Langkah Dubai yang diabai

Langkah Dubai yang diabai

oleh Hishamuddin Aun

Ada yang kata tak pernah dengar mengenai Langkah Dubai, ada anggapnya cuma ilusi dan tidak kurang pula andaikan ia sengaja direka untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu sebenar yang patut ditangani kerajaan. Dalam pada itu, ada yang beria-ia langkah itu didalangi oleh tokoh tertentu dan siap menamakan pelaku-pelakunya. Sesiapa saja boleh buat tafsiran sendiri tapi tiada siapa boleh berasa pasti sama ada ia benar-benar ada atau sebaliknya.



Pun begitu, ia tetap menjadi bualan menarik menjelang akhir tahun 2023 dengan jari dituding kepada pihak-pihak yang berlawanan sebagai membayangkan Langkah Dubai sememangnya ada atau seperti diistilahkan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Ahmad Maslan hanyalah fatamorgana (khayalan) semata-mata.

Desas-desas itu menerusi laporan media memetik kenyataan Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) Ismail Yusop yang mendakwa ada gerakan terbaru dirancang bagi menjatuhkan kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim didalangi pemimpin Perikatan Nasional (PN).

Satu pertemuan didakwa diadakan oleh beberapa Ahli Parlimen PN dengan wakil rakyat dari blok kerajaan di Emiriah Arab Bersatu (UAE), baru-baru ini untuk memberi tugas khusus kepada ‘pegawai’ yang bertanggungjawab bagi mengenal pasti Ahli-Ahli Parlimen berpotensi mengalih sokongan mereka kepada pembangkang dengan habuan sogokan berjuta-juta ringgit.

Ismail, yang mendakwa memperoleh maklumat daripada pelbagai sumber, turut mendakwa ada pembabitan tokoh politik veteran berpengaruh berpangkat Tun yang bersekongkol dengan pembangkang termasuk dikatakan menggunakan ‘sumber asing’ untuk menggulingkan pentadbiran Anwar. Menyifatkan langkah itu sebagai satu pengkhianatan dan satu konspirasi politik berniat jahat yang berpotensi mengancam kedaulatan dan keselamatan negara, Ismail menggesa perdana menteri bertindak tegas agar individu yang dikatakan terbabit disiasat.



Bagaimanapun, dakwaan J-Kom itu segera ditempelak sebagai sengaja digembar-gemburkan bagi menutup kegagalan kerajaan menangani isu kenaikan kos sara hidup. Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata PN tidak tahu mengenai Langkah Dubai di samping menafikan ia wujud. Hujahnya itu disokong Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari dan Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris. Kebetulan Langkah Dubai didakwa diatur beberapa pemimpin PAS dan Bersatu untuk mendapatkan sokongan sebahagian Ahli Parlimen BN dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Naib Presiden Kanan PBB Fadillah Yusof dalam pada turut menolak khabar angin berkenaan mengulangi bahawa keutamaan GPS ialah mempunyai kerajaan stabil dan kukuh dengan mengulangi sokongan kepada kerajaan perpaduan pimpinan Anwar. Menegaskan GPS tiada masa melayan drama politik, timbalan perdana menteri menolak mesej tular yang mendakwa jawatan perdana menteri turut ditawarkan kepada PBB selain autonomi lebih besar dan 20 peratus royalti hasil minyak kepada Sarawak. “Saya tidak tahu (mengenai Langkah Dubai). Kami mahu fokus semua usaha atas pemulihan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya dipetik Borneo Post.

Dakwaan sesetengah pihak bahawa bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob juga terlibat dalam Langkah Dubai dengan sendirinya tertepis apabila Ahli Parlimen Bera itu terus menaiki penerbangan pulang ke Kuala Lumpur selepas selesai mengerjakan umrah tanpa singgah di Dubai. Malah, beliau turut dirakamkan sempat mengadakan pertemuan mesra dengan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi ketika di Madinah.

Pengarah Komunikasi Umno Lokman Noor Adam bagaimanapun beria-ia mendakwa bahawa Langkah Dubai memang wujud tapi 100% pasti rancangan itu akan gagal. “Mereka hanya boleh menggunakan sokongan Ahli Parlimen untuk menukar perdana menteri. Kalau pun mereka dapat membeli Ahli Parlimen kerajaan sehingga mendapat jumlah minimum 112 yang diperlukan, mereka masih tidak dapat tubuhkan kerajaan kerana perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.



Bertitah ketika merasmikan pembukaan penggal Parlimen Ke-15, 13 Februari lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menzahirkan harapan supaya pentadbiran Anwar yang terakhir sebelum baginda menamatkan tugas dan kembali ke Pahang, 30 Januari ini. Ia berikutan baginda menjadi satu-satunya Yang di-Pertuan Agong yang memerintah negara dengan empat perdana menteri serta empat jemaah menteri yang berlainan susulan kemelut politik berpanjangan sejak 2020.

Lagipun, seperti diungkapkan oleh Ahmad, Langkah Dubai mustahil dilakukan biarpun 30 Ahli Parlimen Umno mengambil keputusan menarik sokongan mereka kepada kerajaan. “Langkah Dubai? Ini hanya fatamorgana. Untuk 30 ahli parlimen Umno dan BN, kami sudah tandatangan, kena bayar RM100 juta seorang jika ingin lompat. Siapa ahli parlimen ada wang sebanyak itu? Jika 30 keluar pun, kerajaan masih kekal dengan 122 sokongan. Rakyat inginkan kestabilan dan kekuatan ekonomi,” katanya menerusi ciapan di X.

Anwar pula ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala sempena perasmian program Global Muslim Business Forum (GMBF) edisi kedua di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) 28 Nov lalu memberi jaminan kerajaan perpaduan kini stabil dengan sokongan kerajaan Sarawak, iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS). “Hari ini genap setahun kerajaan perpaduan dan kita mencapai dengan keyakinan, kita boleh bercakap tentang peralihan tenaga, transformasi digital, kerancakan ekonomi kerana kita sudah stabil dari segi politik. Meskipun kita mempunyai dua pertiga majoriti di Parlimen, saya ingin menyatakan bahawa saya tidak boleh mengabaikan fakta bahawa Premier Sarawak dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memainkan peranan penting dalam hal ini,” katanya.

Apakah maknanya itu? Ia boleh diumpamakan sebagai “checkmate” kepada gabungan pembangkang yang bercita-cita untuk mengambil alih kerajaan. Baik Langkah London sebelumnya, kini Langkah Dubai atau Langkah Tebuk Atap seterusnya, tiada satu pun yang akan berjaya kerana pembangkang hanya bermimpi di siang hari. Langkah Dubai ternyata sudah gagal dan patut jadi pengajaran kepada sebarang rancangan untuk menukar kerajaan sebelum PRU16 yang dijangka pada 2027. FMT



Langkah Dubai yang diabai

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

“Awak berhijab tapi berpakaian seolah terlanjang”



Senarai artis bercerai 2023

Pusinglah selagi boleh pusing, jumpa di mahkamah



Rita Rudaini mengamuk dituduh perampas

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker