RMMJ Bukan Sekadar Janji, Kerajaan Johor Pastikan Rakyat Terima Kunci Rumah

ISKANDAR PUTERI, 7 Ogos – Kerajaan Negeri Johor terus memperkukuhkan komitmennya dalam memastikan rakyat memiliki kediaman yang selesa dan berkualiti apabila Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor turun padang meninjau sendiri kemajuan projek Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) di Taman Nusa Sentral, semalam.
Lawatan tersebut turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Datuk Hasrin Kamal Hashim; serta Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ), Datin Dr. Suhailizan Suliman.
Mohd Jafni berkata, projek perumahan rakyat tidak boleh sekadar mencapai sasaran di atas kertas, sebaliknya perlu dipastikan siap mengikut jadual, berkualiti serta dapat didiami dengan selesa oleh rakyat yang telah lama menantikan kediaman sendiri.
“Kita tidak mahu rakyat hanya menerima tarikh demi tarikh, sedangkan kunci rumah masih belum berada di tangan. Apa juga kekangan di tapak mesti diselesaikan dengan segera. Tidak boleh ada budaya menunggu surat, menunggu mesyuarat atau saling menuding jari apabila rakyat sedang menunggu rumah yang telah lama mereka impikan,” katanya.
Beliau memaklumkan, bagi projek RMMJ Jenis C Fasa 2 di Taman Nusa Sentral, sebanyak 146 unit telah melalui proses undian. Kerja-kerja pembinaan bangunan utama kini berada di peringkat akhir, namun beberapa komponen sokongan termasuk bekalan elektrik, kerja jalan, kemasan dan pemeriksaan teknikal masih perlu disempurnakan sebelum projek memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) yang disasarkan pada penghujung tahun 2026.
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- Hasni Sambut Baik Usaha Gubal RUU Bidang Kuasa Admiralti 2026
- Mohamad Hasan Terima Kunjungan Hormat UNRC Baharu
- Program Semarak Maghrib Dan Isyak Perkasa Syiar Islam, Terjemah Komitmen Kerajaan Negeri Johor
Kesihatan Rakyat Johor Bukan ‘Wayang’, Kerajaan Persekutuan Perlu Bertindak Segera
Dalam lawatan sama, Mohd Jafni turut meneliti kemajuan pembinaan 71 unit Rumah Transit Bangsa Johor bernilai RM42,000 seunit yang kini merekodkan kemajuan fizikal sebanyak 84.68 peratus.
Beliau berkata, semua agensi dan pihak berkaitan telah diarahkan memperkemaskan penyelarasan di tapak serta mempercepatkan pelaksanaan kerja bagi memastikan keseluruhan pembangunan dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.
“Bagi kami, projek perumahan rakyat bukan sekadar membina rumah, tetapi membina kehidupan yang lebih baik untuk rakyat. Setiap keluarga berhak menikmati kediaman yang selamat, selesa dan berkualiti. Itulah amanah yang perlu kami laksanakan,” ujar beliau.

Jelasnya, sehingga suku kedua tahun 2026, sebanyak 22,284 unit Rumah Mampu Milik Johor telah berjaya disiapkan di seluruh negeri, sekali gus memberi manfaat kepada ribuan keluarga untuk memiliki kediaman sendiri.
Menurut beliau, pencapaian tersebut bukan sekadar angka, sebaliknya menjadi bukti komitmen kerajaan negeri dalam memperjuangkan kesejahteraan rakyat melalui penyediaan perumahan mampu milik yang berkualiti.
“Di bawah kepimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi, Kerajaan Negeri akan terus turun padang, memantau setiap projek secara dekat dan memastikan setiap pembangunan disiapkan sehingga rakyat benar-benar menerima manfaatnya. Rumah rakyat bukan janji untuk disimpan dalam fail, tetapi amanah yang mesti dibina, disiapkan dan diserahkan kepada pemiliknya,” tegas beliau lagi. – UMNO Online
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- Onn Hafiz Bersuara Demi Pesakit, Jangan Diputarbelitkan – Hasrunizah
- Kesihatan Rakyat Bukan Bahan Politik, Jangan Salahkan Onn Hafiz – Haslinda Salleh
- MoU Kerjasama Pertahanan 2023… ‘Roadmap’ Perkukuh Hubungan Malaysia-Vietnam
LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
Pendaftaran Keahlian UMNO Terus Meningkat, Anak Muda Dominasi Ahli Baharu
You must be logged in to post a comment.