PRN Melaka: Kempen parti poltik semakin panas

MELAKA: Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang memasuki pusingan kedua ming­gu ini menyaksikan suasana berkempen semakin panas apabila provokasi dan serangan pe­ri­badi terutamanya membabitkan isu-isu integriti calon dan parti semakin berleluasa dan tular dalam media sosial.

Berbanding tujuh hari lalu selepas penamaan calon pada 8 November, kempen pilihan raya tersebut hanya berkisar kepada isu-isu tempatan dan masyarakat serta rancangan pembangunan yang mahu dibawa setiap calon.

Namun, dengan kempen berbaki lima hari lagi, suhu politik Melaka naik mendadak dalam usaha calon-calon yang bertanding bagaikan terdesak untuk meraih sokongan pengundi terutama dalam kalangan pengundi atas pagar.

Antara serangan peribadi yang sedang tular ialah dakwaan isu integriti membabitkan beberapa calon selain penyebaran surat layang bagi memburukkan sesama calon yang mengambil bahagian dalam PRN ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, serangan dan provokasi seperti sedang berlaku itu secara tidak langsung boleh mempengaruhi fokus atau merencatkan hati pengundi untuk turun mengundi pada 20 November ini.

Menurut beliau, rakyat pada ketika ini tidak ‘gemar’ atau ‘muak’ melihat tingkah laku ahli politik yang disifatkan lebih mementingkan diri untuk menang PRN berbanding menumpukan isu untuk membela nasib mereka.

“Sama ada melalui platform media sosial atau sebaliknya, budaya berkenaan tidak seharusnya berlaku kerana pilihan raya dibuat untuk mengangkat nasib rakyat dan bukannya demi kepentingan calon bertanding.

“Calon mahupun jentera parti seharusnya fokus bagi mendekati pengundi dan mengajak mereka keluar mengundi. Jika sikap sebegini berterusan, ia boleh menyebabkan pengundi hilang tarikan kepada calon,” katanya.

Akmal Nasrullah berkata, pilihan raya itu sebenarnya menyaksikan persaingan besar antara BN dan PN iaitu pertembungan ego dan ideologi antara kedua-dua pihak terbabit.

Justeru, kata beliau, mereka antara satu sama lain kini dilihat berusaha keras untuk menang pilihan raya dalam apa jua situasi, apatah lagi semua calon melihat mereka berpeluang memenangi kerusi ditandingi.

“Jadi, provokasi yang tercetus kini hanyalah antara BN dan PN, bagi PH, fokus kita adalah mendekati pengundi dan mengajak mereka keluar mengundi, itu lebih penting,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pe­nerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan pula menggesa budaya menyerang peribadi calon dihentikan kerana sikap berkenaan mencemarkan perjalanan PRN Melaka.

Menurut beliau, jentera PN juga berhadapan provokasi pihak tertentu yang merosakkan poster dan bendera seperti mana berlaku di kawasan DUN Kota Laksamana.

“Saya menyeru kita berkempen dengan cara yang baik. Budaya samseng dan ekstrem mesti dihentikan daripada landskap politik,” jelas beliau.

Calon PH Pengkalan Batu, Danish Zainuddin mendakwa, beliau tidak terlepas berhadapan provokasi yang merosakkan papan tanda sejak hari pertama kempen.

Katanya, beliau tidak mahu menyalahkan sesiapa tetapi kejadian tersebut mencurigakan.
“Kita tidak gentar dan akan terus berkempen untuk berjumpa pengundi-pengundi Pengkalan Batu,” katanya.- UTUSAN

PRN Melaka: Kempen parti poltik semakin panas

 


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker