#PAU2018 : Tanggang Moden berdindingkan demokrasi

Sebagai pembahas pertama usul ucapan dasar Presiden selepas UMNO bergelar pembangkang, Ahli Majlis Tertinggi (MT), Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang terkenal dengan kelantangannya kecewa dengan tindakan sesetengah kepemimpinan kanan parti yang ‘menyepikan’ diri selepas tidak lagi memerintah.

Dengan memakai dastar atau tanjak etnik Iranun, beliau yang berucap mewakili UMNO Sabah menggelar mereka sebagai Tanggang Moden kerana telah memaparkan mesej negatif dan melemahkan semangat ahli yang masih memperjuangkan kebangkitan UMNO.

Lebih memeritkan, tegas beliau, pemimpin berkenaan tanpa segan silu memperlekehkan kepemimpinan terkini secara terbuka seolah-olah beliau sahaja yang betul dalam segala segi.

“Kalau dalam undang-undang tentera, askar yang sedemikian boleh dihukum gantung kerana lari daripada perjuangan.



“Tanggang Moden ini memiliki ilmu pendinding luar biasa dan amat mudah untuk dipelajari, jampi atau mantranya satu perkataan sahaja iaitu demokrasi yang disebut sebanyak tujuh kali,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mencadangkan perbahasan usul ucapan dasar presiden, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Pandikar Amin yakin UMNO tidak akan menggunakan jalan pintas untuk berkuasa kembali, sebaliknya memilih laluan berliku untuk terus teguh dan bersatu.

“Nama jalan tersebut di tulis jelas di papan tanda jalan sebagai patah tumbuh hilang berganti, membujur lalu melintang patah, patah sayap bertongkat paruh,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker