Erissa seimbang ilmu dan bakat demi masa depan

Erissa seimbang ilmu dan bakat demi masa depan

TANPA pelajaran, hidup seseorang sukar direncana terutama dalam memilih pekerjaan yang mampu menjadi sumber rezeki.

Dalam keadaan ekonomi yang tidak memberangsangkan kebelakangan ini pula, individu yang memiliki ijazah tidak semestinya akan mendapat pekerjaan yang menjanjikan pendapatan lumayan.



Menurut gadis yang merupakan pelajar tahun dua Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perhubungan Awam Management & Science University (MSU), Erissa Puteri Hashim, 22, individu dalam era ini sewajarnya memiliki kelulusan atau kemahiran berganda untuk memudahkan mereka membina kehidupan sebagai individu mahupun berkeluarga.

“Mula-mula masuk ke MSU saya telah mengambil kursus asas perniagaan sebelum berhasrat menyambung pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang perakaunan, namun akhirnya mengambil bidang perhubungan awam.

“Walaupun beralih arah daripada minat di bidang perakaunan, yang penting bidang yang saya ambil sekarang bolah dianggap relevan dengan minat saya dalam bidang seni nyanyian,” katanya yang juga bekas peserta pertandingan nyanyian, Ceria Pop Star 2011 kepada K2.

Erissa berkata, keluarga adalah tulang belakang yang menyokong dirinya dalam segala bidang diceburi sama ada seni mahupun pelajaran.



Anak bongsu daripada tiga beradik ini berkata, ibunya, Nurkusumowati Ariffin, 46, dan bapa, Hashim Daud, 75, adalah sumber rujukan dalam apa juga perkara yang ingin dilakukannya.

“Sehingga saat ini keluarga memberi sokongan untuk saya terus aktif dalam bidang nyanyian di mana ibu yang juga penyanyi majlis rasmi dan ayah yang menjadi pemuzik turut membawa saya bersama membuat persembahan.

“Bagi memastikan aktiviti seni tidak mengganggu pelajaran, pengurusan masa amat penting, namun bidang pelajaran adalah keutamaan buat masa ini,” jelasnya.

Erissa yang berasal dari Kelantan dan tinggal di Sungai Buloh, Selangor berkata, sebagai seorang pelajar, aktiviti di kampus bersama rakan-rakan adalah sesuatu yang menggembirakan.



Katanya lagi, persekitaran kampus yang kondusif menjadikan sesi pembelajaran sesuatu yang dinanti-nantikan setiap hari.

“Di MSU, selain kelas akademik saya turut menyertai aktiviti pelajar melibatkan program kebajikan dan turun padang bertemu masyarakat yang tidak bernasib baik.

“Kita perlu seimbangkan pelajaran di dalam kelas dan menjadikan kerja ‘outreach’ sebagai aktiviti yang memantapkan rasa empati kepada orang yang berada dalam kesusahan,” ujarnya.

Gadis kecil molek yang meminati pasukan bola sepak Manchester United ini memberitahu, aktiviti sosial melibatkan golongan marhaen menjadikan dirinya lebih bersemangat untuk mengubah nasib diri dan membantu orang lain berjaya kelak.



Jelasnya lagi, hanya pelajaran dapat mengubah nasib seseorang, namun apa yang paling penting sesuatu kerja perlu dilakukan seperti menggenggam bara api biar sampai jadi arang.

“Kita kena lakukan sesuatu perkara dengan bersungguh-sungguh dan saya sering menasihati generasi muda, gagal Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukan bermakna gagal dalam hidup.

“Jika gagal sekali boleh mengambil semula SPM dan perbaiki kelemahan. Jika tidak, mereka boleh menyertai bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang turut menjanjikan gaji lumayan,” ujarnya.

Gadis yang mengagumi negarawan, Tun Dr.Mahathir Mohamad ini berkata, sebagai rakyat Malaysia dan seorang mahasiswa dia juga mengambil tahu tentang perkembangan politik dan ekonomi negara.



Namun, katanya yang juga ahli Majlis Perwakilan Pelajar (SRC), generasi muda harus sedar tentang kepentingan politik dalam menentukan masa depan mereka, maka kuasa mengundi harus digunakan dengan sewajarnya.

“Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi, saya akan mengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras dan kuasa satu undi ini akan saya gunakan dengan sebaik-baiknya.

“Sebagai rakyat Malaysia kita mahukan sistem politik yang mantap dan ia menjamin pertumbuhan ekonomi yang mapan. Itulah harapan kami generasi muda kepada pemimpin hari ini,” jelasnya.

Peminat kumpulan K-Pop, Black Pink ini berkata, dalam zaman media sosial terutama TikTok ini, generasi muda sepatut menggunakannya untuk perkara positif seperti mempromosi bakat dan bukannya untuk perkara negatif hingga merosak masa depan.



Sebagai pengguna TikTok, katanya lagi, dia menjadikan platform tersebut untuk muat naik lagu sendiri dan lagu ‘cover’ yang sedang sohor kini.

“Pengikut TikTok saya seramai 1.4 juta dan saya menggunakan platform tersebut sebaiknya untuk kerjaya seni,” katanya.

Bercerita tentang bidang lakonan, Erissa pernah membintangi telefilem Kasut Bola Pink dan drama Super Game Boy.

Erissa yang meminati pelakon, Merqeen dan Daiyan Trisha berkata, dia turut meminati hasil karya seni luar untuk dijadikan panduan dalam kerjaya seninya.

“Saya amat meminati filem muzikal bertajuk Descendants dan telah menontonnya berkali-kali tanpa jemu sejak dahulu.

“Sememangnya bidang seni menjadi minat selain belajar. Selain ingin aktif dalam bidang seni, saya bercita-cita menyambung pelajaran dalam bidang kewangan dan menguasai bahasa Mandarin sebagai bahasa ketiga,” jelas Erissa. K Online

Erissa seimbang ilmu dan bakat demi masa depan

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Nabi Adam turun di Gunung Jerai, Saidina Uthman pernah ke Kedah antara dakwaan gila penceramah PAS yang mengelirukan – PM

Inspektor Sheila cari calon suami untuk jumpa ayahnya

Papagomo kalah debat dengan Wan Mahussin?

Pernikahan Shuib-Watie, Jep Sepahtu dedahkan beliau tidak dijemput

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker