Sia-sia Ketereh bertekak
Sia-sia Ketereh bertekak
oleh Hishamuddin Aun
Khlir Mohd Nor tidak pun perlu pengenalan lanjut sebagai Ahli Parlimen penggal pertama mewakili Ketereh. Hanya dua atau tiga kali tampil berdiri dalam sidang Dewan Rakyat, ahli yang berhormat Perikatan Nasional (PN) itu harus sudah dikenali ramai atas sebab-sebab yang mungkin tidak dirancangnya.
Keterbukaaan dalam menuntut peruntukan bagi Ahli Parlimen pembangkang sudah memadai dalam mendedahkannya kepada perhatian ramai di sebalik beliau harus kini tertanya-tanya sama ada ikhtiarnya itu berbaloi atau sebaliknya.
Tentunya bukan mudah buat Khlir, seorang bekas pegawai tentera berpangkat mejar-jeneral untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Annuar Musa, seorang bekas menteri dan wakil rakyat yang mewakili Ketereh selama tiga penggal selepas PRU12 pada 2008 setelah sebelum itu mewakili Nilam Puri dan Peringat sejak 1990.
Dibandingkan dengan wakil Hulu Langat Mohd Sany Hamzan, juga seorang Ahli Parlimen penggal pertama yang serta-merta dikenali kerana sering berbuat bising menyanggah hujah wakil pembangkang ketika sidang Dewan, Khlir lazimnya banyak berdiam diri dengan alasannya: “Saya tak pandai cakap.” Tapi beliau menunjukkan sisi berbezanya apabila diganggu ketika berucap.
Pada penghujung perbahasannya mengenai Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), 12 Sept lalu, beliau memohon Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersikap adil kepada semua Ahli Parlimen dengan memberi peruntukan termasuk kepada wakil pembangkang.
“Saya menghadapi masalah, pusat khidmat saya tak boleh beroperasi kerana saya tak boleh nak sewa, tak boleh nak bayar gaji. Saya pergi melawat orang mati pun, satu hari mati lima ke tujuh orang, penduduk kawasan saya 300,000 lebih. Saya kena bagi sedekah guna duit saya sendiri.
“Orang sakit saya pergi melawat, orang kahwin saya kena pergi melawat, jadi duit mana saya nak pakai? (Ketika ini ada suara menyuruhnya berhenti). Apa berhenti? Jadi saya berharap sangatlah kepada YB Tambun dengarlah rayuan saya ni, kalau boleh bulan ni dah masuk dah duit peruntukan untuk kami semua,” katanya.
Ucapannya itu segera tular di media sosial, dengan ramai yang memperlekehkannya kerana mengungkit terpaksa menggunakan duit sendiri untuk sedekah kematian yang sepatutnya berakar kepada keikhlasan, bukan berharap kepada peruntukan Ahli Parlimen jika namanya sedekah. Ada pula yang menyindirnya kerana sepatutnya tahu tanggungjawab seorang wakil rakyat – tempat untuk rakyat mengadu kesusahan dan memohon bantuan – dan bukannya merungut kemudian.
Kemudian, bangun mencelah ketika perdana menteri menggulung perbahasan pada 19 Sept, Khlir berkata: “Apa yang saya bangkitkan hari itu (12 Sept), mewakili semua wakil rakyat pembangkang sebab saya tahu Ahli Parlimen ni dia ada peruntukan untuk Ahli Parlimen.
“Saya bangkitkan itu hari, mungkin saya tak pandai nak bercakap. Cakap mungkin pasal nak pergi melawat orang mati apa semua sekali. Tapi maksud saya, saya perlukan peruntukan untuk Ahli Parlimen, yang pertama sekali untuk maintain pusat khidmat, kemudian saya juga membuat aktiviti lain,” katanya.
Apabila ada gangguan bahawa ia sudah dijawab perdana menteri, Khlir dilihat bertempik: “Eh dengar la… Aku kalau macam ni, aku eiii dia ni… Dengar la dengar,” disambut gelak-ketawa yang lain. “Bukan saya nak guna duit tu untuk diri saya,” tegasnya selepas Speaker Johari Abdul menjelaskan apa yang dimaksudkan oleh Ketereh itu ialah bantuan kewangan yang diberikan kepada Ahli Parlimen seperti yang diterima oleh wakil rakyat di pihak kerajaan.
Anwar pula dalam jawapannya sejurus itu berkata isu agihan peruntukan kepada pembangkang hendaklah dibincang dengan Timbalan Perdana Menteri II, Fadillah Yusof. Kaedah itu, jelas perdana menteri, adalah sama seperti ketika pentadbiran Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri kesembilan.
“Ini tak payah sain dan bincang… kata ini hak kami, ini bukan hak Ahli Parlimen. Runding setuju kita luluskan, kalau tak sampai bila-bila pun kita tak luluskan. Runding jangan sombong dan angkuh tuntut,” kata Anwar yang juga menteri kewangan dengan menempelak bahawa Parlimen Ketereh menerima peruntukan pembangunan 61 projek persekutuan bernilai RM 2.12 juta.
Menyusuli penjelasannya pada 20 Sept bahawa Ahli Parlimen pembangkang tidak menghantar surat memohon peruntukan, Fadillah pada Isnin lalu mengulangi bahawa belum ada sebarang surat rasmi daripada wakil Perikatan Nasional (PN) kecuali Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berjumpa dengannya untuk membincangkan peruntukan kepada pembangkang.
“Setakat ini, pembangkang yang datang jumpa adalah Syed Saddiq saja. Daripada PN, sama ada ketua pembangkang atau ketua whip belum lagi. Berjumpa hal lain adalah, namun bukan berkait peruntukan,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro di Kota Bharu.
Bolehlah diandaikan bahawa Ahli Parlimen pembangkang berasakan peruntukan wakil rakyat itu adalah hak mereka tanpa perlukan sebarang rundingan di sebalik mereka turut sama menyokong kaedah itu ketika berada di pihak kerajaan di bawah pentadbiran Ismail Sabri.
“Runding jangan sombong dan angkuh tuntut,” seperti diungkapkan oleh Anwar dalam konteks ini amat bertepatan. Persoalannya susah sangat ke untuk pembangkang menerima pelawaan perdana menteri untuk berunding jika benar mereka memerlukan peruntukan untuk rakyat di kawasan yang diwakili mereka.
Atau ketua pembangkang Hamzah Zainudin dan ketua whip PN Takiyuddin Hassan terlalu sibuk dengan kerja lain? Atau bolehkah kedua-duanya dikatakan tidak pun mengutamakan keterbukaan wakil rakyat seperti Khlir yang bersungguh-sungguh mewakili Ahli Parlimen pembangkang yang lain?
Sia-sia sajalah wakil Ketereh itu bertekak soal itu di Parlimen dan dipersendakan dan sanggup menebalkan muka terus berada di tempat duduknya untuk terus bertanyakan perkara itu ketika blok pembangkang keluar beramai-ramai meninggalkan Dewan Rakyat 19 Sept lalu.
“You betul-betul seorang jeneral, orang lain semua keluar, you masih ada sini,” kata satu suara dari blok kerajaan ketika itu sambil Mohd Sany, seperti yang tidak asing dengan dirinya, bersorak kepada Khlir: “Mari ke sebelah sini, mari ke sebelah sini!.” FMT
Sia-sia Ketereh bertekak
Baca Artikel Menarik:
- Cinta PKP Sabri, Angeline
- Iskandar Dzulkarnain tetap selamat walau dipecat Bersatu
- Jangan risau, saya Muslim, kami tak akan sakiti kamu’, kata pejuang Hamas
- Tiada setitis air, sebutir gandum dan seliter bahan api dibenarkan di Gaza sejak 8 hari lalu
- Guna elektrik macam ayah bayar, PM tegur penjawat awam
- FD3: Persembahan Shila Amzah dan adiknya terganggu
- GV10: Doa Aishah tersingkir dimakbulkan
- Nabila Huda selar VIP buang puntung rokok merata-rata
- Syaiful, Syarif Zero diumum Duo Terbaik pada konsert pertama FD3
- Hetty Koes Endang nasihat Lina Pom Pom, jangan mudah koyak
- Pegawai khas PM dalang kenyataan ‘tak benar’ PMO – ‘Oms’ P Thiagarajan
- Saya cadangkan lebih awal terima PAS sebahagian dari Kerajaan Perpaduan
- Protes operasi JPJ, 1000 ‘abang lori’ turun berhimpun
- Abang Sabri sangat baik, saya kagum dengan dia – Angeline Tan
- Puteri Sarah makin mesra dengan Andi
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
Lucy ‘tawan hati’ Wan Ismail Golok, ‘kawan yang setia dan ambil berat’