Siap siaga hadapi ramalan El Nino kuat Jun ini

Siap siaga hadapi ramalan El Nino kuat Jun ini

Persediaan awal bagi menghadapi fenomena El Nino kuat yang diramal berlaku Jun ini perlu dilaksanakan segera dengan membabitkan dua pemegang taruh utama negara iaitu kerajaan dan rakyat untuk meminimumkan impak fenomena itu.

Pakar alam sekitar, Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman, berkata walaupun Malaysia pernah beberapa kali mengalami fenomena itu, persiapan awal meliputi semua aspek perlu bagi mengelakkan kepanikan melampau.



Beliau berkata, berdasarkan rekod setakat 2015, El Nino pernah melanda negara sebanyak 12 kali iaitu sejak 1951 hingga 1952 dan kejadian yang paling teruk ialah pada 1997 hingga 1998 apabila catatan suhu tertinggi 40.1 darjah Celsius direkodkan di Stesen Meteorologi Chuping, Perlis pada 9 April 1998.

“Justeru, persediaan kerajaan adalah memantau semua aras air sungai dan empangan, mengaktifkan pelan tindak balas kecemasan, meneroka sumber air alternatif, menggalakkan orang ramai dan industri menjimatkan penggunaan air, serta melakukan penghasilan awan dan menyediakan sokongan logistik.

“Seterusnya mempertingkatkan segala bentuk bantuan perubatan dan kecemasan seperti ubat-ubatan untuk mangsa selain alat bantuan memadam kebakaran sekiranya berlaku kebakaran,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Untuk rakyat pula, Haliza berkata persediaan perlu dibuat dari sudut mental dan fizikal bagi menghadapi sebarang kemungkinan seperti krisis air yang menyebabkan langkah seperti catuan air di sesetengah kawasan mungkin terpaksa dibuat sekali gus memberi impak terhadap aktiviti manusia.



“Setiap dari kita harus mengelak daripada melakukan sebarang aktiviti yang boleh menyebabkan kebakaran. Bahan-bahan mudah terbakar perlu disimpan dengan baik manakala aktiviti pembakaran terbuka seperti membakar sampah, sisa pertanian dan sisa pembinaan perlu dielakkan.

“Ini bagi menghindarkan berlakunya pencemaran udara yang boleh menyebabkan jerebu. Sekiranya berlaku kebakaran terbuka, ia perlu dilaporkan segera kepada pihak berkuasa bagi tindakan lanjut,” katanya.

Semalam, media melaporkan fenomena El Nino kuat dijangka bermula Jun apabila keadaan cuaca akan berubah disebabkan kehadiran monsun barat daya yang cuacanya dicirikan dengan keadaan kering dan panas.

Berdasarkan laporan tinjauan cuaca bagi tempoh Mei hingga Oktober yang dipaparkan di portal Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), kebanyakan model iklim antarabangsa menunjukkan kitaran atmosfera di kawasan tropika konsisten dengan keadaan El Nino Southern Oscillation (ENSO) adalah neutral.



Bagaimanapun, laporan itu memaklumkan keadaan neutral yang sedang berlaku itu dijangka akan memasuki fasa El Nino pada Mei hingga Julai ini dengan kebarangkalian 62 peratus.

Sementara itu, Pakar Kesihatan Persekitaran, Prof Dr Juliana Jalaludin, berkata bagi mengelakkan berlakunya strok haba ketika fenomena ini, selain banyak minum air, rakyat dinasihatkan untuk memakai pakaian berwarna terang dan ringan serta mengelakkan aktiviti fizikal.

“Selain itu, sentiasa menggunakan pelindung matahari seperti memakai pelindung matahari spektrum luas dengan SPF (Faktor Perlindungan Matahari) 15 atau lebih jika berada di luar rumah kerana selaran matahari menjejaskan keupayaan badan untuk menyejukkan diri,” katanya.

Beliau juga berkata rakyat tidak digalakkan meninggalkan sesiapapun di dalam kenderaan yang tidak bergerak kerana suhu dalaman boleh meningkat lebih daripada 11 darjah Celsius dalam masa 10 minit apabila berada di bawah matahari.



Penasihat Pertubuhan Kesihatan Awam Malaysi,a Datuk Dr Zainal Ariffin Omar pula berkata, fenomena El Nino akan meningkatkan risiko penyakit berkaitan dengan bawaan vektor seperti denggi dan malaria, serta penyakit bawaan air dan makanan seperti tifoid dan penyakit saluran pernafasan.

Katanya antara persiapan yang boleh dilakukan rakyat bagi menjaga kesihatan masing-masing adalah menyimpan air serta makanan yang sihat dan mencukupi selain memperbanyakkan berteduh di kawasan seperti pokok dan bumbung jika keluar dari rumah.

Dr Zainal Ariffin turut menyarankan kerajaan untuk memastikan perkhidmatan bekalan air awam yang cukup dan cekap, bekalan makanan segar dan murah mudah didapati dan memberi amaran awal kepada rakyat semasa melalui fenomena itu. BH

Siap siaga hadapi ramalan El Nino kuat Jun ini



Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Bergegar-gegar Watie naik kuda (Video)



Hattan vs Nursyazwani: Niat betul cara salah

Suami Heliza jawab tuduhan sebagai scammer

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker