PAS masih buka pintu seluasnya buat UMNO untuk kembali kukuhkan Muafakat Nasionnal

PINTU untuk UMNO kembali mengukuhkan semangat kerjasama politik bersama Pas di bawah piagam Muafakat Nasional (MN) masih terbuka luas meskipun penyertaan mereka dalam Kerajaan Perpaduan seolah-olah menoktahkan hubungan berkenaan.

Pengerusi Sidang Assabiqun Pas Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, meskipun berulang kali dikecewakan UMNO, Pas masih meletakkan sekelumit harapan agar UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan kembali menjayakan agenda penyatuan ummah yang diusahakan selama ini.

Ujarnya, kemungkinan UMNO kembali mempertimbangkan kerjasama MN pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri bukan perkara mustahil lebih-lebih lagi setelah Mahfodz percaya Perikatan Nasional (PN) akan menguasai sokongan pengundi Melayu.



Menurutnya, dakwaan mengatakan Pas bersikap membelakangkan UMNO dalam menjalin kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menyertai PN secara rasmi juga adalah tidak benar kerana kedua-dua parti itu hakikatnya sedia maklum hasrat Pas hendak menyatukan parti-parti Melayu di negara ini sejak awal penubuhan MN.

“Sehingga kini, tiada pihak sama ada dari UMNO mahu pun Pas yang mengumumkan pembubaran MN secara rasmi dan saya melihat itu perkembangan positif menandakan semangat penubuhan MN oleh dua parti utama Melayu itu berkemungkinan masih boleh dijayakan.

“Dengan Pas masih kekal berperanan menjayakan agenda perpaduan ummah, kami tidak boleh menolak sebarang kemungkinan kalau UMNO hendak kembali semula mengukuhkan MN.

“Agenda perpaduan ummah adalah sangat penting bagi Pas, mendahului kepentingan politik parti dan atas faktor itu, saya percaya tiada masalah untuk Pas menghulurkan tangan kepada UMNO untuk kembali dalam MN jika benar-benar ikhlas mahukannya,” katanya kepada Sinar Premium.



Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengenai kegagalan piagam MN antara UMNO dan Pas sebelum ini seharusnya dijadikan pengajaran agar tidak berulang dalam gabungan Kerajaan Perpaduan.

Sebelum ini berlaku ‘perang mulut’ di antara pemimpin UMNO dan Pas susulan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu bukan rumah tumpangan sementara waktu oleh mana-mana parti sehingga boleh dipergunakan mereka demi kepentingan politik peribadi.

Hal ini berikutan kenyataan tokoh veteran DAP, Lim Kit Siang yang menawarkan Pas untuk menyertai Kerajaan Perpaduan sebagai solusi menjaga keharmonian kaum di negara ini susulan parti Islam itu dituduh memainkan sentimen ras dan keagamaan dalam meraih sokongan pengundi Melayu pada PRU15.

Pada masa sama, Ahli MKT UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi turut menempelak Pas dengan mengatakan parti itu yang sering mencari peluang untuk ‘menumpang’ di rumah orang lain.



Mengulas lanjut, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu turut melihat unjuran keputusan PRN di enam negeri kelak dijangka memantapkan lagi kedudukan PN, menguatkan lagi keyakinan bahawa UMNO mungkin memerlukan opsyen tambahan untuk menjamin kelangsungan politik mereka.

“Berdasarkan analisis Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan trend sambutan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Perdana Menteri di enam negeri, Pas yakin peluang PN untuk mengekalkan pentadbiran di negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu semakin cerah bahkan ada kemungkinan kita mampu menguasai Selangor.

“Atas faktor itu, kita tidak boleh ketepikan kemungkinan UMNO mahu kembali perkukuh MN jika kerjasama di peringkat Kerajaan Perpaduan tidak berhasil pada PRN enam negeri.

“Untuk kuasa politik orang Melayu-Islam kekal dominan, suka atau tidak kerajaan itu mesti didominasi parti-parti yang memiliki ahli Parlimen Melayu Islam,” tegasnya.



PELAN B

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berpandangan, seandainya hasil keputusan PRN di enam negeri kelak bakal selari dengan PRU15 yang tidak memihak kepada UMNO-BN, beliau tidak menolak kemungkinan sebahagian pucuk kepimpinan BN bakal menilai kembali opsyen memelihara semula kepentingan MN.

Hal ini kerana beliau melihat strategi kembali memperkukuhkan MN mungkin boleh dijadikan ‘Pelan B’ oleh pucuk kepimpinan UMNO sekiranya formula kebersamaan dalam Kerajaan Perpaduan tidak berjaya diterjemahkan di peringkat akar umbi pasca PRN enam negeri.

“Dalam konteks PRN enam negeri, hakikatnya UMNO-BN yang berdepan tekanan menggunung dalam membuktikan nilai mereka kepada Kerajaan Perpaduan berbanding parti-parti lain termasuk PH.



“Ini disebabkan mereka harus menongkah arus keputusan PRU15 dan membuktikan gelombang penolakan pengundi Melayu terhadap UMNO-BN bakal dinafikan.

“Jika keputusan PRN selari PRU15, itu mungkin memberi isyarat kepada kepimpinan BN bahawa mereka perlu kembali menilai kepentingan memelihara MN sekiranya Kerajaan Perpaduan tidak work out (berfungsi dengan stabil),” ujarnya.

Lebih parah, Hisommuddin turut mendedahkan hasil kajian lapangan Ilham Centre berkenaan hubungan pemindahan sokongan penyokong BN kepada PH dan sebaliknya dalam tempoh lima bulan pembentukan Kerajaan Perpaduan masih tidak menunjukkan sebarang peningkatan positif.

Jelasnya, faktor utama isu itu berlaku disebabkan akar umbi BN masih kurang diberi penjelasan mengenai relevan BN menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas seteru utama mereka, DAP dalam membentuk Kerajaan Perpaduan.



“Situasi ini akan menyebabkan tekanan kepada kepimpinan BN sekarang untuk menilai semula hubungan parti itu dalam Kerajaan Perpaduan semakin tinggi.

“Dengan PH juga dijangka mengukur sama ada kehadiran UMNO-BN benar-benar memberi nilai tambah kepada koalisi Kerajaan Perpaduan, BN perlu mengambil keputusan drastik mengenai hala tuju mereka selepas PRN enam negeri, sama ada berbaloi untuk kekal bersama DAP yang ditolak Melayu atau memilih opsyen lain yang lebih sihat,” tambah beliau.

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Anwar: The Untold Story jauh mengatasi Mahathir: The Journey

Telan pil Viagra nak ‘main lama’, warga emas temui ajal

Rafizi datang lagi kini dengan formula PADU

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker