UMNO perlu dipimpin pemimpin muda – Ku Li

UMNO perlu dipimpin pemimpin muda – Ku Li

Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah menggesa parti itu mengiktiraf keperluan melakukan perubahan dan memberi ruang pemimpin baharu muda menerajui pucuk pimpinan.

Penasihat Umno itu turut memberi amaran parti terbabit akan musnah, jika kepimpinan sedia ada gagal menjajarkan parti dengan kehendak majoriti orang Melayu.



Beliau berkata, Umno masih ada harapan jika pemimpin sedia ada memberi ruang kepada pemimpin baharu yang lebih muda.

“Jika kepimpinan Umno hari ini tidak lentur mengikut ‘angin’, bermakna tidak ikut kehendak majoriti orang Melayu, maka habislah Umno,” katanya dalam temu bual dengan FMT.

“Tetapi, jika kepimpinan Umno menyedari hakikat sudah tiba masa untuk berubah dan mereka harus berkorban, beri laluan kepada golongan muda, bimbing mereka dan biarkan mereka ambil alih, maka cerahlah masa depan Umno.”

Tengku Razaleigh ditanya sama ada Umno mampu bangkit menjadi parti utama dalam kerajaan yang mewakili masyarakat Melayu.



Umno berusaha meraih semula sokongan orang Melayu berikutan prestasi mengecewakan pada PRU 2022 dan PRN berikutnya.

Pemimpin parti berkata, pengundi Melayu marah dengan Umno kerana menyimpang daripada prinsip asal apabila bekerjasama dengan seteru lamanya, Pakatan Harapan.

Ditanya sama ada Presiden Umno, Zahid Hamidi patut digantikan Timbalannya, Mohamad Hasan, Tengku Razaleigh menegaskan pemimpin kanan perlu memberi peluang kepada generasi muda.

“Dalam 30 hingga 40 tahun kebelakangan ini…kita tidak mempersiapkan golongan muda. Kita sepatutnya mempersiapkan mereka untuk ambil alih sebaik sahaja kita letih.



“Saya tidak akan berada di kedudukan sekarang jika bukan kerana golongan lebih tua buka laluan untuk orang muda seperti saya. Saya masuk (Umno) pada usia 24, 25 tahun.”

Tengku Razaleigh yang lebih dikenali Ku Li, menyertai Umno pada 1962 dan menganggotai Majlis Tertinggi pada 1971. Ahli Parlimen Ulu Kelantan selama tiga penggal dan Ahli Parlimen Gua Musang selama lapan penggal itu menjadi naib presiden Umno pada 1975.

Pada 1987, beliau mencabar Dr Mahathir Mohamad bagi jawatan presiden Umno yang membawa kepada perpecahan besar dalam parti Melayu itu.

Pengundi Melayu perlu bersatu semula di bawah Umno



Tengku Razaleigh berkata, Bersatu dan PAS hanya mendapat sokongan besar pengundi Melayu hari ini disebabkan rasa tidak puas hati terhadap ketidakupayaan Umno berpegang kepada prinsipnya.

Katanya, pengundi Melayu “semakin putus asa dengan keupayaan pemimpin kita kekal pada jalan lurus dan betul dalam perjuangan mereka, sehingga mereka hanyut”.

Demi masa depannya, Tengku Razaleigh berkata, Umno perlu mengajak orang Melayu kembali ke pangkuannya serta ahli parti politik serpihannya seperti Bersatu dan PAS bersatu semula di bawah Umno.

Perpecahan yang membawa kepada penubuhan pelbagai parti melemahkan pengaruh politik kolektif orang Melayu, katanya.



“Umno ada masa depan cerah sekiranya mereka kata: ‘Beginilah, semua orang Melayu, kami di sini untuk jaga orang Melayu. Marilah sertai Umno semula’.

“Kita ‘semak’ semula Umno dan lihat apa yang mereka mahu untuk masa depan.” FMT

UMNO perlu dipimpin pemimpin muda – Ku Li

Baca Artikel Menarik:



Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Boikot Starbucks, Berjaya Food rugi RM 33.16 juta suku ketiga

‘Semua salah TMJ’ – Tunku Ismail selar Selangor FC

Hartawan kelahiran Malaysia CEO terima gaji tertinggi di Amerika

Isteri menjadi dosa jika lakukan 2 ibadah ini

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker