Menjelang PRU-15: Perhimpunan Agung UMNO 2021 penentu hala tuju UMNO

SHAH ALAM – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 yang bakal berlangsung mulai 16 hingga 19 Mac depan, penting bagi menentukan hala tuju UMNO menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) tidak lama lagi.

Penganalisis politik, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, beliau tidak menolak kemungkinan PAU kali ini bakal menjadi medan untuk perwakilan mendesak Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi Hamidi supaya mengadakan pemilihan pucuk pimpinan tertinggi lebih awal sebagai persediaan awal menjelang PRU15 nanti.

Beliau yang juga pensyarah di Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, Presiden UMNO juga perlu menjawab mengenai cadangan untuk mempercepatkan pemilihan pucuk tertinggi UMNO dalam ucapan dasarnya pada PAU kali ini.

“Ini kerana secara tradisinya UMNO jarang mengadakan pemilihan parti sebelum PRU kerana ia biasa diadakan selepas PRU. Jadi jika Presiden UMNO merasakan tiada keperluan dan dipersetujui oleh MKT maka ahli dan penyokong UMNO kerana terima keputusan berkenaan dengan hati terbuka dan reda supaya mereka boleh memberi fokus kepada PRU.

“Namun, jika akar umbi mendesak keperluan mempercepatkan pemilihan pucuk pimpinan tertinggi parti, maka Presiden UMNO kena ‘highlight’ atau tegaskannya dalam ucapan dasar pada PAU 2021 nanti. MKT dan Presiden UMNO kena pertegaskan bila tarikh dan alasan sesuai untuk adakan pemilihan sama ada sebelum atau selepas PRU15.

“Saya berpandangan jika UMNO mahu mengadakan pemilihan ia mesti bermula dari peringkat cawangan hingga MKT dan mungkin akan mengambil masa sekurang-kurang 3 bulan untuk selesai sepenuhnya,” katanya kepada Sinar Premium.

Mengulas lanjut Azizuddin berkata, antara isu lain bakal dibangkitkan dalam PAU kali ini termasuklah banjir besar melanda beberapa lokasi seperti Seri Muda dan Hulu Langat, baru-baru ini kerana kerajaan sekarang dipimpin oleh Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, perkara itu penting kerana isu banjir memberikan kesan negatif kepada UMNO kerana rakyat melihat kerajaan dan Perdana Menteri sekarang adalah daripada Barisan Nasional (BN).

Penganalisis jangka UMNO gerak solo

“Perwakilan UMNO juga akan membangkitkan isu salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah yang masih menghantui negara terutama kes pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

“Mereka juga dijangka mengemukakan cadangan macam mana kerajaan sekarang UMNO mahu menjawab semula segala kritikan dilemparkan kepada parti itu yang mengetuai kerajaan sekarang supaya imejnya lebih bersih,” katanya.

Mohd Azizuddin berkata, perwakilan UMNO juga mungkin akan membahaskan isu ekonomi terutama pengangguran dan bagaimana kerajaan dapat membantu meningkatkan sosio-ekonomi orang Melayu.

Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, dipetik sebagai berkata, PAU2021 yang sebelum ini ditangguhkan akibat banjir, akan diadakan pada 16 hingga 19 Mac depan.

Ahmad berkata, ketetapan itu adalah antara perkara yang diputuskan dalam Mesyuarat MKT yang dipengerusikan Presiden UMNO, baru-baru ini.

Beliau berkata, persidangan empat hari itu akan bermula dengan perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO oleh Timbalan Presiden UMNO pada 16 Mac, disusuli pelaksanaan perhimpunan ketiga-tiga sayap parti pada hari berikutnya.

“Pada 18 Mac 2022 (Jumaat), adalah Ucapan Dasar Presiden dan Perasmian Perhimpunan Agung UMNO Presiden UMNO, sekali gus menandakan bermulanya Perhimpunan Agung UMNO. Perhimpunan Agung UMNO akan diteruskan pada hari kedua iaitu 19 Mac 2022 (Sabtu),” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Pada 30 September lalu, Ahmad dilaporkan berkata, UMNO menetapkan perhimpunan berkenaan selama tiga hari bermula 13 hingga 15 Januari 2022.

Bagaimanapun, beliau kemudian memaklumkan pada 25 Disember lalu bahawa PAU 2021 yang dijadualkan Januari, ditangguhkan susulan bencana banjir.

Ahmad berkata, semua 14 perwakilan daripada setiap bahagian parti akan dijemput menghadiri PAU 2021, yang akan diadakan secara bersemuka sepenuhnya.

Menjelang PRU-15: Perhimpunan Agung UMNO 2021 penentu hala tuju UMNO


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


PRN Johor: Keputusan UMNO bertanding solo hanya boleh diputuskan secara konsensus

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker