Howe sanjung mentaliti Isak

Howe sanjung mentaliti Isak

Howe sanjung mentaliti Isak
AKSI Isak menjaringkan penalti Newcastle ketika menentang Brighton. FOTO AFP

London: Eddie Howe memuji kekuatan mentaliti Alexander Isak selepas menjaringkan penalti pada lewat permainan yang membolehkan Newcastle United seri 1-1 menentang Brighton dalam saingan Liga Perdana Inggeris, semalam.

Penyerang Sweden itu menjaringkan gol ke-23nya dalam liga musim ini dua minit sebelum tamat permainan di selatan England, sekaligus memperkukuhkan harapan Newcastle untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan.

Newcastle ketinggalan menerusi jaringan separuh masa pertama oleh Yankuba Minteh, bekas pemain mereka sendiri dan kemudiannya dinafikan dua sepakan penalti selepas semakan VAR sebelum Isak akhirnya menyamakan kedudukan melalui penalti penyelamat.

Pengadil perlawanan, Craig Pawson, membatalkan keputusan penaltinya dua kali, pertama apabila ulang tayang menunjukkan Anthony Gordon dikasari sedikit di luar kotak penalti oleh Tariq Lamptey, dan kali kedua selepas Joe Willock didapati ‘berlakon’ dikasari.

Isak, yang menjadi pemain Newcastle pertama sejak legenda Alan Shearer pada 2002 menjaringkan 23 gol liga dalam satu musim, sudah pun bersedia untuk mengambil kedua-dua sepakan tersebut sebelum ia dibatalkan.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Apakah Akan Ada Pertandingan Jawatan Timbalan Presiden PKR?


“Saya sendiri belum pernah berada dalam situasi itu, jadi saya tak boleh benar-benar menyelami apa yang dia rasa,” kata pengurus Newcastle, Howe, mengenai Isak.

“Tapi saya hanya boleh bayangkan proses yang dia lalui, kemudian perlu berhenti. Sebab itu saya rasa dia lakukan dengan sangat baik, kerana sangat mudah untuk hilang fokus pada saat begitu. Tapi dia tidak.”

Howe menambah: “Dia ada mentaliti tertinggi untuk menjaringkan gol. Inilah jenis pemain yang anda bergantung padanya dalam saat genting. Untuk dia bertenang dan berkata, ‘baik, ini yang saya perlu lakukan’, dan kemudian melakukannya untuk pasukan, itu luar biasa.

“Ia satu penalti cemerlang pada detik sangat penting, kerana kami perlukan sesuatu dari perlawanan ini. Jika kalah, ia akan memberikan kesan besar kepada kami.”

Isak menjaringkan gol selepas satu lagi semakan VAR panjang, kali ini apabila pemain gantian Brighton, Yasin Ayari, didapati menyentuh bola dengan tangan hasil sepakan percuma Fabian Schär.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Tragedi Letupan Putra Heights: KUSEL Dan MBSJ Di Serbu Audit


Keputusan seri itu meletakkan Newcastle, yang sebelum ini memenangi trofi domestik utama pertama mereka dalam 70 tahun dengan menjuarai Piala Liga, di tangga keempat liga, tiga mata di hadapan pasukan di tempat keenam, Nottingham Forest.

Namun, dengan lima pasukan teratas EPL layak ke UCL musim ini, Forest boleh menyamakan mata dengan Newcastle dan Chelsea ketika berbaki tiga perlawanan, jika mereka menang menentang Crystal Palace di tempat lawan, awal pagi esok.

Howe sanjung mentaliti Isak

 


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Ayuh Malaysia, Kita Merajuk

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker