Kenapa PH membisu perjanjian ‘land swap’ 1990-an, soal Najib

Najib Razak membidas tindakan Pakatan Harapan mendiamkan diri berhubung 4 perjanjian “land swap” di bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad pada 1997.

Bekas perdana menteri itu berkata, apa yang “menarik” ialah perdana menteri, menteri pertahanan dan kewangan ketika itu, semuanya berada dalam Pakatan Harapan sekarang.

Beliau merujuk Mahathir, Syed Hamid Albar dan Anwar Ibrahim.

Najib mengulas laporan media 4 daripada 16 perjanjian “land swap” yang ditekankan Menteri Pertahanan, Mohmad Sabu pada Khamis lalu, berlaku pada 1997 ketika Mahathir pertama kali menjadi perdana menteri.

“Walaupun kes ini membabitkan kerugian terbesar dan pelanggaran terang-terangan dengan memberi status pegangan kekal berbanding pajakan 99 tahun untuk tanah itu, ini bukan antara kes yang dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta polis oleh Kementerian Pertahanan minggu lalu.”

Beliau turut mempersoalkan tindakan Kementerian Pertahanan mengeluarkan laporan “land swap” itu daripada laman webnya, tidak lama selepas portal berita melaporkan kes itu berlaku pada zaman pemerintahan Mahathir.

“Saya tertanya-tanya kenapa.

“Sebenarnya, kerajaan Barisan Nasional di bawah pemerintahan saya perlu menghabiskan banyak masa untuk menyelesaikan kes-kes ini, termasuk menuntut kerugian akibat projek ini.”

Khamis lalu, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu mendakwa 13 daripada 16 projek “land swap” di bawah pentadbiran BN membabitkan Najib dan bekas menteri pertahanan, Hishammuddin Hussein.

Mat Sabu turut mendakwa kerajaan kerugian lebih RM500 juta akibat perjanjian “land swap” itu.

Katanya, hasil siasatan mendapati berlaku banyak ketirisan, termasuk penjualan tanah pada harga rendah dan projek “land swap” diberikan kepada pemaju tidak berkelayakan.

Bagaimanapun, beliau menafikan Mahathir terbabit dalam perjanjian itu.

FMT cuba menghubungi Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong dan Syed Hamid untuk mengulas isu itu.

Terdahulu, Hishammuddin mencabar penggantinya, Mat Sabu dan Liew membuktikan beliau mendapat manfaat dari segi kewangan dan politik secara peribadi daripada perjanjian “land swap” itu.

“Nasihat saya kepada mereka berdua ialah jangan mengkritik orang lain kerana masing-masing ada silap sendiri.”

Katanya, sebarang siasatan perlu membabitkan semua perdana menteri dan menteri pertahanan.

FMT

Mahathir nak pecat Muhyiddin pula.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker