PRU dan PRN ketika Omicron melanda

INI alasan yang sering diberikan untuk mendesak pilihan raya negeri (PRN)/pilihan raya umum (PRU) baharu: Kalau Melaka boleh, kalau Sarawak boleh, kenapa Johor tak boleh? Kenapa Malaysia tak boleh?

Persoalannya bukan boleh tak boleh, tetapi perlu tak perlu dan selamat tidak selamat. Itu sebabnya Sarawak tidak mengadakan PRN dalam 60 hari setelah genap penggalnya pada 6 Jun 2021.

Sikap berjaga-jaga ini pula kerana pengajaran pahit daripada PRN Sabah pada September 2020 yang mengakibatkan gelombang ketiga Covid-19 di Malaysia.



Andaian para pendesak PRN/PRU baharu ialah kalau PRN Melaka dan Sarawak pada penghujung 2021 tidak menyebabkan gelombang baharu Covid-19 kerana kadar vaksinasi tinggi, maka PRN Johor dan PRU juga akan selamat.

Apa yang kekurangan dalam andaian ini? Tarikh dan varian Omicron.

PRN Melaka – pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) (4 Oktober, penamaan (8 November) dan pengundian (20 November).

PRN Sarawak – pembubaran DUN (3 November), penamaan (6 Disember) dan pengundian (18 Disember).



Omicron di Malaysia – 1 kes (2 Disember), 64 kes (31 Disember), 253 kes (13 Januari 2022) dan 439 kes (18 Januari).

Dalam kata lain, PRN Melaka (495,195 pengundi) jumlah pengundi berlaku sebelum Omicron mendarat di Malaysia manakala PRN Sarawak (1,252,014 pengundi) berlaku sebelum kes Omicron mencapai tiga angka. Lagipun, Sarawak terlindung daripada Semenanjung oleh Laut China Selatan.

Kerana Omicron yang menular jauh lebih cepat daripada varian lain, seluruh dunia sekarang perlukan vaksin penggalak.

Apabila kebanyakan rakyat Malaysia belum lagi menerima penggalak, dan ramai yang bersikap was-was atau antivaksin sampai ada yang sanggup membeli sijil vaksinasi palsu untuk dua dos pertama, perlukah kita tergesa-gesa mengadakan PRU/PRN?



Dengan Undi18 dan pendaftaran pengundi automatik (AVR), kini Malaysia mempunyai 21.1 juta, iaitu 42 kali pengundi dalam PRN Melaka. Dan berdasarkan data populasi, jumlah pengundi Johor dijangka mencecah 2.6 juta, atau 5 kali pengundi dalam PRN Johor.

Apakah jaminan daripada pendesak PRN/PRU bahawa rakyat tidak akan menjadi mangsa pengejaran kuasa orang politik? Siapa boleh menjamin Malaysia dan Johor tidak akan menjadi Sabah selepas pengundian?

Ramai rakyat sudah menjadi korban dalam banjir 2021 kerana tamak haloba golongan kayangan mengkayakan diri dengan pembalakan dan kelembapan menteri dan pegawai tinggi dalam menjaga keselamatan rakyat.

Kita sebenarnya perlu kembali kepada soalan perlu atau tidak PRU/PRN diadakan. Kerana kita bukan sistem berpresiden dengan penggal tetap untuk eksekutif dan wakil rakyat, maka Parlimen atau DUN memang berkuasa untuk menjatuhkan eksekutif yang mempunyai pilihan untuk memohon pembubaran kalau tidak ingin meletak jawatan.



Malah, eksekutif boleh memohon pembubaran bila-bila masa. Dalam zaman pra-2004, tarikh PRU sering menjadi topik tekaan, kononnya bergantung kepada ‘inspirasi’ sang Perdana Menteri.

Penyalahgunaan kuasa eksekutif ini harus dihentikan sekarang. Permohonan harus dipohon dan diperkenankan hanya jika kerajaan hilang kepercayaan dewan.

Kalau tidak hilang kepercayaan, kerajaan harus terus bertugas sampai hujung penggal, atau sekurang-kurangnya genap empat tahun, kalau mengikut janji Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk Melaka selepas kemenangan PRN.

Malah, kerajaan dan pembangkang boleh mencapai kata sepakat seperti MoU (memorandum persefahaman)untuk memastikan keberlangsungan kerajaan tanpa PRU/PRN. Kalau pembangkang sanggup menyokong kerajaan, kenapa mesti degil desakkan PRU/PRN sampai memperjudikan nyawa rakyat ketika Omicron melanda?



Sibuk Pak Ali menjual gas

Ke sana sini memandu trak

Kerja biar habiskan tugas

Sebelum minta sambung kontrak



*Prof Wong Chin Huat ([email protected]) ialah seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen.


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Smart TAG, Touch ‘n Go lebih digemari pengguna

Blue Tears Kuala Selangor, Penemuan Luar Biasa

13 lagi kematian akibat Covid-19 direkodkan
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/183871/KHAS/Covid-19/13-lagi-kematian-akibat-Covid-19-direkodkan
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker