Turunkan bendera parti, kibarkan Jalur Gemilang

Kehangatan Pilihan Raya Negeri (PRN) minggu lalu semakin reda dan kini perjalanan politik di enam negeri terbabit memasuki fasa berikutnya, iaitu pembentukan kerajaan.

Usai PRN, bendera parti bertanding sudah diturunkan dan dikemas jentera parti, mungkin akan digunakan semula pada pilihan raya seterusnya selepas ini.

Warna-warni bendera parti kini bertukar kepada kibaran Jalur Gemilang yang dapat dilihat di premis persendirian, perniagaan serta bangunan kerajaan. Betapa negara kini menghampiri tarikh keramat 31 Ogos iaitu sambutan Hari Merdeka Ke-66 tahun disambut di seluruh negara dan setiap rakyat.

Namun, kira-kira dua minggu sebelum mencapai tarikh keramat 31 Ogos, amat kurang dilihat Jalur Gemilang dikibarkan di kediaman. Situasi ini amat berbeza jika dilihat di negara jiran terutama di Indonesia.

Di negara itu, semangat patriotik warganya boleh dikatakan amat luar biasa. Mereka mengibarkan bendera negara dengan bangga dan megah.

Hakikatnya, setiap rumah di negara ini amat digalakkan mengibarkan Jalur Gemilang menjelang sambutan hari kemerdekaan yang disambut setiap tahun bermula 15 Ogos hingga 16 September bagi tujuan tertentu.

Pertamanya, mengibarkan Jalur Gemilang mampu meningkatkan semangat perpaduan rakyat berbilang kaum dalam komuniti. Aktiviti memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang boleh diadakan secara bergotong-royong bersama penduduk, sekali gus memberi peluang kepada ahli komuniti berinteraksi secara aktif.

Peluang ini patut dimanfaatkan penduduk setempat untuk mengambil kesempatan mengukuhkan persefahaman, kebersamaan dan mewujudkan masyarakat peduli sesama penduduk dalam kalangan komuniti. Masyarakat peduli ini boleh mengurangkan kesan himpitan sara hidup dalam komuniti, ‘ringan sama dijinjing, berat sama dipikul’.

Kedua, ia bertujuan mendidik generasi muda hari ini menghayati kemerdekaan. Lazimnya, di sekolah atau institusi pendidikan tinggi (IPT) mengatur bermacam-macam aktiviti untuk mengisi sambutan kemerdekaan negara namun, tidak ramai berpeluang menyertainya atas kekangan masa dan belajar.

Justeru, aktiviti memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang ini bukan sekadar melihatnya berkibar, bahkan amat penting untuk menyuntik kesedaran generasi muda mensyukuri nikmat kemerdekaan yang membolehkan semangat keharmonian antara kaum dipertahankan dan mewujudkan kestabilan negara.

Mengibarkan Jalur Gemilang di setiap rumah adalah peluang mendidik generasi kini menghayati erti kemerdekaan ibarat kata pepatah, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Dalam hal ini, ibu bapa memainkan peranan penting memberikan galakkan kepada anak untuk memperingati serta menghayati makna kemerdekaan.

Ia tidak terbatas dengan hanya mengibarkan Jalur Gemilang, malahan menggalakkan mereka menghasilkan Jalur Gemilang mengikut kreativiti mereka.

Ketiga, mengibar Jalur Gemilang adalah langkah mudah menyemarakkan semangat rakyat cintakan tanah air. Rakyat pasca merdeka tidak merasai keperitan orang terdahulu mengangkat senjata berjuang, berkorban dan berpolitik semata-mata mahu mempertahankan kedaulatan tanah air membebaskan negara daripada cengkaman penjajah. Bahkan ada yang sanggup mengorbankan nyawa.

Semarak semangat kemerdekaan

Benar, zaman berubah dan bentuk ancaman juga tidak sama ketika kita semua merentasi garis masa kehidupan. Namun, semangat ini perlu dijaga dan pelihara supaya tidak lenyap ditelan zaman. Ia perlu diperkukuh dan disemarakkan seiring dengan peredaran masa.

Sekiranya semangat ini dibiarkan, tidak dijaga atau terus terpendam, dibimbangi tidak ada apa lagi yang tinggal untuk dibanggakan generasi akan datang sekiranya semangat kemerdekaan tanah air tercinta ini lenyap ditelan zaman.

Justeru, menjadi tanggungjawab setiap rakyat memelihara kedaulatan tanah air daripada ancaman dalaman dan luaran. Jika bukan kita, siapa lagi akan peduli? Maka, semangat cintakan tanah air perlu lahir dari dalam masyarakat dan ia perlu sentiasa disuburkan pelbagai kaum terutama mereka yang mendakwa negara ini milik kita bersama.

Menjelang sambutan ulang tahun kemerdekaan negara, pernahkah kita bertanya kepada diri sendiri apakah sumbangan kita sebagai rakyat untuk kemakmuran negara. Wajarkah rakyat masih bertanya apakah sumbangan negara kepada kemakmuran rakyat seperti dikecapi selama ini sehingga hari ini. Tepuk dada tanya selera.

Penulis adalah Pegawai Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat Universiti Putra Malaysia

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Norreen Iman bakal disaman resort terkemuka Johor

Farid Kamil balas foto pegang tangan Diana Danielle

Pesawat terhempas: Saya sudah mati jika pecut – Pemilik dashcam (Video)

Tak sanggup tengok arwah merangkak sebut nama Allah – Saksi pesawat terhempas (Video)

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker