Mujahid beri amaran tegas

Cakap-cakap kononnya Parti Amanah Negara (Amanah) mengambil arus berbeza menyokong Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah tindakan berniat jahat untuk memburukkan imej parti itu.

Naib Presidennya, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, pihak yang tidak bertanggungjawab itu turut menyerang peribadi Presiden, Mohamad Sabu sehingga berlakunya perpecahan dalam parti.

Beliau dengan tegas meminta pihak terbabit segera memohon maaf, kerana usaha memburukkan Amanah secara sengaja atau tidak telah merosakkan kesatuan dalam Pakatan Harapan (PH).

Katanya, parti itu kekal dengan pendiriannya untuk tetap berpegang kepada keputusan awal PH, bahawa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pengganti Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, tanpa pertikaian.

“Apabila Dr. Mahathir meletakkan jawatan tanpa konsultasi Majlis Presiden PH, kita kekal berpendirian bersama PH dengan menyokong teguh kepimpinan Anwar sebagai Pengerusi PH.

“Semua keputusan dalam Majlis Presiden PH dibuat secara kolektif termasuk menyokong usaha untuk mengembalikan mandat rakyat pasca pembelotan ‘Langkah Sheraton’.

“Tidak timbul soal Amanah membuat langkah dan tindakan terkeluar daripada premis keputusan di Majlis Presiden PH,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr. Mujahid menegaskan, Amanah juga bersama Anwar meyakinkan 222 Ahli Parlimen supaya menyokong majoriti yang kukuh dan kerajaan yang stabil setelah Perikatan Nasional (PN) gagal memenuhinya.

Beliau yang juga Pengerusi Pembangunan Sumber Manusia Amanah menjelaskan, parti itu konsisten dengan pendirian setia bersama rakan seperjuangan dalam PH dan mengharapkan kesetiaan itu tidak disia-siakan.

Mengenai tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru dari Amanah, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar keluar parti menyertai PKR, beliau menyatakan, keputusan itu dibuat atas pilihannya sendiri.

“Keputusan itu tidak kena mengena dengan fitnah keretakan kepercayaan Amanah terhadap kepimpinan Anwar. Jangan kaitkan tindakan ADUN ini atau sesiapa sahaja dari ahli Amanah sebagai respons kepada ‘kekecewaan sikap parti Amanah terhadap Anwar’.

“ADUN Meru tidak wajar membayangkan demikian walau sekelumit pun kerana hakikatnya tindakan beliau adalah atas pilihan dan masalahnya tersendiri,” katanya.

Beliau berkata, Amanah adalah sebuah parti yang terasas atas kesedaran prinsip berintegriti dalam perjuangannya.

Setiap ahli yang secara sukarela memilih untuk bersama Amanah, katanya, perlu memahami terlebih dahulu bahawa parti itu berpegang kepada kesetiaan perjanjian dengan rakan komponennya. MG

Mujahid dakwa Muhyiddin takut dengan usul Mahathir.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker