Terus suarakan keperluan reformasi PBB

Terus suarakan keperluan reformasi PBB

Kritikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada kuasa besar dunia dilihat lebih mengejar cita-cita mendapatkan status antarabangsa lebih tinggi hingga mengetepikan fungsi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hakikatnya mendedahkan isu struktural badan dunia itu memerlukan reformasi menyeluruh terutama lima kerusi tetap Majlis Keselamatan memiliki kuasa veto.

Bukan rahsia lagi tiga negara terbabit, iaitu Amerika Syarikat (AS), Russia dan China berada di kerusi hadapan dalam perlumbaan mengekal dan menguasai hegemoni kuasa, sekali gus memiliki kelebihan dalam percaturan geopolitik dunia.



Peringatan Perdana Menteri bahawa falsafah semua negara berdaulat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah mewujudkan dunia lebih demokratik berdasarkan kesaksamaan dan keadilan dipegang pada awal penubuhan mengambil pengajaran daripada dua perang dunia sudah musnah, sepatutnya menjadi ‘panggilan kejut’ supaya PBB melaksanakan pembaharuan drastik, sistematik serta penjajaran semula tanpa bertangguh. Ini kerana jurang antara pertumbuhan ekonomi dengan pendapatan semakin menjarak, manakala iktisad global terus dibelenggu ketidaktentuan geopolitik, gangguan rantaian bekalan, kenaikan harga komoditi serta keadaan kewangan mencabar yang boleh memporakperandakan kestabilan antarabangsa.

Kita akui teguran Malaysia itu bukan wacana baharu dalam keperluan reformasi PBB, tetapi ia lebih kritikal dalam dunia menghadapi cabaran eksistensial terhadap kewujudan tamadun dan kemanusiaan itu sendiri daripada pandemik kesihatan yang penularan lebih pantas akibat kemajuan pengangkutan dan krisis ekonomi global yang sistemnya saling berkait didorong kepesatan digital hingga ketegangan geopolitik cepat terpicu kerana perlumbaan senjata lebih canggih serta gugatan kecerdasan buatan (AI) terhadap semua aspek kehidupan manusia. Ia diburukkan lagi dengan krisis perubahan iklim yang semua negara termasuk Malaysia sudah mula terkena tempiasnya yang ironinya kegagalan menangani fenomena alam luar biasa itu turut berpunca daripada kegagalan negara maju menunaikan komitmen menyediakan AS$100 bilion setahun.

Justeru, kita meminta kritikan Perdana Menteri tidak terhenti di pentas Perhimpunan Agung PBB (UNGA), sebaliknya Malaysia perlu meneruskan usaha menyuarakan agenda reformasi badan dunia itu kerana walaupun perubahan dalam skala besar dianggap hampir mustahil, sudah ada beberapa penyesuaian dibuat termasuk menjadikan prosedur gerak kerja Majlis Keselamatan lebih telus dan akauntabiliti. Malaysia perlu menjadikannya sebahagian agenda tumpuan bersama negara lain memiliki kekuatan kuasa lunak terutama dalam kalangan Dunia Selatan dan dunia Islam kerana kita percaya kuat ikan kerana radai, kuat burung kerana sayap, kuat ketam kerana sepit.

Pada masa sama, kita mengingatkan kerajaan sendiri untuk melipatgandakan usaha dalam melaksanakan reformasi dalam negara sendiri sama ada dalam konteks tadbir urus dan tatakelola atau ekonomi hijau berdasarkan agenda Malaysia MADANI dan Ekonomi MADANI yang turut disentuh Perdana Menteri dalam Kenyataan Negaranya di UNGA itu, selain pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) sebagai islah alam sekitar dalam menghadapi perubahan iklim. Kita percaya suara Malaysia pasti akan didengari negara lain sekiranya berjaya menunjukkan teladan terbaik, sekali gus memiliki kredibiliti yang tidak boleh dipertikaikan dalam soal reformasi menyeluruh. BH



Terus suarakan keperluan reformasi PBB

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Noor Nabila, Engku Emran sah bakal bercerai



Malu apa Ketua Pembangkangku

Bakal suami Puteri Sarah?



Nelissa trauma diraba di set penggambaran



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker