Polis tolak saya sambil acu pistol, arah saya ambil beg di hujung katil – Ismahalil

Polis tolak saya sambil acu pistol, arah saya ambil beg di hujung katil – Ismahalil

Bekas penyampai radio, Ismahalil Hamzah memberitahu Mahkamah Tinggi, hari ini, bilik di tingkat satu kediamannya di Jalan Semarak, di sini, di mana beg mengandungi dadah ditemui boleh diakses oleh orang ramai termasuk juruhebah Bapakku FM, kru, pihak pengurusan kedai dan tetamu.

Ismahalil, 50, mula memberi keterangan membela diri, hari ini, atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis, dua tahun lalu.

Dia memberi keterangan bersumpah menerusi pernyataan bertulis sebagai saksi pembelaan pertama pada prosiding di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin yang dijadualkan didengar sehingga esok.

Dalam pernyataan bertulis yang dibacanya, bilik itu bebas digunakan juruhebah untuk berehat dan menunggu giliran ke udara, bersolat dan mengecas telefon bimbit.

“Sesiapa pun bebas masuk dan keluar dari bilik itu dan saya juga tidak tahu beg mengandungi dadah itu kepunyaan siapa.

“Ini kerana jam 5.35 petang, pertama kali saya masuk ke bilik itu kerana sebelum itu saya baru saja balik dari kampung dan terus bersembang dengan Hazril, Teha, Iera, Eddy, Ezuan, Nazarudin dan isteri saya, Nor Haslinda.

“Saya terus naik ke atas dan masuk ke dalam bilik untuk mengambil tikar sembahyang kerana saya belum sembahyang Asar dan beberapa saat kemudian bilik diserbu polis.

“Saya ingin tegaskan di sini, juruhebah kru dan pihak pengurusan kedai jualan produk Bapakku FM datang untuk bertugas atau selepas selesai akan melepak di situ untuk berehat, melepaskan lelah dan melakukan aktiviti seperti sembahyang, tidur atau berehat.

“Sejujurnya dalam pengetahuan saya ada antara mereka ini meninggalkan barang peribadi seperti beg, jaket dan komputer, telefon bimbit, beg tangan dan juga beg galas dalam bilik dan ianya adalah di luar pengetahuan saya beg yang dirampas itu kepunyaan siapa,” katanya.

Dia yang juga pengasas Bapakku FM berkata, sebelum tangkapan, dia berehat bersama-sama beberapa juruhebah lain di anjung bawah sebelum bertolak ke konti radio di Mukut, Pulau Tioman.

Dia kemudian ke bilik berkenaan untuk menunaikan solat Asar sebelum pintu diketuk oleh sekumpulan lelaki berpakaian preman yang memperkenalkan diri sebagai polis.

Tertuduh berkata, mereka meluru masuk bersama seorang lagi kru, Ismail Zukri yang ketika itu dalam keadaan bergari dan menggeledah sebelum bertanyakan `mana beg’.

“Saya tidak nampak langsung beg itu, pegawai polis itu menolak saya dari belakang sambil mengacukan pistol dan mengarahkan saya mengambil sebuah beg yang terletak di hujung katil.

“Saya kemudian digari dan dibawa ke balai polis serta ditunjukkan kandungan beg mengandungi dadah. Saya terkejut kerana tidak mengandungi kewujudan dadah di dalamnya,” katanya.

Pada sesi pemeriksaan utama oleh peguam belanya, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar, Ismahalil berkata, dia tidak mengetahui apa kesalahan yang dilakukan ketika polis mengacukan pistol ke arahnya.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad pada sesi pemeriksaan balas, Ismahalil berkata, tombol pintu bilik sudah rosak manakala rumah enam bilik itu disewa sejak 2016 dan dia tidak pasti bayaran sewa kerana semuanya diuruskan oleh isteri.

Noor Dayana turut mencadangkan tertuduh seolah-olah meletakkan kesalahan pada pihak polis apabila mendakwa dia dianiaya walhal ketika serbuan, hanya dia seorang dalam bilik berkenaan.

Ismahalil tidak bersetuju dengan cadangan Noor Dayana yang menyatakan dia menipu ketika menyatakan polis membawa orang awam ketika menangkapnya.

Sementara itu, isteri tertuduh, Nor Haslinda Abdul Manaf, 50, ketika memberi keterangan turut menyatakan bilik berkenaan digunakan oleh pihak lain dan bukan eksklusif untuk suaminya.

Bagaimanapun, dalam pernyataan kepada polis pada 30 Ogos 2021, saksi pembelaan keempat itu berkata, bilik itu hanya digunakan oleh suaminya untuk berehat dan kali terakhir mengemasnya pada 1 Ogos 2021 serta tidak lagi memasuki bilik itu sehingga suaminya ditangkap.

Pada peringkat itu, pihak pendakwaan memohon untuk mengemukakan Nor Haslinda sebagai saksi belot (hostile witness) kerana keterangannya di mahkamah bercanggah dengan pernyataan yang diberikan kepada polis.

Muhammad Jamil bagaimanapun memutuskan percanggahan itu kecil dan tidak material serta pihak pendakwaan boleh mencabarnya pada pemeriksaan balas.

Seramai empat saksi pembelaan dipanggil hari ini termasuk Nor Haslinda serta rakan Ismahalil iaitu Hazril Ibrahim yang turut ditahan polis ketika kejadian.

Ismahalil mengaku tidak bersalah atas dakwaan mengedar kanabis seberat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju di sini, pada 5.35 petang, 27 Ogos 2021.

Pendakwaan mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan. HM

Polis tolak saya sambil acu pistol, arah saya ambil beg di hujung katil – Ismahalil

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Tumbuk muka kekasih, gara-gara tak dapat pinjam kereta

Kau ingat hamba abdi kau ke – Reen Rahim

Netizen balun Jabatan Perdana Menteri, tak tahu beza antara padi dan gandum

Pulau Pinang milik Kedah, jadi tiada isu sempadan – Sanusi

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker