Tun kah, Datuk Seri kah, siasat tetap siasat – Anwar

Tun kah, Datuk Seri kah, siasat tetap siasat – Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, sejak mengambil alih jawatan Perdana Menteri ke-10 pada November tahun lalu, beliau tegas dalam pentadbirannya membersihkan negara daripada perasuah dan penyangak.

Katanya, beliau juga bertegas dalam pembayaran cukai oleh golongan maha kaya dan pemimpin yang mengumpul kekayaan hasil harta rakyat secara tidak betul.

“Saya buat kenyataan dengan tegas, saya tidak peduli. Kamu kayakah, kamu bilionairkah, kamu berniaga dapat untung besar atau kecil kamu punya pasal, cukai tetap bayar. Tak bayar, kamu jaga. Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) cari kamu.

“Kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga saya kata begitu. Kalau ada yang ambil harta rakyat ratus juta, bilion (ringgit) selama puluhan tahun, kamu siasat.

“Kepada Peguam Negara, kamu dakwa. Kepada Ketua Hakim, kamu jatuhkan hukuman. Sistem apa ini? Kenapa (sebelum ini) sistem negara tidak berani bertegas begini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Perdana Menteri bersama Penjawat Awam Negeri Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua-ketua jabatan, Anggota Exco Kerajaan Negeri dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Tegas Anwar, beliau mengeluarkan arahan itu kepada badan penguatkuasa tanpa mempedulikan siapakah yang bakal terlibat dengan siasatan penyalahgunaan kuasa, dan penyelewengan harta kerajaan serta rakyat.

“Saya, dengan kuasa yang ada, saya tak peduli.. kamu Tun ke, kamu Datuk Seri ke, salah (tetap) siasat.

“Ini kerja SPRM, LHDN, Bank Negara Malaysia dan Bahagian Jenayah Komersial untuk siasat. Saya tidak akan campur tangan sama sekali urusan hakim kerana saya sudah pertahankan prinsip negara hukum (iaitu) badan kehakiman terus bebas.

“Saya tak boleh takut. (Ada) orang ugut? Ya. Semua kelompok-kelompok yang maha kaya berkumpul? Ya. Mereka tandatangan proklamasi? Ya. Apa saya peduli. Lawan tetap lawan,” tegas beliau.

Anwar menjelaskan, beliau tegas kerana mahu mengembalikan maruah Malaysia sebagai negara hebat di rantau ini.

Beliau turut menceritakan perbualannya dengan beberapa pihak, yang persoalkannya bekerja begitu kuat sedangkan usia sudah mencecah lebih 70 tahun.

“Ada orang tanya saya kerja kuat sangat kenapa? Kamu bukan muda lagi. Saya jawab, nasib saya. Setelah bertarung sekian lama (dipecat dan dipenjarakan) hinggakan kakitangan Penjara Sungai Buloh sudah menjadi sebahagian keluarganya.

“Kemudian apabila saya diberi amanah sebagai Perdana Menteri, saya diuji lagi dengan jumlah hutang negara berjumlah RM1.5 trilion.

“Saya boleh, sepertimana dijawab oleh mantan perdana menteri dan mantan Menteri Kewangan dulu-dulu kata, apa salahnya? Tak cukup duit? Hutang saja, pinjam lagi. Negara kita masih boleh pinjam, ada sukuk, ada bon, tapi ini tidak bertanggungjawab,” katanya.

Katanya, kalau beliau meneruskan tradisi berhutang, siapakah yang akan bayar kemudian hari?

“Yang nak bayar (nanti) siapa? yang nak bayar itu anak-anak kita. Apa akan jadi pada negara ini kalau ada pimpinan yang rasa ada masalah, tak apa, ini dah dekat pilihan raya, belanja sebanyak mungkin, hutanglah sebanyaknya. Itu dianggap pengurusan ekonomi meleset.

“Oleh itu, saya tak mahu tambah hutang. Kita harus kurangkan hutangnya. Defisit ini maknanya belanja lebih daripada pendapatan. Misalnya, gaji RM1,000 belanja RM1,200. Itu maksud defisit dalam negara.

“Nak faham ekonomi ini tidak susah, kena faham ekonomi keluarga. Berapa pendapatan? Katakan RM5,000. Beban hutang, belanja semua sekali RM5,800. Kalau lebihan RM800 itu beli pelaburan, kedai dan sebagainya, okey selamat. Kalau RM800 itu kerana beli peti ais, berlian untuk isteri, itu nak lingkup namanya,” ujar beliau.

Perdana Menteri berkata, beliau harus bertanggungjawab sebaik mengambil alih kerajaan perpaduan.

Ujarnya, daripada defisit 5.6 peratus sehingga pelabur asing hendak datang melabur dalam negara pun takut, malah mereka akan tanya apa tindakan kerajaan untuk mengatasinya.

“Walaupun dahulu ada (perdana menteri) umum beratus bilion projek masuk.. (dakwaan) itu tak betul. Pusing satu Malaysia kata mereka dah bawa masuk (projek).. mana? Bawa ke hotel?

“Sebab itu dalam Belanjawan Madani, saya turun defisit daripada 5.6 peratus kepada 5 peratus. Walaupun jumlah itu tidak berapa baik lagi, tetapi kalau saya turun banyak sangat, nanti sekolah daif tak boleh baiki, parit tak boleh bersihkan.

“Kita kena fikir semua ini, lalu kita buatlah secara bertahap (berperingkat). Contohnya, tarik subsidi elektrik untuk golongan kaya dan tarik subsidi haji kepada golongan yang berpendapatan RM20,000, RM50,000 sebulan,” katanya.

Beliau sekali lagi mengulangi pendirian bahawa penarikan subsidi elektrik tidak melibatkan golongan M40 dan B40, begitu juga subsidi haji.

“Ada yang tuduh saya tarik subsidi untuk orang pergi haji. Kita tarik subsidi kepada orang yang paling kaya. Orang yang gaji RM20,000, RM50,000 sebulan, tapi masih diberi subsidi oleh Tabung Haji. Tak payahlah.

“Nak pergi haji, nak dapatkan haji mabrur, bayar lah (sendiri). Kepada yang M40, B40 kita kekal beri subsidi, masih sama subsidinya seperti dulu.

“Ini yang kita lakukan, rakyat kena faham. Mengapa kita buat? Kerana kita mewarisi satu sistem ekonomi yang sudah rosak,” katanya. MG

Tun kah, Datuk Seri kah, siasat tetap siasat – Anwar

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Perempuan Itu ‘panas’

‘Fitnah Kepala Otak Kau!’ Lufya Warning Dedah Video ‘Sejarah Hitam’ Bekas Suami

Wan Rosdy sebak kenang nasib Najib

Lelaki dakwa lihat makhluk asing tinggi 3 meter

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker