KJ jangan emosi, kena sabar
Penulis sering melihat dan mengikuti perkembangan serta pandangan Khairy Jamaluddin (KJ), bekas Ketua Pemuda UMNO khususnya menerusi podcast beliau bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.
Perbezaan pandangan dan kebebasan menyuarakan pandangan patut dialu-alukan, namun pendekatan beliau berhujah dalam isu tertentu dilihat terlalu beremosi dan terkeluar daripada landasan rasional semata-mata dengan sikap amarah beliau kepada kepemimpinan UMNO mengetepikan beliau.
KJ ada menulis di dalam artikel disiarkan ‘Fulcrum’ terbitan ISEAS-Yusof Ishak Institute (ISEAS) yang mana beliau kini adalah Felo Pelawat Kanan institut berkenaan.
Bekas Menteri Kesihatan itu turut mengkritik dasar ekonomi dan kekecewaan orang Melayu terhadap isu 3R (Raja, Kaum dan Agama) dibawa Datuk Seri Anwar Ibrahim sepanjang tujuh bulan menjadi Perdana Menteri.
Sebagai bekas Felo Pelawat institut sama, tidak sepatutnya KJ berbicara ketika dirinya dalam situasi marah. Ini kerana dalam kemarahan akan mencetuskan idea bercanggah antara satu sama lain dan lebih berhasrat bukan untuk membina, tetapi menghancurkan perkara baik cuba dibina pentadbiran sekarang dan juga dirinya.
Sebagai contoh, mengulas mengenai hala tuju ekonomi negara selepas diambil Anwar, KJ mengungkitkan isu kos sara hidup. Hakikatnya, isu dibangkitkan rakyat sekarang kebanyakannya adalah bukan perihal kos sara hidup, tetapi lebih kepada kos gaya hidup seperti pernah dijelaskan Profesor Ulung, Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin.
Ramai rakyat Malaysia khususnya golongan kelas menengah cuba mengekalkan cara hidup mereka dengan berbelanja tinggi berbanding pendapatan mereka. Hakikat sebenarnya, ada inisiatif diusahakan kerajaan sekarang untuk meringankan beban rakyat.
Antara inisiatif itu adalah Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Menu Rahmah dan subsidi haji serta elektrik dikekalkan kepada golongan berpendapatan rendah dan menengah. Miskin tegar seramai 130,000 orang akan cuba ditangani tahun ini juga.
Kerajaan juga berusaha mengurangkan pergantungan kepada import makanan dan paling penting cuba memerangi rasuah serta menyelesaikan hutang berjumlah RM1.5 trilion.
Dalam hal ini, KJ perlu bersikap adil menilai perancangan kerajaan dan tidak boleh secara sembrono mengkritik. Ini kerana bukan mudah mengurangkan kos sara hidup dalam masa singkat. Ia memerlukan perancangan teliti dan ketegasan dalam tindakan dasar yang memerlukan masa untuk diuruskan.
KJ juga mengkritik Anwar dikatakan gagal menangani kemarahan orang Melayu khususnya dalam isu 3R. Persoalan ingin tanyakan, Melayu mana dirujuk KJ? Adakah Melayu daripada Perikatan Nasional (PN) dan penyokong mereka.
Jika merujuk kepada Melayu PN, jelas sekali mereka tidak menyukai Kerajaan Perpaduan kerana tidak dapat membentuk kerajaan dan terpaksa menjadi pembangkang.
Secara umumnya orang Melayu melihat secara rasional usaha dilakukan Anwar meskipun banyak langkah penambahbaikan boleh dilakukan.
Dalam isu membabitkan institusi Raja, tidak nampak ada Raja Melayu menolak pendekatan pentadbiran Anwar. Semuanya mempunyai hubungan baik dengan Anwar dan Kerajaan Perpaduan.
Dalam isu agama, Anwar juga membawa pendekatan Malaysia MADANI yang ideanya berasaskan elemen keIslaman inspirasi sejarah zaman Nabi Muhammad SAW dan Piagam Madinah.
Isu kalimah Allah juga diselesaikan dengan baik, merujuk semula kepada Majlis Raja-Raja untuk diselesaikan. Dalam isu kaum, Kerajaan Perpaduan menentang sebarang cubaan membawa agenda perkauman ekstrem di dalam kerajaan dan negara.
Pendekatan politik bersederhana cuba dibawa Anwar dan Kerajaan Perpaduan. Namun, rakyat bimbang agenda 3R mungkin dibawa pihak tidak bertanggungjawab seperti mana berlaku ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) November tahun lalu.
Kita tidak mahu melihat isu komunis, kristianisasi, pengaruh Yahudi, syurga-neraka dan kafir mengkafir digunakan untuk menakutkan orang Islam dan bukan Islam untuk memancing undi.
Isu populariti Anwar juga dibangkitkan KJ. Tidak dapat dinafikan, Anwar adalah pemimpin paling popular berbanding pemimpin lain pada masa kini. Ini normal di dalam situasi sekarang kerana Perdana Menteri akan memperoleh perhatian rakyat secara keseluruhannya.
Isu gelombang hijau
Namun, satu yang menarik daripada pandangan KJ ialah beliau melihat gelombang hijau sebagai kurang relevan masa kini. Mungkin KJ sedar faktor gelombang hijau semakin reda dalam berhadapan dengan PN ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri nanti.
Namun begitu, tidak salah untuk mengkritik, tetapi KJ harus memberikan jawapan alternatif terbaik bagaimana untuk menyelesaikan isu rakyat seperti kos hidup, kemiskinan dan rasuah. Sekiranya tiada alternatif diberikan, pandangan KJ tidak jauh seperti pandangan tentera siber yang kurang atau tiada impak.
Satu perkara harus dijelaskan, KJ dilihat terlalu beremosi apabila membicarakan mengenai UMNO khususnya kepemimpinan parti seperti Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Hakikatnya KJ masih sayangkan UMNO, cuma beliau tidak boleh menerima kepemimpinan UMNO sekarang. Serangan KJ ke atas Anwar sebenarnya banyak tertumpu kepada kesediaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menerima Ahmad Zahid dalam kerajaan.
Perlu diingat, Kerajaan Perpaduan ini adalah hasil cetusan idea Yang di-Pertuan Agong selepas tiada parti mampu membentuk majoriti mudah di Parlimen pasca PRU15.
Mempersoalkan Ahmad Zahid masih belum menerima hukuman di mahkamah adalah tidak adil kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu yang mana kepemimpinan beliau diperlukan dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan.
Sikap amarah KJ ini kepada kepemimpinan UMNO menyebabkan beliau menjadi individu pendesak yang mengkritik kepemimpinan nasional terkait dengan isu peribadi beliau sendiri. Mungkin lebih baik isu peribadi dan politik kenegaraan dipisahkan supaya idea KJ boleh digunakan secara konstruktif untuk membantu rakyat.
Yang pasti, KJ memerlukan platform politik untuk meneruskan karier politik beliau. Platform Podcast Keluar Sekejap adalah platform sementara. KJ tahu platform terbaik bagi beliau sebenarnya bersama UMNO semula, bukan bersama PN mahupun PH atau menubuhkan parti sendiri.
Sebagai orang muda, KJ harus redakan kemarahan beliau. Ini kerana beliau akan melakukan keputusan salah dan kurang bijak apabila membuat keputusan ketika marah.
Kalau keputusan salah dibuat, beliau akan menyesal selama-lamanya. Hanya orang tertentu memahami dan faham isi hati nurani beliau.
Namun, jalan terbaik bagi KJ ialah terus mengkritik dan memberi pandangan secara konstruktif, mengawal emosi dan mencari sahabat boleh dijadikan orang tengah untuk menyelesaikan masalah beliau dengan kepemimpinan UMNO sekarang.
Dalam politik, musuh bukan selama-lamanya, meskipun kawan pun bukan selama-lamanya. Yang penting istiqamah di dalam perjuangan. Ini kerana perjuangan bukan mengutamakan kepentingan diri, tetapi adalah untuk kemaslahatan umum.
Penulis adalah Profesor Politik dan Hubungan Antarabangsa di Universiti Utara Malaysia (UUM)
Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda
Baca Artikel Menarik:
- Inspektor Sheila digantung kerja, lapan kertas siasatan dibuka – Saifuddin
- Kopi eksklusif Jacu daripada najis burung RM8,000 sekilogram
- Identiti 5 penumpang kapal selam Titan didedahkan
- Pelakon Curang Dengan Isteri Drummer
- Dulu asyik pertikai, bila jadi kerajaan tak tahu buat – Shahrir
- Masalah kebocoran usus bukan berpunca bariatrik – suami Rohana
- Bekas teman wanita pemain bola sepak Sabah ditahan
- Rundingan dengan BN mudah, tidak seperti PAS – PKR
- Telefon Ebit Lew ada sejarah layari laman web lucah – Juruanalisis Kanan Polis
- Alif Satar dijemput menunaikan haji tahun ini bersama isteri
- Muhyiddin hipokrit, sesumpah politik – UMNO Johor
- Hannah Delisha Didakwa Pakai Seluar Sehingga Nampak Bentuk
- Dua suspek pukul pekerja 7E ditahan
- Sila kecam – Shatirah Amanda
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
“Dah Cerai Lagi Teruk Perangai”- Bekas Menantu Zainal Abidin
You must be logged in to post a comment.