Mais selar dakwaan Dusuki

Mais selar dakwaan Dusuki

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyelar kenyataan penceramah, Dusuki Abdul Rani yang mendakwa MAIS berbohong dan menjadi pemecah umat Islam serta ejen kepada gerakan liberal.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, kenyataan terbabit berunsur fitnah dan dibuat tanpa memahami maksud serta hikmah larangan pembabitan aktivis politik sebagai pemegang tauliah mengajar agama Islam yang dikuatkuasakan di Selangor.

“Masyarakat Islam dinasihatkan supaya cakna dan memahami maksud dan tujuan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tidak perkenan tauliah mengajar agama Islam diberikan kepada aktivis politik.

“Aktivis politik yang dimaksudkan dalam larangan ini tidak terhad kepada orang yang memegang jawatan dalam mana-mana parti politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan yang dimuat naik oleh Dusuki menerusi akaun Facebook dan Instagram miliknya semalam.

Abdul Aziz berkata, larangan itu merangkumi mereka yang menjalankan aktiviti yang secara jelas mengajak dan mempengaruhi masyarakat untuk menyokong atau memihak kepada parti politik tertentu secara terbuka sehingga melahirkan sikap partisan dan fanatik terhadap sesuatu parti politik serta berpuak-puak di kalangan masyarakat Islam

“Daripada siasatan yang dibuat dan pengesahan tapisan keselamatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mais mendapati Dusuki tergolong dalam aktivis politik yang dimaksudkan itu.

“Larangan pembabitan aktivis politik sebagai pemegang tauliah mengajar agama Islam ini dibuat bagi menghalang mana-mana pihak menyalahgunakan medan dakwah dan pengajaran agama Islam sebagai gelanggang politik.

“Larangan ini juga bertujuan mengelak berlakunya penyebaran propaganda politik yang berunsur fitnah dan kebencian kerana ia menjadi punca perselisihan dan perpecahan dalam masyarakat Islam.

“Ini adalah suatu langkah preventif untuk mencegah sebarang mafsadah atau kerosakan daripada berlaku berdasarkan dalil sadd al-zara’i’,” katanya.

Beliau berkata, Mais juga menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa larangan ini sebagai suatu sekatan terhadap dakwah dan pengajaran agama Islam di Selangor.

“Larangan ini adalah langkah preventif bagi memastikan dakwah agama Islam yang disampaikan oleh aktivis politik yang bersikap partisan digantikan dengan pemegang tauliah lain yang mempunyai pengetahuan dan kepakaran dalam agama Islam yang tidak bersikap partisan.

“Pada masa ini terdapat seramai 5,682 pemegang tauliah yang aktif di Selangor dan penarikan balik tauliah terhadap aktivis politik bermula tahun lalu hanya membabitkan sejumlah 26 orang iaitu 0.5 peratus daripada jumlah keseluruhan pemegang tauliah,” katanya.

Justeru itu katanya, larangan ini tidak sama sekali menjejaskan aktiviti dakwah dan pengajaran agama Islam di Selangor. HM

Mais selar dakwaan Dusuki

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

GV10: Kak Lina ‘behave’ pada minggu ketiga

Putera Mateen, Dayang Anisha bakal berkahwin Januari 2024

Aishah nak cari lelaki berduit?

Pengarah JSJ Bukit Aman ‘basuh’ semua KBSJD, “jangan sanggup jual nyawa rakan sendiri” [VIDEO]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker