Nikotin vape Malaysia lebih tinggi daripada UK

Nikotin vape Malaysia lebih tinggi daripada UK

Kekurangan undang-undang berkaitan pemantauan cecair vape di negara ini menyebabkan kandungan nikotin dalam produk berkenaan melebihi had sepatutnya dan sukar untuk dikawal.

Pusat Pengajian Perubatan dan Kaji Hayat, Universiti Sunway memaklumkan, kebanyakan produk vape di negara ini mengandungi sehingga 22 miligram (mg) nikotin bagi setiap perisa.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Dr Amar Daud Iskandar Abdullah dan Prof Dr Long Chiau Ming, berkata kekuatan maksimum yang dijual di United Kingdom dan Australia hanya sekitar dua peratus atau 20mg nikotin bagi setiap mililiter (mL) cecair.

“Berdasarkan kekuatan nikotin yang diiklan di negara ini, terdapat sebanyak 22mg nikotin setiap mL bagi isi padu tiub 60mL (kira-kira empat sudu besar) cecair vape dan ia sudah melebihi had maut.

“Berdasarkan rujukan perubatan, had maut daripada nikotin yang ditelan oleh orang dewasa ialah antara 60mg hingga 500mg. Bagi kanak-kanak dengan berat kurang daripada 20 kilogram, pengambilan kurang daripada 1mL larutan nikotin dengan kepekatan nikotin yang tidak jelas, boleh menyebabkan kesan yang serius seperti sawan, kekeliruan, tekanan darah rendah, kesukaran bernafas dan kematian.

“Kes sedemikian pernah dilaporkan di beberapa negara dan ibu bapa telah didakwa akibat kecuaian,” katanya dalam kenyataan.

Mereka berkata, di negara ini cecair vape boleh didapati dengan mudah di secara dalam talian mahupun kedai runcit yang bungkusan serta reka bentuknya sering disalah anggap sebagai jus atau minuman buah-buahan.

“E-cecair yang digunakan dalam peranti vape mengandungi bahan kimia berbahaya, termasuk nikotin yang bukan sahaja berbahaya ketika dihidu tetapi juga apabila ditelan atau terdedah kepada kulit.

“Penting bagi ibu bapa untuk meningkatkan kesedaran anak mereka mengenai bahaya vape dan e-cecair berkenaan supaya kanak-kanak ini tidak terpedaya untuk membeli atau mencuba produk berkenaan kerana mudah menjadi ketagihan,” katanya.

Mereka berkata, hanya beberapa titisan cecair vape boleh menyebabkan simptom berkaitan otak dan jantung yang ketara pada kanak-kanak.

“Jika anda mengesyaki seorang kanak-kanak termakan e-cecair secara tidak sengaja, dapatkan rawatan perubatan segera dan bawa mangsa ke hospital terdekat serta memberikan sokongan saluran pernafasan, bagi mengelakkan kegagalan pernafasan, kerana nikotin cepat diserap oleh badan sebaik sahaja tertelan.

“Mangsa mungkin mengalami sejumlah besar muntah yang dapat membantu menghalang penyerapan nikotin selanjutnya. Jangan cuba mengubati sendiri menggunakan tablet arang yang tersedia secara komersial, kerana ini boleh melambatkan rawatan.

“Penjaga juga diingatkan untuk menunjukkan kepada doktor mengenai pembungkusan botol cecair itu, bagi mengenal pasti ramuan dan kepekatan nikotin. Penting untuk ambil perhatian tiada penawar khusus untuk merawat dos berlebihan nikotin,” katanya.

Mereka berkata, botol cecair itu juga tidak mempunyai ciri ketahanan untuk kanak-kanak dan ia boleh diusik dengan mudah.

“Perokok harus memastikan pelupusan yang betul bagi peranti vape dan e-cecair terpakai untuk mengelakkannya daripada terus ke tangan kanak-kanak.

“Cecair vape yang tidak digunakan tidak boleh dibuang melalui air buangan tetapi hendaklah dihantar ke farmasi terdekat dengan tong pengumpulan sisa ubat yang betul,” katanya.

Mengulas lanjut, cecair itu bukan sahaja bahaya kepada kanak-kanak bahkan memberi risiko kepada wanita hamil yang terdedah kepada nikotin.

“Apabila wanita hamil terdedah kepada nikotin, sama ada melalui cecair vape atau asap, nikotin boleh diserap oleh badan, seterusnya disalurkan melalui plasenta kepada janin yang sedang berkembang.

“Nikotin boleh menyebabkan kecacatan kepada perkembangan pada janin sekiranya wanita itu terdedah semasa kehamilan kerana kandungan nikotin itu mudah dipindahkan ke janin sepanjang kehamilan dan juga boleh didapati dalam susu ibu.

“Ia seterusnya meningkatkan risiko pelbagai kecacatan kelahiran, seperti sumbing bibir dan lelangit serta masalah dengan perkembangan otak dan paru-paru janin,” katanya. BH

Nikotin vape Malaysia lebih tinggi daripada UK

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Kalau Shuib buat perangai, Watie sedia hadapi dugaan

Mira dedah cerita cinta dengan View Chin

Ameera Khan jadi pengantin tahun depan

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker