Isu Sulu: Menang mudah jika berhujah di Mahkamah Madrid

Isu Sulu: Menang mudah jika berhujah di Mahkamah Madrid

Malaysia boleh mendapat kemenangan ‘mudah’ dalam menolak tuntutan kumpulan Sulu sekiranya memberi maklum balas pantas menerusi hujahan ketika prosiding timbang tara di Mahkamah Madrid.

Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Madya Dr Mohd Hisham Mohd Kamal, berkata ketika proses timbang tara oleh penimbang tara, Dr Gondoza Stampa itu, negara sepatutnya menghantar wakil peguam bagi memberi hujahan.



“Masa mereka (Mahkamah Madrid) memulakan proses timbang tara itu, kita hanya mengatakan tidak mengiktiraf tuntutan itu. Sepatutnya kita menghantar peguam untuk menghujahkan bahawa penimbang tara (Dr Stampa) yang dilantik tidak mempunyai bidang kuasa sebab kita tidak beri sebarang persetujuan untuk menyerahkan pertikaian itu kepada penimbang tara.

“Kita tidak terbabit dalam mana-mana proses, hanya kata tidak iktiraf. Tapi masalahnya Dr Stampa itu mentakrifkan Perjanjian 1878 itu sebagai mempunyai klausa untuk timbang tara.

“Kalau kita sertai proses timbang tara itu, kita boleh berikan tafsiran terhadap apa perjanjian itu, jadi kita boleh hujahkan bahawa perjanjian itu tidak mempunyai klausa timbang tara.

“Sepatutnya itu kita buat, sebab senang untuk kita menang sebenarnya, tapi sebaliknya ia jadi masalah kepada kita, macam bagi kemenangan percuma bila mereka hujah tanpa ada hujah balas,” katanya kepada BH hari ini.



Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri menegaskan Malaysia tidak akan berganjak walau seinci pun dalam usaha mempertahankan dan melindungi hak serta kedaulatan negara.

Beliau berkata, kerajaan juga tidak akan berkompromi dan tidak sesekali tunduk dengan sebarang tindakan yang boleh merugikan negara.

Mengulas lanjut, Mohd Hisham berkata, peguam juga boleh mengemukakan hujah alternatif, sekiranya wujud klausa dalam perjanjian itu pastinya ia merujuk kepada entiti lain dan bukan penimbang tara.

“Perjanjian tidak sebut secara khusus timbang tara cuma kalau ada pertikaian hendaklah merujuk kepada General Council of Borneo atau waris mereka.



“Kalaulah itu ditakrifkan sebagai klausa timbang tara, maknanya ia dah tetapkan siapa penimbang tara itu. Kalau itu prosesnya, yang mana orang inilah yang mempunyai bidang kuasa atau waris jawatan itu yang punyai bidang kuasa.

“Masa itu perjanjian babitkan dua entiti yang bekerja dengan syarikat British dan Their Majesty merujuk raja atau permaisuri England pada masa itu, jadi pandangan saya masa itu merujuk kepada diplomat yang sepatutnya menjadi penimbang tara,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, dalam isu tuntutan ini, pasukan peguam negara perlu mengkaji secara mendalam undang-undang timbang tara di Perancis dan juga Sepanyol yang agak rumit.

“Kalau keputusan penimbang tara itu sangat-sangat pelik, jadi mungkin kita boleh batalkan keputusan terbabit, tapi kena lihat dan kaji undang-undang timbang tara dekat sana yang agak rumit.



“Selain itu jumlah pampasan diminta mencecah bilion, iaitu AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) juga tidak munasabah kerana berdasarkan perjanjian pemberian wang ihsan pun sekitar 5,000 peso setahun.

“Kalau kita dapat tunjukkan ‘ketakmunasabahan’ ini mungkin keputusan Dr Stampa dibatalkan, malah dalam award diberikan Dr Stampa memaklumkan sekiranya Malaysia tidak berpuashati boleh merayu, jadi kenyataan ini seolah-olah memberitahu ada proses untuk rayuan pula,” katanya.

Tuntutan dikemukakan kumpulan Sulu adalah susulan tindakan Kerajaan Malaysia menghentikan serahan wang ihsan berikutan kes pencerobohan Tentera Kesultanan Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah, pada 12 Februari 2013.

Firma guaman mewakili warga Filipina mengaku waris Sultan Sulu, memohon rundingan semula bayaran wang ihsan bawah Perjanjian 1878 dan memfailkan permohonan Superior Court of Justice di Madrid (Mahkamah Madrid) untuk melantik penimbang tara pada 31 Januari 2018, dan memutuskan Dr Gonzalo Stampa dilantik pada 22 Mei 2019.



Pada 30 Julai 2019, satu Notis Timbang Tara diserahkan kepada Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar dengan anggaran tuntutan melebihi AS$32 bilion.

Mahkamah Tinggi Sabah pada 14 Januari 2020 memutuskan Perjanjian 1878 tidak mengandungi apa-apa peruntukan timbang tara, Malaysia tidak pernah mengetepikan kekebalan kedaulatannya, dan penimbang tara tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyelesaikan perkara yang dibangkitkan. BH

Isu Sulu: Menang mudah jika berhujah di Mahkamah Madrid


Baca Artikel Menarik:



Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Tukang Rumah Solat Tengah Panas, Pasangan Bukan Islam Terus Belikan Kanopi

Resepi Durian Yang Wajib Cuba

Parcel Apa Yang Bergetar Tu? (Video)

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker