Lebih 50 saluran TV percuma bakal ke udara?

PUTRAJAYA: Langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengurangkan caj tahunan siaran percuma dijangka menambah banyak lagi saluran baharu.

Malahan, menurut geostrategis, Dr. Azmi Hassan, tindakan agensi itu seperti ‘hadiah’ buat rakyat miskin menikmati puluhan saluran televisyen tanpa berbayar.

 “Saya pun agak terkejut tetapi sudah jangka kerana SKMM telah bertindak menurunkan caj itu beberapa tahun lalu dan kali ini ia adalah paling rendah,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia  semalam.

 Agensi tersebut menerusi Laporan Inkuiri Awam: Reviu Harga Akses bertarikh 16 Februari lepas membuat kejutan apabila mengumumkan pengurangan caj itu bermula tahun ini.

Ia menyaksikan kadar satu saluran sewaan frekuensi multiplexing penyiaran terestrial digital setahun diturunkan lagi kepada harga muktamad iaitu hanya kira-kira RM4,876,006.

Jumlah pengurangan ini juga amat besar berbanding RM6.8 juta pada 2020 dan RM7.4 juta pada 2019, manakala data untuk dua tahun berikutnya, 2021 dan 2022 tidak didedah.

Apa yang menarik, SKMM menerusi laporan setebal 311 halaman itu merendahkan lagi caj pada 2024 pula kepada RM2,952,012 dan kemudian cuma RM1,028,018 pada 2025.

Mengulas lebih lanjut, Azmi berkata, sebelum ini kos penyiaran televisyen percuma cukup mahal dengan kadar mengikut format Definisi Standard (SD) dan Definisi Tinggi (HD).

 “Bayangkan, SKMM pada 2017 pernah mencadangkan caj tahunan untuk satu saluran SD ialah RM7.2 juta dan jika kualiti HD pula dikenakan RM11.4 juta mulai 2018,” katanya.

 Bagaimanapun, syor awal itu ditolak dan agensi tersebut menyeragamkan caj SD dan HD kepada satu jenis sahaja dengan bayaran dimuktamadkan RM6.1 juta bermula 2018.

Justeru, beliau mengunjurkan banyak operator bakal membuka stesen televisyen terestrial di negara ini susulan pengurangan caj tahunan saluran yang ditetapkan pihak SKMM.

Berdasarkan statistik agensi tersebut, terdapat lebih 50 syarikat yang ada lesen Penyedia Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP) namun kebanyakan belum beroperasi lagi.

Mereka ujar beliau, kemungkinan tidak memiliki modal kerja permulaan yang cukup stabil memandangkan operasi tahunan satu saluran kelazimannya pun mencecah RM300 juta.

Sehubungan itu jelas Azmi, inisiatif SKMM dijangka menarik pemegang CASP untuk mula melancarkan saluran televisyen percuma dan merancakkan lagi industri kreatif tanah air.

 “Lihat contoh negara jiran kita apabila siaran analog ditutup dan beralih kepada televisyen terestrial digital (DTT), puluhan saluran baharu wujud dengan saingan meriah,” katanya.

 Ketika ini, ada 16 saluran terestrial ditawarkan kepada sejumlah 6.2 juta isi rumah yang menggunakan perkhidmatan digital percuma MYTV sejak ia dilancarkan rasmi pada 2017.

Sekadar perbandingan, jumlah saluran DTT di Malaysia dianggap secara signifikan masih berstatus sederhana berbanding dengan situasi industri di Singapura dan Brunei sendiri.

Setakat ini, Singapura cuma ada enam saluran boleh diterima jelas pengguna MYTV di selatan Johor, manakala Brunei hanya ada tiga saluran dan dapat diikuti di timur Sarawak.

Uniknya, penduduk Johor turut mampu menerima 22 saluran DTT dari Indonesia dalam format HD yang dipancarkan melalui menara milik pemerintah di Sekupang, Pulau Batam.

Begitu juga penduduk Perlis, sebahagian Kedah, Perak dan Kelantan yang bersempadan Thailand apabila ‘bertuah’ dapat menonton jelas 27 saluran DTT dari negara jiran tersebut.

 Ia susulan tindakan Suruhanjaya Telekomunikasi dan Penyiaran Nasional Thailand yang meluluskan 48 saluran televisyen percuma tempatan negara itu dalam format HD sahaja.

 Sementara di Indonesia, Kementerian Informasi dan Komunikasi republik itu meluluskan 50 saluran DTT dengan di ibu kota Jakarta, penduduknya menikmati 32 saluran baharu.

MYTV merupakan sebahagian Projek Pendigitalan Penyiaran Nasional bagi merapatkan jurang digital mereka berpendapatan rendah dan tidak mampu menikmati siaran berbayar.

Inisiatif itu dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan matlamat 80 saluran DTT percuma akan dapat dipancarkan dalam jangka masa panjang.-

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Alicia Amin, Dr Farzan sah bercerai selepas dua tahun bersama

Fizz Fairuz kena sembur dengan Along

Kena scam RM1575 untuk screen protector di Petaling Street

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker