Simbah OKU air panas, wanita dipenjara 10 tahun, denda RM6,000

Simbah OKU air panas, wanita dipenjara 10 tahun, denda RM6,000

BALIK PULAU: Seorang promoter dihukum penjara 10 tahun serta denda RM6,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan menyimbah air panas ke atas lelaki orang kurang upaya (OKU) Sindrom Down.

Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Oo Saw Kee, 39, mengaku bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Ketika prosiding, Ahzal Fariz, berkata setelah meneliti fakta kes, mahkamah mendapati tindakan tertuduh adalah perbuatan yang kejam dan tidak berperikemanusiaan.

“Mahkamah berkongsi sentimen dengan masyarakat, tambah-tambah lagi tiada provokasi langsung daripada mangsa.

“Mahkamah sudah tentu perlu mengambil kira kepentingan awam dan hukuman ini bertujuan memberi peringatan agar perbuatan ini tidak diulangi terutama kepada golongan istimewa.

“Masyarakat majmuk di Malaysia tidak membenarkan perbuatan seperti ini berlaku, oleh itu mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM6,000, dan penjara 12 bulan jika denda tersebut tidak dibayar,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Saw Kee didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Solairaj Archudan, 33, menggunakan alat panas yang boleh menyebabkan kelecuran iaitu sebuah botol air yang mengandungi air panas.

Kesalahan itu dilakukan dalam lif di Pangsapuri I-Park, Jalan Rajawali, Bayan Lepas pada jam 9.24 pagi, 19 April lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Pulau Pinang Mohd Nordin Ismail manakala tertuduh diwakili peguam pro bono Edric Loo.

Sebelum itu, Edric memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman penjara yang ringan kerana ia adalah kesalahan pertama dilakukan tertuduh dan tindakannya mengaku salah menjimatkan masa mahkamah.

Katanya, tertuduh yang masih bujang bekerja sebagai promoter dengan pendapatan RM1,500 sebulan tidak mempunyai tanggungan dan dia sudah insaf dengan perbuatan dilakukannya.

Terdahulu, Mohd Nordin memohon mahkamah mengenakan hukuman berat memandangkan tindakan tertuduh menyimbah air panas kepada mangsa adalah perbuatan serius.

“Mangsa masih dirawat di hospital dengan kesan melecur di bahagian belakang badan, bahu serta leher dengan luka melecur enam peratus dan doktor perlu mencuci dan membalut luka kecederaan ini untuk mengelak jangkitan kuman.

“Saya percaya rata-rata masyarakat mengutuk perbuatan ini. Amat jelas air (panas) disiram dengan begitu tidak berperikemanusiaan kepada mangsa yang masuk ke dalam lif dengan tertuduh adalah jiran yang hanya berbeza satu tingkat dan sudah menetap di pangsapuri sama sejak 2014.

“Saya telah menyemak tiada laporan yang dibuat tertuduh, cuma mungkin dia (mangsa) seorang lemah sikit belajar.

“Kita tidak boleh sisih dan masyarakat sepatutnya membantu golongan OKU dan bukan menzaliminya seperti binatang,” katanya. BH

Simbah OKU air panas, wanita dipenjara 10 tahun, denda RM6,000

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Sheriff pecah rekod, sailang Mat Kilau

Aliff Aziz dengan Sarah Yasmine pulak?

‘Anak ikan’ resah

Sebab Syasya tinggalkan Dolla

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker