Muflis, senarai harta benda tak akan dirampas

Muflis, senarai harta benda tak akan dirampas

Barangan keperluan asas dan peralatan pekerjaan milik individu yang berdepan tindakan bankrap akan diberi pengecualian daripada pembahagian di antara pemiutang dalam usaha kerajaan menjaga kebajikan golongan berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata pengecualian itu antara enam perubahan dasar yang dimasukkan dalam pindaan Akta Insolvensi 1967 (Akta 360) yang dijangka dibentangkan di Parlimen, selewat-lewatnya awal bulan depan.

Ini bermakna, jika pindaan itu diluluskan, barangan asas dan keperluan pekerjaan tidak akan dirampas oleh pemiutang melalui Jabatan Insolvensi seperti yang dilaksanakan ketika ini.

Barangan keperluan asas itu merujuk peralatan penting dalam urusan kehidupan harian keluarga individu muflis seperti peti ais, peralatan memasak dan sebagainya, tetapi tidak kepada barangan mewah.

Kelengkapan mencari rezeki harian seperti motosikal yang penting kepada pergerakan penjual aiskrim dan peti sejuk beku untuk menjaja, dianggap peralatan pekerjaan yang diberi pengecualian sama.

Azalina berkata, menerusi pindaan itu, enam perubahan dasar diberi perhatian oleh kerajaan, antaranya memberi penekanan terhadap aspek kebajikan individu bankrap ketika dalam pentadbiran Ketua Pengarah Insolvensi, susulan peningkatan kos sara hidup.

Beliau berkata, antara cadangan pindaan yang penting ialah penambahbaikan untuk memudahkan individu dilepas daripada kebankrapan termasuk membabitkan peruntukan pelepasan secara automatik kerana tiada yang berjaya dilepaskan secara automatik dibuat setakat ini.

“Buat masa ini, Seksyen 33C Akta Insolvensi 1967 yang berkuat kuasa pada 6 Oktober 2017 melalui Akta Kebankrapan (Pindaan) 2017 membolehkan bankrap dilepaskan daripada kebankrapan selepas tempoh tiga tahun bankrap memfailkan pernyataan hal ehwal.

“Namun, tiada pelepasan automatik berjaya dibuat setakat ini. Mekanisme pelepasan automatik ini akan ditambah baik untuk memudahkan individu bankrap dilepaskan dari kebankrapan,” katanya kepada BH.

Ketika pembentangan Belanjawan 2023 ada 24 Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan Akta Insolvensi akan dipinda supaya kes muflis dilepaskan secara automatik pada masa singkat.

Sebelum ini, kerajaan menyatakan pindaan Akta 360 yang akan dilakukan sekali lagi, bakal membolehkan sekurang-kurangnya 130,000 orang daripada 260,000 kes bankrap mendapat pelepasan kebankrapan.

Berdepan cabaran sedia ada

Pada masa sama, Azalina berkata, Jabatan Insolvensi berdepan cabaran sedia ada apabila tiada peruntukan dalam kerangka perundangan berhubung mesyuarat yang boleh diadakan secara maya atau serahan notis dan dokumen secara elektronik dalam pentadbiran aset kebankrapan.

Susulan itu, katanya cadangan pindaan akta itu juga akan turut memperkenalkan peruntukan mengenai penggunaan teknologi maklumat dalam pentadbiran kebankrapan.

“Cadangan pindaan lain turut membabitkan meluaskan lagi pemakaian pengeluaran sijil pelepasan Ketua Pengarah Insolvensi (KPI) mengikut Seksyen 33A Akta 360 untuk membantu bankrap dilepaskan dari kebankrapan.

“Perkara ini boleh dilaksanakan melalui penambahan kategori bankrap yang tidak boleh dibantah pemiutang untuk dilepaskan melalui sijil KPI mengikut Seksyen 33B(2A) Akta 360 iaitu individu bankrap yang menghidap masalah kesihatan mental serta berumur 70 tahun dan ke atas,” katanya.

Pelepasan secara automatik

Mengenai larangan ke luar negara bagi mereka yang bankrap, Azalina berkata ia masih terpakai kerana tiada pindaan berhubung perkara itu dibuat pada masa kini.

“Begitu juga membabitkan peraturan berhubung harta orang bankrap, ia masih akan diletak hak kepada KPI.

“Secara keseluruhannya, perubahan dasar yang dicadangkan melalui pindaan Akta 360 memberikan penekanan kepada pelepasan dari kebankrapan secara automatik dan menyegerakan pentadbiran kebankrapan.

“Selain itu, ia juga memberi penekanan kepada penggunaan teknologi maklumat dalam pentadbiran kebankrapan dan aspek kebajikan bankrap,” katanya.

Berhubung perincian seramai 130,000 daripada 260,000 kes mendapat pelepasan kebankrapan, Azalina berkata, ia membabitkan kes mengikut pindaan Seksyen 33C Akta Insolvensi 1967 di mana kes bankrap dapat dilepaskan secara automatik dalam masa yang singkat.

Beliau berkata, melalui peruntukan ini, individu yang bankrap boleh memohon dilepaskan daripada kebankrapan dalam tempoh tiga tahun dari tarikh pemfailan Pernyataan Hal Ehwal (PHE) dengan syarat tertentu, contohnya penetapan bayaran ansuran bulanan.

Ditanya sama ada perbincangan bersama Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan (MOF) dibuat antaranya bagi memperketatkan syarat pinjaman bagi memastikan kemudahan pelepasan tidak disalahertikan peminjam dengan mengambil ringan soal pembayaran pinjaman, Azalina bagaimana berkata, perbincangan antara pelbagai pihak berkepentingan dalam isu itu akan diteruskan. BH

Muflis, senarai harta benda tak akan dirampas

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Uqasha kesal dituduh pembuli zaman sekolah

Checklist Ramadhan Yang Patut Diamalkan

Penyondol tak berjaya goda saya – Jalaluddin

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker