ECRL Malaysia pertama di Asia Tenggara guna rangkaian komunikasi 4G

Malaysia bakal melakar sejarah sebagai negara pertama di Asia Tenggara yang melaksanakan rangkaian komunikasi LTE-Railway (LTE-R) menggunakan 4G pada kereta api penumpang di Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 665 kilometer.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, rangkaian komunikasi itu akan membantu meningkatkan tahap keselamatan serta membolehkan komunikasi dan isyarat lebih pantas berbanding teknologi rangkaian mudah alih GSM-R untuk kereta api.

“Komunikasi ini menggunakan 4G. Jadi pada masa hadapan, jika anda ingin mengemas kini kepada 5G, infrastrukturnya sudah ada, jadi hanya perlu kemas kini perisian. Sistem komunikasi untuk perkhidmatan kereta api adalah amat penting terutama dari segi keselamatan.

“Anda akan nampak imej jika menggunakan rangkaian komunikasi ini. Sesetengah orang selalu keliru sama ada ini bermakna orang ramai akan mempunyai ketersambungan Internet sepanjang perjalanan termasuk ketika melalui terowong.

“Jawapannya ya, kita sedang bekerjasama rapat dengan penyedia rangkaian supaya orang ramai boleh menikmati ketersambungan penuh Internet sepanjang perjalanan,” katanya pada perbincangan forum Kelab Concorde di sini hari ini.

Perbincangan mengenai ‘The ECRL: Moving On Track,’ yang dianjurkan oleh Kelab Concorde, terajui oleh Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Seri Wong Chun Wai.

Ia adalah kumpulan tidak formal terdiri daripada editor dan wartawan kanan yang bertemu dengan ahli politik serta penggubal dasar utama.

LTE-R adalah berdasarkan teknologi 4G LTE yang digunakan oleh penyedia rangkaian telefon mudah alih dan dibangunkan untuk komunikasi kritikal misi generasi akan datang yang penting untuk operasi serta penyelenggaraan kereta api selain menyediakan perkhidmatan multimedia yang stabil.

Rangkaian LTE-R pertama di dunia telah digunakan di Korea Selatan pada kereta api berkelajuan tinggi Wonju-Gangneung.ECRL adalah projek infrastruktur kereta api yang dicadangkan khusus untuk meningkatkan kesalinghubungan di antara negeri Pantai Timur di Semenanjung Malaysia (Kelantan, Terengganu dan Pahang) dan negeri Pantai Barat (Negeri Sembilan, Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya).

Mengenai kemajuan ECRL yang ditetapkan untuk bergerak pada kelajuan maksimum 160 kilometer sejam, Darwis berkata projek itu yang dijadualkan siap pada 2026 telah mencapai 54.14 peratus setakat Oktober 2023 dengan 25 daripada 40 terobosan terowong secara keseluruhan.

“Ini adalah satu pencapaian yang sangat luar biasa untuk kami pada 2023. Sasaran pada 2024 lebih memberangsangkan, kami sepatutnya mampu mencapai kira-kira 73 peratus menjelang akhir 2024 dan sudah tentu menjelang akhir 2023, sasaran kami secara kasar ialah kira-kira 56 hingga 57 peratus siap.

“Tahun depan, kami turut menyasarkan untuk mencapai 3000/4380 pemasangan rasuk, 35 terobosan terowong, 20 pembinaan stesen penumpang dan penyiapan landasan peringkat pertama sejauh 210 kilometer,” katanya.

Darwis juga berkata, pembinaan utama termasuk kerja-kerja struktur, landasan dan memasang rasuk sedang giat dijalankan di sepanjang laluan ECRL, yang pada asalnya dilancarkan pada 2017 sebelum disambung semula pada 2019.

Beliau juga berkata, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijangka berangkat pada upacara pemasangan landasan pertama antara stesen ECRL Bandar Pelabuhan Kuantan di Gebeng dan Dungun, Terengganu pada 11 Dis ini.

Darwis juga berkata, harga tiket bagi perkhidmatan ECRL berkemungkinan besar akan diumum pada 2026 selepas mendapat kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Jajaran ECRL dari Kota Bharu ke Gombak dijadualkan siap pada 31 Disember 2026 manakala bagi jajaran Gombak ke Pelabuhan Klang pada 31 Dis 2027. – Bernama

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

PAS ‘melompat’ dengan sokongan MP Bukit Gantang kepada PM

Tok Ram punya pasal, Alyah yang kena

Bersatu berpecah, menunggu karam – Mohd. Sharkar

Saya bukan muka T20 – Shuib

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker