.

Sumber – SINAR HARIAN

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker