Pindah RM116 juta kepada syarikat tiada lesen pasaran modal, CEO didakwa

KUALA LUMPUR: Seorang bekas CEO syarikat pelaburan sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas dua tuduhan memindahkan wang berjumlah RM116 juta kepada sebuah syarikat yang melakukan aktiviti pasaran modal tanpa lesen.

Syaiful Riezal Ahmad, 51, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sabariah Othman.

Mengikut tuduhan, Syaiful Riezal didakwa sebagai CEO Infinity Trustee Berhad telah memindahkan wang berjumlah keseluruhan RM116,292,904.15 daripada akaun semasa Affin Bank dan Alliance Bank Berhad milik syarikat itu ke akaun semasa CIMB bank milik Pixelvest Sdn Bhd



Ini bagi melanjutkan perlakuan salah oleh Pixelvest Sdn Bhd yang menjalankan suatu urusan dalam aktiviti terkawal, iaitu pengurusan kumpulan wang, sedangkan syarikat itu bukan pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal dan tidak berdaftar.

Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad Cawangan PJ State di Petaling Jaya antara 1 Dis 2020 dan 28 Julai 2022, dan di Alliance Bank Malaysia Berhad Cawangan SS2, Petaling Jaya antara 12 Ogos 2022 dan 11 Okt 2022.

Tuduhan dibuat mengikut Subseksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671) dibaca bersama dengan perenggan 370(b) dan subseksyen 367(1) akta sama.

Tertuduh boleh dihukum mengikut Subseksyen 58(4) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM10 juta atau penjara maksimum 10 tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.



Di mahkamah sama, bekas pengarah syarikat Pixelvest Sdn Bhd, Ang Jen Chuen, 33, mengaku tidak bersalah atas tuduhan menjalankan suatu urusan dalam aktiviti terkawa, iaitu pengurusan kumpulan wang, sedangkan syarikat tersebut bukan pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal dan tidak berdaftar.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Emporis Soho, Taman Sains Selangor di Petaling Jaya, antara 15 Dis 2020 dan 15 Julai 2022 mengikut subseksyen yang sama.

Mahkamah membenarkan Syaiful Riezal diikat jamin RM100,000 manakala Ang diikat jamin RM10,000, masing-masing dengan seorang penjamin.

Sebutan bagi kedua-dua kes ditetapkan pada 26 Mac.



Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Sekuriti (SC) Muhammad Izzat Fauzan. Syaiful Riezal diwakili Md Yunos Shariff selaku peguam, manakala Ang tidak diwakili peguam.

Pada 10 Jan lepas, Syaiful Riezal didakwa di Mahkamah Sesyen atas tiga tuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram membabitkan lebih RM2 juta, manakala Ang didakwa atas lapan tuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah lebih RM116 juta.

Di Mahkamah Sesyen berasingan, seorang lagi bekas pengarah syarikat Pixelvest Sdn Bhd, Chin Wai Lan, 50, mengaku tidak bersalah atas tuduhan menjalankan suatu urusan dalam aktiviti terkawal, iaitu pengurusan kumpulan wang, sedangkan syarikat tersebut bukan pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal dan tidak berdaftar.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Emporis Soho, Taman Sains Selangor di Petaling Jaya antara 15 Julai 2022 dan 31 Ogos 2022 mengikut subseksyen sama.



Muhammad Izzat menawarkan jaminan RM250,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan, iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SC sebulan sekali.

Sementara itu, Tan Hock Chuan yang mewakili Chin selaku peguam memohon mahkamah mengguna pakai jaminan yang dikenakan terhadap anak guamnya sebelum ini.

Hakim Azrul Darus menolak permohonan Tan dan menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap Chin serta membenarkan syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.

Pada 11 Jan lepas, Chin didakwa di dua Mahkamah Sesyen atas 17 tuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah lebih RM160 juta.



Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Jangan biar saya mati macam P Ramlee



Kurma Israel tapi label keluaran Palestin

Dua anak menganggur, ayah 70 tahun kerja rider

Pelukan Abby, Marissa undang sebak

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker