Pecat, gantung pemimpin tidak taat

Mana-mana pemimpin UMNO yang mengingkari arahan parti sebenarnya sedang menunggu masa untuk dikenakan tindakan disiplin.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Said berkata, parti telah membuat keputusan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Sebagai ahli parti, apa sahaja jawatan dan kedudukan dalam parti kena ikut arahan parti.

“Kalau tidak ikut, terpulang kepada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Jawatankuasa Disiplin untuk menentukan nasib mereka pada masa hadapan,” katanya kepada Sinar Harian.

Ahmad Zahid sebelum ini dilaporkan berkata, MKT UMNO telah menarik balik sokongan kepada kerajaan PN dan Muhyiddin serta menegaskan menteri dan timbalan menteri UMNO harus meletakkan jawatan seperti diputuskan oleh MKT.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, pelbagai tindakan boleh diambil oleh parti antaranya penggantungan dan pemecatan dan ia terpulang kepada Jawatankuasa Disiplin parti.

“Jawatankuasa Disiplin tentukan dan akan bawa kepada MKT. Selepas itu, MKT akan putuskan,” jelasnya.

 

Mohd Puad
Mohd Puad

 

Sementara itu, seorang lagi Ahli MKT UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, tindakan perlu diambil tidak kira mereka yang berjawatan Naib Presiden UMNO atau Timbalan Perdana Menteri.

“Saya mendesak UMNO menghantar surat tunjuk sebab kepada semua menteri, timbalan menteri dan ahli Parlimen UMNO yang tidak mematuhi keputusan MKT UMNO pada 3 Ogos lalu.

“Lembaga Disiplin wajib menyiasat tingkah laku mereka. Jika bertentangan dengan keputusan parti, maka wajar dikenakan tindakan disiplin yang tegas iaitu dipecat sebagai ahli parti,” katanya.

Mohd Puad menegaskan, melanggar keputusan parti adalah serius dan boleh memecahbelahkan parti.

“Ini pun bukan perkara baharu tetapi jika parti tidak tegas, mereka akan jadikan UMNO umpama besi buruk yang dijual sesuka hati mereka,” katanya.

Menurutnya, dalam mesyuarat MKT UMNO telah diputuskan secara konsensus bahawa semua ahli Parlimen UMNO akan memihak kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

 


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Panggil sidang khas jika kamu ada angka

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker