Beli bayi RM2,000

Beli bayi RM2,000

Ampang: Seorang wanita warga Indonesia bagaikan histeria apabila bayinya dilarikan oleh dua beranak dalam kejadian di sebuah kedai barangan bayi di Jalan Ampang di sini, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, adegan wanita terbabit turut mendedahkan perbuatannya yang mahu menjual bayi lelaki yang berusia 15 hari ketika kejadian berkenaan kepada dua beranak terbabit.



Seorang pekerja di kedai barangan bayi yang enggan dikenali berkata, tiga wanita terbabit dilihat memasuki premis itu kira-kira jam 7 malam pada hari kejadian.

“Saya mengenali seorang daripada mereka iaitu wanita warga Indonesia berkenaan memandangkan dia kerap datang ke kedai ini untuk membeli barangan bayi sejak dia hamil lagi.

“Wanita Indonesia itu dilihat membeli banyak barangan bayi termasuk alat pembawa bayi (carrier) serta sebakul penuh pakaian (bayi) manakala dua lagi wanita bersamanya dilihat hanya berlegar di dalam premis,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, wanita Indonesia itu kemudiannya dilihat meminta seorang daripada mereka (dua beranak) untuk memegang bayi berkenaan yang menangis sementara dia memilih pakaian.



“Selepas beberapa minit, wanita yang membawa bayinya tidak kelihatan dan ada pekerja lain memaklumkan dia dilihat keluar dari kedai sebelum menaiki kereta dipandu seorang lagi wanita yang bersamanya sebelum itu.

“Wanita Indonesia itu kemudian meraung dan menjerit meminta tolong memaklumkan anaknya dilarikan oleh mereka.

“Dia juga berlari ke kedai lain untuk meminta tolong sebelum dikejar oleh saya.

“Saya bersama beberapa pelanggan kedai cuba untuk menenangkannya yang seperti hampir pengsan. Melihat keadaannya, saya terus menghubungi pihak polis,” katanya.



Pekerja terbabit berkata, sementara menunggu pihak polis tiba, dia meminta izin wanita Indonesia itu untuk menghubungi suaminya yang juga warga Bangladesh bagi memaklumkan perkara terbabit.

“Wanita itu memaklumkan bayi berkenaan adalah anak pertama mereka namun tidak menjelaskan mengenai hubungannya dengan dua wanita yang melarikan bayinya.

“Ada yang maklumkan kepada saya bahawa wanita Indonesia itu mahu menjual bayi berkenaan menyebabkan saya bimbang mengenai keselamatan bayi berkenaan.

“Sepanjang tempoh kira-kira empat tahun bekerja di sini, ini kali pertama saya berdepan situasi mencemaskan membabitkan kes jenayah (melarikan bayi) yang berlaku di depan mata,” katanya.



Polis tahan dua beranak, wanita Indonesia

Dua beranak serta seorang wanita Indonesia ditahan selepas dipercayai terbabit dalam urusan jual beli bayi serta melarikan bayi di sebuah kedai menjual barangan bayi di Jalan Ampang di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, seorang wanita warga Indonesia bersama dua wanita yang juga dua beranak ke kedai berkenaan dipercayai untuk membeli barang bayi.

Sumber berkata, wanita Indonesia itu turut membawa bayi lelakinya yang berusia 15 hari ketika hari kejadian ke kedai berkenaan bersama dua beranak terbabit.



“Ketika membeli barang, seorang suspek (dua beranak) meminta untuk memegang anak wanita Indonesia berkenaan.

“Semasa memilih barangan, wanita itu mendapati dua beranak berkenaan tiada di dalam dan luar premis itu sebelum pekerja kedai memaklumkan bayi terbabit sudah dibawa pergi menggunakan sebuah kereta.

“Menurut wanita Indonesia itu, dia mengenali dua beranak berkenaan dan hanya berhubung melalui telefon sahaja sebelum ini,” katanya.

Susulan laporan itu, polis menahan dua wanita tempatan yang juga anak beranak masing-masing berusia 19 dan 49 tahun di sebuah rumah di Seremban, Negeri Sembilan pada kelmarin.



Dalam serbuan itu, polis merampas pakaian, telefon bimbit serta sebuah kereta yang dipercayai digunakan bagi melarikan bayi berkenaan.

Menurut sumber, wanita berusia 19 tahun berkenaan ada memuat naik hantaran di TikTok pada Ogos lalu bagi mencari anak angkat bagi memenuhi hasrat ibunya yang juga suspek kedua untuk mempunyai anak.

Katanya, wanita Indonesia berkenaan kemudian memaklumkan kepada mereka bahawa dia berminat untuk menyerahkan bayinya selepas bersalin kerana mempunyai masalah kewangan.

“Apabila bayi berkenaan dilahirkan pada hujung bulan lalu, mereka bersetuju untuk mengambilnya sebagai anak angkat dengan membuat bayaran secara dalam talian sebanyak RM2,000 kepada wanita Indonesia itu.

“Dua beranak itu memaklumkan mereka datang ke Ampang pada hari kejadian menggunakan kereta sewa untuk mengambil bayi terbabit sebelum balik ke rumah saudara di Mambau, Negeri Sembilan.

“Susulan maklumat itu, wanita Indonesia itu juga ditahan bagi membantu siasatan.

“Bayi berkenaan pula diserahkan kepada pihak hospital untuk dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi mengesahkan penahanan ketiga-tiga suspek terbabit. HM

Beli bayi RM2,000

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

FD3: ‘Wahab’ jadi usikan Mas Idayu

GV10: Liza Hanim dapat ‘5M’ daripada Hetty Koes Endang

FD3: Syarif dan Syaiful juara minggu ke enam

GV10: Noryn Aziz tersingkir

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker