Percaturan Siti Nurhaliza menjadi

Percaturan Siti Nurhaliza menjadi

Percaturan Datuk Seri Siti Nurhaliza menggandingkan penyanyi tiga generasi pada Konsert Satu Suara Volume 3 di ibu negara, baru-baru ini, memberi aura berbeza terutama buat peminat yang pernah menyaksikan dua konsert di bawah jenama sama, sebelum ini.

Edisi pertama Konsert Satu Suara pada 2010 menyaksikan Siti tampil bersama dua penyanyi rock iaitu Faizal Tahir dan Aizat Amdan. Menyusul lima tahun kemudian, Siti mengundang bintang legenda, Datuk Ramli Sarip dan Hetty Koes Endang dalam konsert berkonsepkan amal itu.



Untuk edisi ketiga, Siti membawa dua penyanyi hebat iaitu Jay Jay yang cukup popular pada era 1970-an dan 1980-an serta Ernie Zakrie yang mewakili angkatan baharu berkongsi pentas dengannya.

Biarpun ketiga-tiga bintang ini menceburi dunia seni pada era berbeza, namun bakat dan pengalaman mereka mencetuskan sinergi yang cukup hebat pada acara yang berlangsung di Mega Star Arena, Sungei Wang Kuala Lumpur itu.

Lebih menarik, konsert itu bagaikan perhimpunan peminat tiga generasi yang sama-sama berhibur sambil melayan nostalgia berdasarkan seleksi lagu dipersembahkan.

Sebagai ‘tuan rumah’, Siti membuka tirai persembahan dengan lagu Aku Penghiburmu dan Siti Situ Sana Sini yang dipetik dari album Transkripsi sebelum menyambung persembahan dengan lagu Kesilapanmu Keegoanmu serta Janji Kekasih.



Pada malam itu, Siti turut memperdengarkan single terbaharu berjudul Sehebat Matahari secara eksklusif kepada lebih 4,000 penonton.

Pentas menjadi semakin hangat dengan sorakan peminat sebaik kelibat bekas vokalis kumpulan Carefree, Jay Jay muncul.

Tampil dengan imej bertopi, berkaca mata hitam dan memetik gitar, Jay Jay membawa memori penonton menelusuri zaman kegemilangan bersama Carefree melalui rangkaian lagu Dendangan Laguku, Belaian Jiwa, Rindu Bayangan dan lagu dipetik daripada album solo, Cukuplah Sekali.

Sebelum menyanyikan lagu Belaian Jiwa, sempat Jay Jay berseloroh menyatakan kebanyakan peminat pasti menyangka dendangan itu milik kumpulan Innuendo yang pernah merakamkannya semula, bukan nyanyiannya.



Seperkara yang menarik mengenai figura ini, biarpun usia mencecah 66 tahun, stamina dan kemampuannya membawa lagu bernada tinggi masih padu. Sebelum ini, Jay Jay dilaporkan mengalami batuk teruk.

Pentas kemudian diambil alih penyanyi bervokal mantap, Ernie yang menyampaikan lagu berjudul Korban, Ku Bersuara dan Boneka.

Walaupun boleh dianggap sebagai ‘adik bongsu’ kepada Jay Jay dan Siti, namun Ernie tidak mensia-siakan peluang dengan mempamerkan persembahan bertenaga terutama daripada aspek vokal.

Pujian wajar diberi kepada isteri penyanyi Syamel ini kerana terus beraksi baik biarpun mengalami masalah kehilangan suara, sehari sebelum konsert berlangsung.



Seperti jenama konsert ini, penyatuan tiga penyanyi terbabit bukanlah untuk bersaing sesama sendiri, sebaliknya, lebih kepada memberikan variasi dalam hiburan buat peminat.

Ini dibuktikan menerusi segmen duet dan persembahan trio dalam konsert tiga jam itu. Siti, Jay Jay dan Ernie cukup serasi menyampaikan lagu berentak joget hingga ruang konsert hingar-bingar dengan sorakan dan tepukan penonton.

Sebagai penganjur, Siti amat berpuas hati dengan konsert anjuran bersama Yayasan Nurjiwa dan Siti Nurhaliza Production (SNP) ini dan menyifatkan acara itu mencapai matlamatnya.

“November lalu, kami berjaya kumpul dana lebih RM1 juta. Malam ini (ketika acara berlangsung), walaupun dengan kutipan satu malam, jumlah diperoleh masih memberangsangkan.



“Terima kasih kepada syarikat korporat dan individu yang banyak menyumbang dana untuk disalurkan kepada rakyat Malaysia yang kurang bernasib baik dan anak-anak Gaza yang memerlukan.

“Biarpun jualan tiket agak perlahan pada mulanya hingga membimbangkan, namun, Siti bersyukur tiket akhirnya habis terjual,” katanya ditemui sebaik konsert berakhir.

Siti memberitahu, sejajar usaha murni mereka itu, Konsert Satu Suara Volume 3 diselang seli dengan tayangan visual memaparkan aktiviti dan program amal dikendalikan Yayasan Nurjiwa. BH

Percaturan Siti Nurhaliza menjadi



Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Qistina Raisah Mahu Puteri Balqis Cerita Hal Sebenar

Kami bukan ramas punggung pun – Aliff Syukri

Pengacara terkenal pilih untuk ‘Free-Hair’ sambut ulang tahun ke-39

Hanya kerana iPhone, wanita muda sanggup jadi pelacur online

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker