Cinta PKP Sabri, Angeline
Cinta PKP Sabri, Angeline
Keputusan memeluk Islam dan berkahwin dengan sahabat yang dikenali lebih tiga dekad, iaitu pengarah dan pelakon terkenal, Sabri Yunus, 62, disifatkan langkah cukup indah dan tepat buat saudara baharu, Angeline Tan, 56.
Sebaik akad dilafazkan di hadapan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau Dr Maza di Kangar, pagi kelmarin, Angeline mengaku beroleh ketenangan yang sukar digambarkan.
“Saya rasa lega, gembira dan bahagia akhirnya disatukan dengan abang (Sabri).
“Jika orang lain rasa kelakar dengan perkahwinan ini, kami pun sebenarnya tidak percaya persahabatan yang terjalin sejak 32 tahun lalu, berakhir dengan perkahwinan.
“Tiga tahun berkawan, kami langsung tidak pernah tergesa-gesa berkahwin. Saya dan suami lebih suka membiarkan perhubungan itu mengalir dan terbina secara semula jadi,” katanya kepada BH Online.
Kelmarin, Sabri dan Angeline yang sama-sama mencipta nama melalui sitkom, Pi Mai Pi Mai Tang Tu pada era 1990-an, mengejutkan peminat apabila mengumumkan bernikah pada majlis ringkas di Kangar.
Pada majlis itu, Sabri menyerahkan mas kahwin berupa seutas rantai emas. Pasangan itu tampil menggayakan persalinan sedondon rona putih.
Majlis itu dihadiri keluarga dan kenalan rapat pasangan pengantin.
Selain video majlis akan nikah tular, berita pernikahan Sabri dan Angeline tersebar selepas teman artis, Issey Fazlisham, berkongsi foto menghadiri majlis ringkas tetapi indah itu di Instagram (IG).
Peminat memberi reaksi positif perkahwinan mereka, malah klip video memaparkan aksi Angeline yang melakonkan watak Lucy dalam salah satu episod sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu bersama Sabri yang membawa karakter Wan Ismail Golok, tular dalam media sosial.
Lebih membahagiakan Angeline, keluarga masing-masing terutama anak-anak, merestui hubungan suci itu.
Sepanjang fasa berkawan, Angeline pernah memperkenalkan Sabri kepada sanak saudara dan kehadirannya disambut baik.
“Saya tak pernah sorok hubungan kami daripada pengetahuan keluarga.
“Alhamdulillah, keluarga saya, mahupun di sebelah suami, tidak menghalang dan sambut baik hubungan kami.
“Anak-anak dan menantu juga beri doa yang baik. Jujurnya, saya tidak minta izin daripada anak-anak untuk berkahwin kerana yang hendak berkahwin adalah saya.
“Cuma saya beritahu saya akan berkahwin dan masuk Islam. Mereka tahu saya berkawan dengan abang dan anak-anak titipkan doa yang baik-baik buat kami,” katanya.
Angeline memiliki sepasang cahaya mata lelaki dan perempuan menerusi perkahwinan terdahulu yang berusia 29 dan 32 tahun.
Membuka bicara bagaimana hatinya boleh terpaut kepada Sabri, Angeline mendedahkan semuanya bermula tiga tahun lalu, iaitu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Bermula dari sekadar bertanya khabar selepas bertahun tidak berjumpa, akhirnya perasaan mereka bertaut antara satu sama lain.
“Niat kami pada mulanya hanya bertanya khabar. Kami memang akrab kerana pernah bekerjasama dalam banyak projek.
“Tetapi, lama-kelamaan, timbul perasaan di mana kami tahu bukan sekadar hendak berkawan, sebaliknya, kami ingin akhiri persahabatan ini dengan bernikah.
“Sepanjang 32 tahun mengenali suami dari zaman Pak Din KK lagi, abang memang sangat baik dan saya sebenarnya, cukup kagum.
“Dalam tempoh berkawan, abang tidak pernah desak untuk berkahwin. Sebaliknya, abang beri masa yang cukup untuk saya buat keputusan,” katanya.
Tambah Angeline, sepanjang tiga tahun menjalin hubungan rapat, Sabri menjadi guru pertama yang membimbing mengenai selok-belok agama. Selepas ini, kata Angeline, dia akan mengikuti kursus mendalami Islam secara rasmi pula.
Ditanya bagaimana mahu menyesuaikan diri dengan kehidupan bersama ahli keluarga baharu, Angeline berkata, perkara itu tidak menjadi masalah kerana dirinya sudah biasa bekerja dan bergaul dengan orang Melayu.
Malah, Angeline sudah lama mengenali keluarga suami. Suatu ketika dahulu, dia bersama beberapa rakan artis, pernah berkunjung ke kampung halaman Sabri di Kota Bharu, Kelantan.
“Saya sebenarnya sangat bersyukur. Bagi saya, tiada tekanan pun.
“Tiada rasa kekok kerana saya sudah lama bekerja dengan orang Melayu. Lagipun, sebelum berkahwin, suami sudah terang dan bimbing saya.
“Saya percaya dan yakin agama Islam akan membimbing saya menjadi seorang muslimah yang lebih baik lagi,” katanya.
Sementara itu, ditanya adakah ada simbolik tertentu memilih Sabtu lalu untuk diijabkabulkan, Angeline menjelaskan, mereka tidak mempunyai niat seumpama itu.
“Setiap hari adalah hari yang baik,” katanya.
Mengenai majlis resepsi dan bulan madu, Angeline berkata, dia dan suami tidak berhasrat menganjurkan majlis resepsi atau meraikan perkahwinan dengan berbulan madu.
Sebelum ini, Sabri kehilangan isteri, Allahyarham Norraya Mohd Yusuf pada 2007 akibat kanser. Menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata.
Sabri dan Angeline kali pertama berlakon bersama dalam drama Pak Din KK pada 1992. Angeline mula berlakon dalam drama rantaian Cina, Empat Sekawan terbitan RTM pada 1986. BH
Cinta PKP Sabri, Angeline
Baca Artikel Menarik:
- Anak Abang Jo ambil alih MyAirline?
- Pendang diarah keluar Dewan lagi
- Keadaan semakin genting di Gaza – Nurul Ain
- Aku tiada di rumah masa kejadian tapi ‘live’ demi mak – Syafiq Amzah
- Skirt Vivy Yusof berharga RM16,000 tarik perhatian ramai
- Zul Ariffin kembali bercinta dengan Gayatri?
- Lima cara menekan Israel
- Kenapa Hamas serang Israel?
- Penumpang marah MYAirline gantung operasi mengejut
- Kau ‘bantai’ kakak, adik, mak kau – bekas isteri Syafiq Amzah
- Ubai dedah Shila tanggung hutang keluarga ratusan ribu
- Keluarga kakitangan Aman Palestin di Gaza terbunuh
- ‘Stay safe’ Gadot, Raja Ilya dikecam netizen sokong artis Yahudi
- Bella tak percaya suami ke, soal netizen
- Jiran Mak Wan takut suami mereka disondol
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
Kahwin wanita Kazakhstan tak perlu wang hantaran – Fadlan Hazim