Zahid dedahkan isu pengampunan Najib, serangan dan pengkhianatan dalam UMNO

Sejak memimpin UMNO pada 2018 dan mengekalkan jawatan sehingga pemilihan parti Ogos lalu, pelbagai peristiwa, episod hitam putih serta cabaran diharungi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Selepas UMNO-Barisan Nasional (BN) kecundang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lima tahun lalu, Ahli Parlimen Bagan Datuk ini boleh dikatakan Presiden UMNO yang paling banyak berdepan tekanan dari sudut politik, pentadbiran dan perundangan.

Kini partinya kembali menjadi sebahagian daripada kerajaan dan beliau sendiri menggalas amanah selaku Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Ahmad Zahid mengimbau liku-liku diharungi dan harapan masa depan.



Soalan (S): Pandangan Datuk Seri terhadap prestasi UMNO pada PRU15 dan Pilihan Raya Negeri (PRN). Benarkah dilihat lebih buruk berbanding PRU14?

Jawapan (J): Kita harus melihat latar belakangnya, yang mana pencapaian terbaik UMNO-BN adalah pada PRU11 ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri. Selepas itu, prestasi parti semakin turun. Pada PRU12, kami tak dapat majoriti dua pertiga sebagai kerajaan ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Razak. Sehingga PRU13, walaupun tak dapat majoriti dua pertiga, kami tetap dapat membentuk kerajaan. Pada PRU15, kami tahu kami diserang, bukan saja dari luar, tetapi juga dipecahkan dari dalam.

Terlalu ramai mengkhianati parti ketika proses pembersihan dilakukan, sehingga saya akhirnya dipilih memimpin UMNO. Sudah tentu saya jadi sasaran serangan dan kritikan. Bukan tugas mudah untuk kendali parti akibat dilemahkan dari dalam. Pada masa sama, beberapa parti seteru menanam dasar dan kebencian guna pengkhianat untuk pecahkan parti dari dalam. Ini cukup sukar, tapi tak mustahil untuk kami bangkit semula.

Jelas daripada beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) selepas itu, kami beroleh kejayaan walaupun pada PRN baru-baru ini, kami tak dapat kejayaan kerana musuh politik guna isu 3R (agama, Raja dan kaum). Mereka guna pelbagai muslihat dengan bantuan ‘musibat’ parti untuk cemarkan imej kami. Apatah lagi,



saya sendiri hadapi 87 dakwaan yang jelas mempunyai elemen pendakwaan politik terhadap saya.

Beliau sengaja rosakkan imej saya kerana kaedah rosakkan organisasi, mencemar dan mengaibkan pemimpin utamanya adalah strategi mereka. Mereka lakukannya terhadap centre of gravity, ketika zaman Pak Lah (Abdullah) mereka guna fouth floor (‘budak tingkat empat’) sebagai sasaran. Kemudian centre of gravity ditumpukan kepada Najib, beliau dikotorkan dengan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan perkara lain. Ketika saya ambil alih kepemimpinan UMNO dalam penuh kepayahan, sudah tentu centre of gravity dialihkan kepada saya.

Mereka guna isu agama dan orang Melayu, seolah-olah kami menghakis isu itu. Ini kerana kami tahu mereka bersama parti berimej Islam mahu ambil alih peranan UMNO. Begitu juga parti ditubuhkan kerana pemimpinnya dipecat UMNO, tapi mahu merosakkan UMNO.

S: Apa Datuk Seri lakukan dalam menghadapi semua serangan itu dan apa reaksi akar umbi?



J: Saya banyak kali melontarkan hala tuju UMNO kepada akar umbi. Terbaru, saya sebut haluan baharu UMNO. Melalui haluan baharu ini, saya gariskan 21 langkah untuk diterjemahkan pelaksanaannya. Saya sendiri perlu turun ke 191 bahagian (UMNO) di seluruh negara. Ada pihak cadang digabungkan bahagian UMNO ini dalam satu kumpulan, tapi saya tak mahu begitu.

Saya mahu ada personal touch dengan semua bahagian. Ini pernah saya lakukan ketika jadi ketua pemuda pada 1996 apabila saya turun ke setiap bahagian bertemu ketua pemuda bahagian, ketua cawangan dan barisan pimpinan.

Reaksi pemimpin akar umbi banyak. Terlalu ramai, terutama rakan yang dulu berada dalam parti seteru, kami tetap berkawan. Melalui beberapa siri jelajah 1.0 hingga jelajah 2.0 dengan PRN di enam negeri, ramai meminta maaf. Ada yang kata ‘tak kenal maka tak cinta’. Apabila sudah kenal, mereka memaafkan saya dan saya juga seorang pemaaf, termasuk kepada pengkhianat, asalkan mereka tidak terus mengkhianati parti ini.

S: Benarkah wujud puak dalam UMNO, ada puak sokong Datuk Seri, yang lain sokong Najib serta ada kumpulan berkecuali?



J: Adakah ini masalah baharu dalam UMNO dan parti politik lain? Kita tahu mana-mana parti pun perkara ini akan wujud. Lihat saja Parti Demokratik Liberal (LDP) di Jepun. Puak ini didaftarkan secara rasmi. Di sini (dalam UMNO), kami tak daftar, tapi tahu siapa mereka. Apa yang saya buat bukan melayani puak ini, tetapi menyantuni mereka secara fikrah dan pemikiran. Perbezaan pendapat, biar kita layan secara tertutup. Masalahnya, dunia semakin terbuka, perbezaan pendapat selalunya dilontarkan melalui media sosial yang kini mempunyai saluran pelbagai. Kalau dulu tiada media sosial, mereka guna surat layang, guna ‘buku layang’ yang penulisnya tak diketahui.

Dulu mereka buat surat terbuka, tapi sekarang ini dunia berbeza dan kita tak boleh sekat. Sekarang, harus bertindak cepat untuk jawab soalan dan isu semasa. Kalau tidak lakukan tindakan melepasi tiga hari, maka persepsi ini sudah melekat di minda mereka (rakyat). Ini yang kami gagal suatu ketika dahulu.

S: Adakah keputusan PRN dan PRU15 menggambarkan ada orang UMNO sendiri yang marah kepada parti?

J: Ya, mereka marah kerana gagal memecahkan parti, apatah lagi pada PRU15, ramai tak dapat jadi calon (pilihan raya). Saya tak ambil tindakan sebelum itu, mereka itu pengkhianat kepada parti sendiri selepas pemilihan empat tahun lalu dan kini mereka dalam parti lain dan guna anasir luar memecahkan parti. Saya terima hakikat kami gagal dan hanya mempunyai 26 ahli Parlimen, tapi kami harus lihat mereka (bekas pemimpin UMNO sertai parti lain) juga gagal.



Saya sedar perkara ini (sabotaj oleh ahli UMNO sendiri) dan ajak kawan-kawan turun (padang), jangan guna pendekatan dari jauh, sebaliknya beli semula jiwa mereka dan dekati minda mereka. Ini kerana UMNO diasaskan oleh pejuang terdahulu, maka kami diberikan amanah harus memberi kesinambungan kepada perjuangan ini. Kami harus tukar perjuangan, bukan lagi kepada politik pembangunan dan perkhidmatan semata-mata, tetapi juga politik isu. Kami kena menjawab isu semasa dengan cepat.

Dalam perkara seperti banjir, bila bantuan tak dapat kepada mangsa banjir, mereka minta bantuan orang UMNO. Sebab itu kami tanya kenapa tak minta kepada wakil rakyat (lawan UMNO) yang mereka pilih untuk bantu mereka. Ini kerana sejak sekian lama, UMNO melaksanakan politik pembangunan dan perkhidmatan. Parti seteru kami berpolitik guna isu fitnah dan tohmah, (tetapi) apabila berlaku bencana, orang yang mereka pilih sebagai wakil rakyat itu tak dapat berikan bantuan.

S: Ada pihak mendakwa Datuk Seri memimpin UMNO mengikut selera sendiri?

J: Selama ini, keputusan yang saya buat tak pernah meminggirkan Biro Politik dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT). Hatta, ketika kami buat keputusan bersama Pakatan Harapan (PH) membentuk Kerajaan Perpaduan, ia ambil waktu panjang dan tempoh notis untuk mesyuarat cuma kurang 12 jam. Saya dapat pandangan 56 ahli MKT ketika itu dan 54 daripada mereka setuju untuk bersama dalam Kerajaan Perpaduan, cuma dua tak setuju. Itu bukan keputusan saya, tetapi keputusan MKT. Keputusan itu bukan sekadar mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong, tetapi juga demi masa depan UMNO.



Bayangkan kalau kami bersama pihak yang tidak dapat mewujudkan kerajaan, saya tak fikir kami ada daya tahan dalam kalangan kepemimpinan dan ahli UMNO untuk menjadi pembangkang. Kami ada pengalaman 22 bulan (sebagai pembangkang), ramai bersemangat, tetapi kami tahu budaya pembangkang ini bukan budaya UMNO. Sebab itu, saya cari jalan, (membentuk kerajaan) bersama-sama Perikatan Nasional (PN) dan memberi kepercayaan kepada salah seorang naib presiden (UMNO) untuk jadi Perdana Menteri.

Tetapi pada ketika itu tempoh pembubaran parlimen dilewat-lewatkan di mana sepatutnya paling ideal selepas kita mencapai lebih tiga perempat pada PRN Melaka atau selepas PRN Johor apabila memang majoriti dua pertiga. ”

Namun, beliau tangguhkan (PRU) sehingga hampir setahun. Ketika itu, musuh politik serang kami dari pelbagai sudut dan biaya pengkhianat dalam parti. Akhirnya kami lemah dan selepas kalah PRU15, kepemimpinan UMNO dipersalahkan, sedangkan keputusan dibuat oleh MKT dan Biro Politik. Saya jelaskan, saya tak pernah buat keputusan politik bersendirian, tetapi secara kolektif.

S: Ada juga ahli MKT dilihat tidak sependapat, mengkritik dan melakukan protes kepada Datuk Seri, seolah-olah sengaja mengundang parti mengambil tindakan?

J: Adakah sebarang pemecatan berlaku walaupun didakwa MKT akan memecatnya? Kami tidak bincang pun soal individu itu dalam MKT. Jika berani datanglah dalam mesyuarat dan jelaskan kepada MKT, kenapa berkokok di luar? Saya pernah beri peluang kepada individu itu untuk jadi ketua penerangan. Hakikatnya, dia menang sebagai ahli MKT selepas mendapat ‘endorsement’ perwakilan, bukan atas lantikan.

Jadi buat sahaja pencerahan, mudah buat pencerahan dengan datang sahaja mesyuarat, kenapa bercakap di luar? Buat pencerahan di dalam (mesyuarat MKT), saya santuni perbezaan pendapat. Saya guna pendekatan ‘sahsiah Islamiah’, ada adab dalam tangani perbezaan, ada tatacara dan tatasusila untuk tangani perbezaan pendapat, bukan ‘baling batu sembunyi tangan’.

S: Mengenai soal pengampunan untuk Najib, apa pendirian parti?

J: UMNO sudah buat keputusan dalam MKT dan perhimpunan agung berhubung permohonan pengampunan Najib. Dalam hal ini, kuasa penentu adalah Yang di-Pertuan Agong. Memorandum sudah diserahkan kepada Tuanku dan Lembaga Pengampunan. Kita tak boleh memaksa, tapi kita sudah berusaha. Kita perlu letakkan kepercayaan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengambil keputusan kerana baginda pengerusi Lembaga Pengampunan. Najib yang saya temui ketika di mahkamah atau ketika lawatan, beliau kata mahu bantu UMNO dan menyatakan I want my family back, itu sahaja dari beliau.

Maka apa yang kita perlu khuatirkan? Saya dengan Najib lebih lama berbanding orang lain dalam UMNO. Saya jadi setiausaha politik Najib sejak 1 Oktober 1987 dan sehingga sekarang, saya tak pernah lari dari beliau.

S: Pemilihan parti akan datang, adakah lebih ramai muka baharu akan diketengahkan?

J: Pemilihan UMNO lalu, berapa ramai muka baharu dipilih? Ada 43 peratus muka baharu dalam MKT. Dalam EXCO Pemuda UMNO, hampir 70 peratus muka baharu dan dalam Puteri UMNO, 93 peratus muka baharu. Dalam Wanita yang tiada had umur (keahlian), 50 peratus muka baharu. Di mana dakwaan kami tak bersikap terbuka dalam perkara ini. Saya tidak sekat (sesiapa pun bertanding) naib presiden.

Malah, yang dilantik dalam MKT juga lebih 80 peratus muka baharu dan pemimpin muda. Saya tak takut kepada pemimpin muda kerana saya pernah jadi ketua pemuda. Inilah ketikanya, masa sesuai untuk kemukakan muka dan darah baharu yang dapat memberikan kesinambungan kepemimpinan UMNO. Mereka yang ada potensi dan apabila tiba masa, mereka boleh memimpin, kita akan serahkan, jangan khuatir. Jangan pernah menongkat langit walaupun selama 22 tahun menjadi presiden UMNO dan pengerusi BN. Zaman itu sudah berlalu dan kini berilah peluang kepada orang lain. Saya tidak berhasrat berada dalam kepemimpinan UMNO untuk 22 tahun sama macam seseorang itu.

S: Melihat kedudukan UMNO hari ini, apa harapan Datuk Seri?

J: Saya tidak hanya berdoa, tapi berusaha terlebih dahulu, baru berdoa. Kalau harap berdoa sahaja, mungkin tak makbul kerana Allah minta kita berusaha dulu untuk capai sesuatu. Saya mungkin tak segarang sekarang seperti ketika menjadi menteri dalam negeri sebelum ini. Ketika itu, sasaran saya penjenayah, tapi dalam politik, tak boleh guna pendekatan sama. Apabila tak garang, saya dianggap lemah, tak mengapa, itu hanyalah persepsi. Apa yang saya lakukan sekarang adalah buat ‘engagement’ dengan semua.

Saya santuni semua, terutama mereka yang berbeza pendapat dan dalam kalangan yang tak rapat dengan saya. Ini saya buat supaya mereka tahu saya adalah wakil mereka. Saya menang (presiden UMNO) adalah atas pilihan perwakilan. Saya pernah ditentang dua orang lain dan saya menang dengan meyakinkan. Malah gabungan undi Tengku Razaleigh Hamzah dan KJ (Khairy Jamaluddin) tak dapat menyamai undi (diperoleh) saya.

Apabila Perhimpunan Agung UMNO buat resolusi jawatan presiden dan timbalan presiden tak ditandingi, saya kata itu kehendak perwakilan. Jika saya penting diri, sudah tentu saya fokus kepada jawatan presiden tak ditandingi, bukan jawatan timbalan presiden.

S: Masih adakah ruang untuk kumpulan pengkhianat UMNO dimaafkan, kembali diterima parti?

J: Ibu bapa saya tak mewariskan UMNO kepada saya. UMNO kepunyaan semua orang Melayu. Kita ambil dasar terbuka, asalkan mereka yang khianati parti itu sanggup melakukan taubat nasuha, masuklah balik, janganlah masuk untuk sambung buat khianat lagi, ketepikan itu semua. Dalam perkara ini, orang boleh lihat keikhlasan. Apabila orang itu mahu bertanding (pilihan raya) di kawasan (kerusi) lama, jika tak diterima, kita boleh lihat. Pergi ke Kuala Pilah pun tak diterima, ke Port Dickson pun tak diterima. Akhirnya ke Sungai Buloh dan selepas isi borang pencalonan, terus hentam presiden dan tetap tak menang pun. Kononnya keluar sekejap, tapi mungkin lama kot.

S: Ada pihak mendakwa kerjasama UMNO dalam Kerajaan Perpaduan hanya di peringkat atasan, tidak di akar umbi?

J: Dulu kita ada Muafakat Nasional (MN). Berapa lama kita ambil proses itu? Hampir dua tahun. Berapa ramai orang UMNO waktu itu tak setuju (parti bekerjasama) dengan PAS. Selepas itu, siapa yang tipu UMNO? PAS juga. Selepas kami bentuk cantik-cantik, apa PAS buat? PAS ini kita tengok, suka kahwin kontrak, kahwin mutaah, ‘banyak kali kahwin’ dan bila mereka rasa lain macam saja, mereka tinggalkan (rakan kerjasama). Mereka mahu kami ikut kehendak mereka sahaja.

Dengan Kerajaan Perpaduan ini baru sembilan bulan, berilah masa dulu. Kalau bercinta dulu, jika kahwin, sudah ada keserasian. Ini tiba-tiba kahwin dan baru nak bercinta selepas kahwin. Baru cukup sembilan bulan, adakah terus lahirkan anak? Apa yang berlaku kini, kita lihat sudah cukup baik. Saya lihat di bahagian dan cawangan sudah ada keserasian.

Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)

S: Adakah Datuk Seri puas hati prestasi agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW)?

J: Saya tak berpuas hati selagi petunjuk prestasi utama (KPI) tak capai 100 peratus. Saya tak guna pendekatan konvensional saja, Saya mahu melakukan pendekatan bagi perubahan drastik iaitu akan terus kekalkan prinsip lama dan tambah elemen baharu. Ini penting kerana kementerian ini menyantuni 8.1 juta penduduk luar bandar atau hampir 25 peratus daripada seluruh penduduk negara ini. Agenda kita dengan melakukan transformasi, bukan hanya bawa infrastruktur ke kawasan luar bandar, tapi juga mewujudkan pemikiran urbanisasi di kawasan berkenaan supaya tak wujud jurang besar di antara penduduk desa dengan penduduk bandar dan pinggir bandar.

S: Bagaimana dengan fokus keusahawanan desa?

J: Dalam aspek ini, kami bekerjasama dengan Kementerian Keusahawan dan Koperasi. Bagi usahawan mengeluarkan produk dan perkhidmatan halal, kami bekerjasama dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri. Bagi Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia. Latihan keusahawanan generasi muda, kami bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pendidikan.

Tidak harus jadi tanggungjawab satu kementerian saja dan orang lain tak boleh masuk atau bersama-sama.

S: Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara, apa hala tuju program TVET?

J: Pada masa ini, ada 1,344 institusi TVET merentasi 12 kementerian. Sekretariat TVET diletakkan secara langsung di bawah Pejabat Timbalan Perdana Menteri untuk memudahkan pelarasan dan kursus kepada kumpulan sasaran. TVET bukan hanya tawar kursus di bawah KKDW dan agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) atau agensi kemajuan wilayah lain. Saya melihat pasaran baharu, bukan hanya kursus menjahit dan gunting rambut biarpun kursus itu masih perlu. Kita harus melangkau jauh lagi. Umpamanya kerjasama kursus TVET untuk maahad tahfiz. Ketika ini ada 17 maahad tahfiz melaksanakan TVET dan menawarkan diploma, ijazah, sarjana serta ijazah kedoktoran.

Bidang ditawarkan termasuk kejuruteraan dan kemahiran yang pelbagai, sesuai dan mengikut kehendak pasaran. Ini sudah dilakukan dengan kerjasama Institut Teknologi Penerbangan Malaysia Universiti Kuala Lumpur (UniKL MIAT).

S: Bagaimana Datuk Seri melihat trend Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) enggan lanjut pengajian, tetapi pilih bekerja dalam bidang e-panggilan dan gig ekonomi?

J: Kita tak guna kelulusan SPM untuk masuk TVET. Mulai tahun depan, kita wujudkan pusat pengambilan TVET. Tahun ini dan tahun depan, kita sasarkan 250,000 peserta daripada pelbagai bidang. Pusat ini seperti Unit Pengambilan Universiti (UPU). Kita sediakan kursus memenuhi, ikut minat mereka mengikut Sijil Kemahiran Malaysia (SKM). Lulusan TVET ditawar peluang menyambung pengajian kemahiran sehingga diploma, ijazah pertama.

Ini pendekatan baharu dan sasaran kita, tidak ada lagi keciciran mereka yang tidak bersekolah sehingga Tingkatan Empat dan Lima. Kita sasarkan mereka mendapat mobiliti sosial secara vertikal melalui pendidikan supaya beroleh pekerjaan dan membantu keluarga.

S: Bagaimana penerimaan untuk program TVET di maahad tahfiz?

J: Kita bekerjasama dengan Yayasan Pinta (Yayasan Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan) yang mengendalikan, menaungi maahad tahfiz di seluruh negara. Namun hanya 1,300 maahad tahfiz berdaftar, selebihnya tak berdaftar kerana tak penuhi kriteria ditetapkan.

Saya diminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melaksanakan pelarasan membantu maahad tahfiz di seluruh negara melalui Pelan Maahad Tahfiz 2.0. Kami punya jalinan rapat dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), KPM dan KPT untuk merealisasikan program ini.

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Ziela Jalil kena sabotaj?

PA Ebit dah bersama Caprice, makin panas

Berdosa ke jadi janda, soal Fauziah

Hidung aktres wanita rosak ditipu ‘beautician’ menyamar doktor

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker