Pasangan kekasih ditahan kes campak bayi dari tingkat 13 pangsapuri

Sepasang kekasih masing-masing berusia 18 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan kes bayi perempuan maut selepas dicampak dari tingkat 13 sebuah Pangsapuri Sri Ivory, Air Itam di sini pada Jumaat.

Remaja perempuan terbabit yang juga penuntut di sebuah kolej ditahan di rumahnya, manakala teman lelakinya yang tidak bekerja dan mempunyai satu rekod jenayah lampau ditahan di Jalan Penawar, pada jam 12 tengahari tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong memaklumkan remaja perempuan berkenaan ditahan selepas pihak polis mengenal pasti rumah suspek di tingkat 13 di Pangsapuri 25 tingkat itu.

Jelas beliau, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai penemuan mayat bayi terbabit di tingkat empat kawasan parkir itu pada jam 8.25 pagi.



Katanya, lelaki berkenaan mendakwa menemui bayi itu dalam keadaan tidak berpakaian dan tidak bergerak sebelum menghubungi balai polis berhampiran.

Soffian menambah siasatan ke atas wanita itu mendapati dia mengaku melahirkan bayinya pada jam 6.30 pagi tadi di dalam tandas rumah tanpa pengetahuan ahli keluarganya.

“Suspek dikatakan sakit perut dan ke tandas untuk membuang air besar namun tidak menyangka melahirkan bayi berkenaan sebelum ia terjatuh ke dalam lubang tandas.

“Akibat panik dan takut dengan kelahiran tersebut, suspek telah membungkus bayinya dengan baju T dan membuang bayi itu melalui tingkap biliknya,” katanya.



Mayat bayi terbabit kemudian dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat.

Ujarnya, kedua-dua suspek dibawa ke mahkamah bagi permohonan reman dan siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Awani

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker