Pembangkang tidak ada tokoh untuk dinamakan sebagai PM

Ketika berdepan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), gabungan pembangkang yang dikenali sebagai Pakatan Harapan (PH) sepakat menamakan calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri sekiranya memenangi pilihan raya tersebut.

Sebelum itu, dalam sekian banyak pilihan raya umum kecuali pada 1990 dan 1995, pembangkang tidak dapat menamakan calon perdana menteri mereka.

Pensyarah Pengajian Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM, Mujibu Abd Muis berpendapat blok pembangkang hanya akan mengumumkan calon perdana menteri apabila Parlimen dibubarkan kelak.

Ini kerana katanya, gabungan pembangkang masih tidak mempunyai tokoh yang sesuai untuk dinamakan sebagai calon perdana menteri sebelum PRU15.

“Secara ringkas saya berpendapat mereka tidak ada tokoh yang paling sesuai untuk ditonjolkan sebagai perdana menteri melainkan kalau mereka masih mahu mengekalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon utama.

“Secara ringkas saya boleh berpendapat barangkali ini (calon perdana menteri) akan diumumkan ketika Parlimen dibubarkan, di situ mereka (pembangkang) akan mengumumkan calon perdana menteri untuk menghadapi pilihan raya,” katanya kepada Astro AWANI.

Mujibu menjelaskan calon perdana menteri adalah amat penting bagi mana-mana parti atau gabungan yang memasuki pilihan raya.
Ini kerana rakyat akan melihat kekuatan sesuatu gabungan itu dengan calon perdana menterinya sama ada berwibawa untuk menerajui kerajaan atau sebaliknya.

“Calon perdana menteri ini penting kerana beliau ah yang akan menentukan hala tuju kerajaan, menentukan pentadbiran dan paling penting sekali menunaikan janji-janji yang telah dijanjikan dalam manifesto dan juga sepanjang berkempen parti tersebut dalam pilihan raya.

“Perdana menteri yang kuat dan berwibawa ini akan menyakinkan pengundi bahawa mana-mana parti yang akan dipilih ini kelak bakal memiliki agenda yang jelas, mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai kerajaan dan paling penting mampu deliver (menunaikan) apa yang dijanjikan,” katanya lagi.

Seiain itu, calon perdana menteri juga penting kerana ia mampu mewujudkan persefahaman antara parti-parti komponen dalam satu-satu gabungan.

Isu calon perdana menteri dari blok pembangkang masih menjadi tanda tanya kerana ada yang berpendapat bahawa gabungan itu perlu menampilkan calon baharu untuk dinamakan sebagai perdana menteri.

Biarpun parti-parti komponen PH berpendapat Anwar merupakan calon perdana menteri mereka tetapi ada juga cakap-cakap dalam gabungan itu yang mahu individu lain seperti Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ditonjolkan sebagai calon perdana menteri.

Sekiranya Shafie dipilih sebagai calon perdana menteri, PH melakukan satu eksperimen yang menarik kerana belum pernah calon dari Malaysia Timur dinamakan sebagai calon perdana menteri. Awani

Calon Perdana Menteri: Tiba masanya lihat kepada muka baharu – Mukhriz

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker