Warga asing nekad terjun ke laut terkejut kehadiran imigresen

Warga asing nekad terjun ke laut terkejut kehadiran imigresen
Pegawai bomba menemubual buruh binaan warga Bangladesh selepas dia ditemui selamat di Tanjung Lumpur, Kuantan. – Foto NSTP/ Fazli Ahmad

KUANTAN: Warga Bangladesh bertindak nekad terjun ke laut dan berenang sejauh hampir lima kilometer kerana terkejut dengan kehadiran pasukan Jabatan Imigresen di tapak pembinaan di Tanjung Lumpur, di sini, hari ini.

Buruh Binaan terbabit, Sheikh Sharif, 25, dilaporkan terjun ke laut kira-kira jam 9.30 pagi untuk mengelak pemeriksaan pasukan imigresen yang melakukan operasi di tapak pembinaan tempat dia bekerja.

Pegawai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tas, Mohd Hilmi Kashfi Mat Zali, berkata bagaimanapun lelaki terbabit dilaporkan hilang ketika berenang di laut.

Beliau berkata, bomba menerima laporan buruh binaan terbabit dilaporkan hilang di laut dan dikhuatiri lemas pada jam 9.35 pagi.

Katanya, sejurus mendapat laporan, 20 anggota bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) melancarkan operasi mencari dan menyelamat di sekitar lokasi kali terakhir buruh binaan terbabit dilihat.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Rancangan Struktur Negeri Pahang 2040… Hala Tuju Pembangunan 15 Tahun


“Operasi pencarian di permukaan air dilakukan di sekitar lokasi buruh binaan itu dilaporkan hilang hingga persisiran pantai Tanjung Lumpur.

“Bagaimanapun kira-kira jam 5.45 petang wakil syarikat pembinaan tempat lelaki itu bekerja memaklumkan buruh binaan terbabit sudah pulang dengan selamat ke rumah kongsi di tapak projek berkenaan.

“Pihak pemaju turut mengesahkan lelaki itu adalah individu sama dilaporkan terjun ke laut ketika pemeriksaan pasukan imigresen di tapak projek pembinaan terbabit,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Mohd Hilmi Kashfi berkata, berdasarkan keterangan, lelaki terbabit mengaku terjun ke laut kerana terkejut dengan kehadiran pasukan imigresen untuk melakukan pemeriksaan di tapak pembinaan tempat dia bekerja.

Beliau berkata, pihak syarikat pembinaan turut mengesahkan buruh terbabit mempunyai dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Reezal Merican Semarakkan Kempen Kibar Jalur Gemilang, Perkukuh Patriotisme

“Berdasarkan pengakuan lelaki itu mengaku terkejut dan takut ditangkap menyebabkan dia terjun ke laut.

“Dia berenang ke Pantai Tembeling serta bersembunyi di kawasan hutan berhampiran kawasan pantai di situ.

“Selepas beberapa jam bersembunyi, dia berenang semula ke Tanjung Api dan menyeberangi muara Sungai Kuantan untuk pulang ke rumah kongsi di Tanjung Lumpur,” katanya.

Mohd Hilmi Kashfi berkata, warga Bangladesh terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan diserah kepada polis untuk tindakan lanjut.

DISYORKAN UNTUK ANDA :

 

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

21 Kerusi BN Melaka Harus Dipertahankan Atas Amanah – Nurul Amirah

 

 

 

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker