Wings rancang rehat panjang selepas tunai umrah

Wings rancang rehat panjang selepas tunai umrah

Terlalu sibuk dengan pelbagai konsert, kumpulan rock lagenda, Wings bakal menarik brek buat seketika sekembali menunaikan umrah di Makkah pada November depan.

Bagaimanapun, Wings akan menyusun semula jadual seni selepas Aidilfitri, tahun hadapan.



Vokalis Wings, Datuk Awie bersyukur dengan limpahan rezeki selepas lebih dua tahun berehat disebabkan COVID-19.

Namun, katanya, pada masa sama timbul persoalan dalam hati adakah persembahan silih berganti boleh diterima peminat?

“Alhamdulillah, tidak tahu bagaimana mahu menggambarkan rasa syukur ini, tetapi mungkin ini juga cara Allah duga kami supaya sentiasa ingat kepada-Nya dan tidak lupa diri.

“Wings sangat terharu apabila tiket konsert terjual dalam tempoh singkat. Untuk tiket Royal Box bagi Konsert Naga Kramat 2022 berharga RM10,000 yang hanya mempunyai lapan tempat duduk terus disambar sebaik kaunter jualan tiket dalam talian dibuka.



“Sebelum ini, tiket konsert untuk konsert di Singapura habis dijual dalam tempoh setengah jam. Jadi apakah petandanya?

“Ia sedikit sebanyak membimbangkan kami, adakah ia juga beri bayangan Wings juga akan habis?” katanya.

Awie berkata, apa pun bakal berlaku, mereka hanya ingin fokus menjaga kesihatan dan silaturahim, apatah lagi bakal menunaikan umrah buat kali pertama bersama bulan depan.

“Kami juga ingin menjaga hubungan baik dengan penyokong Wings,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Naga Kramat 2022 yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, Sabtu ini.



Sentiasa bersemangat menghiburkan peminat, Awie berkata, Wings akan membawa kelainan dengan mengembalikan nostalgia kegemilangan muzik rock era 1980-an menerusi Konsert Naga Kramat 2022.

Katanya, Wings akan muncul dengan kostum ditempah khas semata-mata untuk konsert, malah mengadakan segmen tribute bagi lagu rock Inggeris yang sering didendangkan Wings ketika mula bertapak dalam industri muzik kira-kira 37 tahun lalu.

“Kami akan mengadakan segmen tribute untuk semua otai dan mereka yang menggemari muzik rock 1980-an.

“Wings akan memakai kostum ditempah khas, selebihnya seperti konsert lain, tetapi kami akan cuba buat yang terbaik, namun tidak berani menjanjikan bulan bintang,” kata Awie.



Yang turut hadir pada sidang media Konsert Naga Kramat 2022 anjuran MW Mega dan Awie Entertainment, termasuk anggota Wings seperti Eddie (bass), Black (dram), Syam (gitar) dan Edrie Hashim (gitar).

Mengulas pemilihan nama Naga Kramat, Awie berkata, ia sebagai simbolik semangat juang Wings yang tinggi dan mempunyai nilai sentimental.

“Ketika mencari nama untuk konsert dan sepakat meletakkan Naga Kramat bersifat gah, unik dan serta melambangkan aura tegar.

“Nama Naga Kramat juga melambangkan jenama Wings dan Zepp Kuala Lumpur yang mempunyai kekuatan tersendiri.



“Namun, tanpa disedari nama ini juga mempunyai nilai sentimental kepada saya dan Wings apabila ketika menghasilkan album Naga Kramat kami kembali bersatu,” katanya.

Mengulas hasrat Wings berehat selepas Konsert Naga Kramat 2022, Awie berkata, mereka sudah tidak boleh ‘pergi’ lagi berikutan terlalu banyak konsert dijayakan sepanjang tahun ini.

Tambahan pula, katanya, terlalu banyak konsert bakal diadakan sehingga penghujung tahun menyebabkan Wings lebih selesa memberikan laluan tanpa perlu berebut.

“Banyak konsert bakal berlangsung, jadi kami tidak mahu kacau penjualan tiket. Oleh itu, Wings merancang memperlahankan rentak hingga hingga awal tahun depan.



“Itu perancangan buat masa ini, namun mungkin akan dipertimbangkan jika ada satu dua tawaran bagus.

“Insya-Allah, Wings merancang masuk kampung untuk bertemu peminat, tahun depan,” katanya.

Harga tiket Konsert Naga Kramat 2022 dijual pada harga RM169 untuk pelajar dan RM244 (Bujang Senang). Untuk kategori lain, RM274 (Amok), RM364 (Misteri Mimpi Syakila) dan RM574 (Taman Rashidah Utama).

Peminat boleh mendapatkan tiket menerusi www.ticket2u.com.my/nagakramat.

Wings rancang rehat panjang selepas tunai umrah


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Tawaran 47 kerusi untuk PAS daripada Bersatu, ‘Allah jadi saksi saya’ – Asyraf Wajdi

Lelaki mengamuk di restoran tomyam ditahan

Nora Danish ‘belanja’ apa tu?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker