Kumpulan proganja perubatan gesa reformasi dasar dadah

Kumpulan proganja perubatan gesa reformasi dasar dadah

Penggerak kempen #KajiBukanKeji dan Persatuan Kesedaran Malaysia (Masa) kesal dengan hukuman berat yang diberikan kepada mereka yang didapati bersalah atas tuduhan berkaitan dadah.

Ketika dihubungi, pasukan di sebalik dokumentari “Ayahku Dr G” dan kempen #KajiBukanKeji memberitahu Malaysiakini mereka sangat sedih dengan berita penangkapan berkaitan dengan ganja baru-baru ini.

“Lebih-lebih mengecewakan lagi, kami kesal dengan kurangnya kemahuan politik untuk mengubah undang-undang dadah.

“Terdapat keperluan yang jelas untuk reformasi dasar dadah dan budi bicara yang lebih besar dalam menjatuhkan hukuman, terutama ketika hukuman berat seperti hukuman mati.

“Selagi undang-undang kita tetap ketinggalan zaman, beban yang ditanggung oleh rakyat Malaysia seperti Dr Ganja dan mangsa penjenayahan ganja yang lain akan terus melebihi manfaat yang diharapkan,” kata seorang jurukempen kepada Malaysiakini.

Persatuan Kesedaran Malaysia (Masa) juga berkongsi sentimen sama tetapi menjelaskan dalam kes penangkapan pasangan ‘menjual biskut ganja’ itu, mereka berkempen supaya orang tidak lagi ditahan kerana ia “pembaziran hidup.”

“Anda tahu, manusia (buat) silap. Sekali-sekala, mereka (melakukan) kesilapan.

“Tetapi jika kesalahan sebegini, ia akan menyebabkan anda berakhir (dengan) digantung sampai mati atau penjara seumur hidup, saya rasa ia tidak berbaloi,” kata Setiausaha Masa, Harish Kumar kepada Malaysiakini .

Mengenai hal itu, Harish merasakan kerajaan memiliki bukti ilmiah dan penyelidikan yang cukup mengenai ganja untuk mengurangkan hukuman penjara seumur hidup atau hukuman mati.

Ini juga, kata Harish sebagai cerminan terhadap keputusan Suruhanjaya Dadah Narkotik (CND) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 2 Disember tahun lalu yang telah “mengklasifikasikan semula kanabis sebagai “dadah yang kurang berbahaya” dan mengeluarkannya daripada senarai bahan opiod yang boleh membunuh dan ketagih.


Gambar fail, perbicaraan Doktor Ganja, Kapten (B) Amiruddin @ Nadarajan Abdullah.

Sidang CND ke-63 di Vienna, Austria telah bersetuju menerima usul untuk menggugurkan kanabis dan resin kanabis daripada Jadual IV Konvensyen Tunggal Mengenai Dadah Narkotik 1961 pindaan Protokol 1972 (Konvensyen 1961).

“Ia mesti sesuatu yang masuk akal. Dengan cara yang sama, jika kita mahu menghentikan penjualan atau pengedaran ganja secara haram, anda pasti memerlukan saluran undang-undang di mana pesakit atau, bahkan pada masa depan, mungkin pengguna rekreasi untuk mendapatkannya.

“Dalam pengertian hukuman, saya tidak fikir hukuman penjara seumur hidup atau hukuman mati adalah wajar.

“Saya rasa sesuatu yang lebih baik (seperti denda), atau apa-apa yang lain harus sesuai,” kata Harish.

Awal bulan ini, sepasang kekasih yang menjalankan perniagaan kek dan biskut ganja ditangkap di sebuah rumah di Petaling Jaya.

Pasangan itu mengikut jejak individu lain di negara ini yang sedang menghadapi kemungkinan ke tali gantung bawah tuduhan jenayah Seksyen 39 (b) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Setakat Februari 2019, dilaporkan seramai 1,281 banduan akhir menunggu hukuman mati di negara ini, dengan 73 peratus telah disabitkan dengan kesalahan mengedar dadah di bawah Seksyen 39 (b).

Seksyen 39B berkaitan kesalahan mengedar dadah.

Walaupun undang-undang dadah di negara ini tetap menjadi yang paling keras di dunia, kerajaan PH sebelum ini telah mengambil beberapa inisiatif untuk mempertimbangkan mengubah perspektif mereka mengenai ganja.

Undang-undang keras tak pernah berubah

Pada 27 Jun 2019, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad mengumumkan kerajaan merancang melaksanakan polisi mengurangkan mudarat dalam penagihan dadah dengan mengambil pendekatan kesihatan awam serta melayan penagih sebagai pesakit dan bukan penjenayah.

Pada tahun sama, bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menolak idea untuk menyokong penggunaan minyak ganja secara perubatan.

Dr Noor Hisham Abdullah berkata penggunaan ganja harus terhad untuk tujuan penyelidikan sehinggalah terdapat lebih banyak bukti menyokong penggunaannya dalam perubatan.


Pada masa itu, kes Muhammad Lukman Mohamad (gambar, atas) yang menghadapi hukuman mati kerana memiliki minyak ganja dan bahan-bahan yang berkaitan, memperbaharui seruan untuk mengesahkan produk ganja untuk penggunaan terapeutik.

Walaupun banyak pengumuman dasar PH mengenai masalah itu, termasuk oleh perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad namun undang-undang tersebut tidak pernah berubah.

Persatuan Masa memberitahu Malaysiakini walaupun mereka tidak menyokong penjualan dan pengeluaran produk ganja, mereka ingin menekankan pentingnya memahami bagaimana pesakit dengan penyakit yang teruk, seperti barah dan sawan, mendapat manfaat daripada penggunaan ganja secara perubatan.

“Di Thailand, di Bangkok, inilah yang mereka lakukan. Mereka membawa ibu-ibu yang mempunyai anak dengan epilepsi, autisme dan semua penyakit lain dan berusaha merawatnya dengan ganja dan ia berjaya.

“Ketika itulah kerajaan mulai melakukan perubahan. Jadi, inilah yang cuba kita lakukan di Malaysia,” kata Harish.

Pada 26 Disember 2018, Kerajaan Thailand meluluskan pindaan terhadap undang-undang narkotik negara itu yang menyaksikan penggunaan produk ganja dan ketum untuk tujuan perubatan tidak lagi menjadi satu kesalahan dari segi undang-undang.


Gambar fail, ganja ditanam di hospital di Thailand.

Untuk rekod, pada 10 September lalu Universiti Malaysia Perlis (Unimap) menjadi universiti awam pertama di negara ini menjalankan penyelidikan mengenai tanaman hemp (ganja jenis Cannabis sativa) sebagai produk pertanian yang berpotensi dibangunkan sebagai cabang ekonomi pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Harish mendakwa terdapat ramai individu yang bersedia keluar sekarang dan berusaha mendekati kerajaan untuk merayu supaya diberikan belas ihsan mengambil ganja kerana penyakit mereka.

“Dalam Akta Dadah Berbahaya 1952, dinyatakan bahawa pesakit yang sangat memerlukan ubat perlu diberi akses dan kerajaan dapat memberikan akses itu di klinik atau hospital kerajaan,” katanya.

Untuk rekod, Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Zulkifli Abdullah dilaporkan media pada Feb 2019 berkata pokok ganja boleh diusahakan bagi tujuan perubatan dan kajian, namun perlu memperoleh kebenaran Menteri Kesihatan.

Menurutnya, terdapat peruntukan undang-undang yang membenarkan penanaman pokok ganja dengan syarat atau kebenaran khusus tanpa menggubal akta sedia ada.

Pun begitu Harish merasakan kerajaan Malaysia tidak serius dalam reformasi polisi dadah.

Ini katanya berdasarkan pengalaman peribadinya dalam menganjurkan gerakan legalisasi ganja selama lebih dari enam tahun.

“Dalam ertikata ganja, saya merasa bahawa mereka takut kerana ganja mengkhayalkan, dan hukumnya haram,” kata Harish menjelaskan kerajaan perlu merujuk manfaat perubatan ganja melalui penyelidikan dan hasil kajian yang tepat.


Untuk rekod, Mufti Pulau Pinang Dr Wan Salim Mohd Noor (gambar, atas) pada Jan 2019 ini dilaporkan berkata penggunaan tumbuhan semula jadi seperti ganja dalam perubatan adalah harus jika tidak mengancam keselamatan.

Pensyarah Kanan, Pusat Fiqh Kontemporari dan Pematuhan Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim dalam laporan sama berkata, penggunaan ganja dalam perubatan perlu disahkan pakar dalam bidang itu.

“Sesuatu yang haram itu, menjadi harus apabila ia tidak ada pilihan lain untuk mengubati penyakit dan memberi harapan untuk manusia untuk terus hidup.

“Ia dibenarkan Islam selagi tidak ada yang lebih baik dan diperakui halalnya,” katanya

Anggota Majlis Saintifik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Adeeba Kamarulzaman ketika menjadi dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya pada 2019 pula menyifatkan hukuman mati untuk kesalahan ganja sebagai tidak wajar.

Katanya, sekarton rokok lebih berisiko memudaratkan kesihatan berbanding 200 gram ganja.

Pun begitu, Akta Dadah Berbahaya 1952 memperuntukan pemilikan ganja dengan berat 200 gram boleh membawa hukuman mati. Mk

Kumpulan proganja perubatan gesa reformasi dasar dadah


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


TMJ salah tafsir kos – Faizal Azumu

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker