Kedah haramkan judi kerana merosakkan masyarakat, bukan kerana rasis

ALOR SETAR – Tindakan kerajaan negeri Kedah mengharamkan operasi premis judi dan loteri di negeri ini bukannya bersifat rasis atau meminggirkan kaum-kaum tertentu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keputusan tersebut dibuat untuk kebaikan semua pihak tanpa mengira latar belakang agama mahupun kaum.

Menurutnya, isu berkenaan tiada kaitan dengan isu perkauman, sebaliknya sengaja dipolitikkan oleh pihak tertentu untuk kepentingan mereka sahaja.

“Ini bukan soal perkauman, saya fikir kita tak patut langsung kaitkan perjudian dengan kaum Cina. Bukan semua orang Cina berjudi, ramai juga yang tidak suka dengan aktiviti itu, tambahan lagi ada kalangan suami kuat berjudi, kemudian balik rumah, pukul isteri.

“Apabila kerajaan negeri tutup premis judi, ada golongan isteri cakap bagus dan ucapkan terima kasih sebab suaminya sudah tidak lagi berjudi sampai habis duit cecah RM50,000. Duit sebanyak itu kalau buat rumah pun dah siap,” katanya dalam sembang santai secara langsung di media sosial TikTok, pada malam Ahad.

Muhammad Sanusi memberitahu, selepas Kedah membuat keputusan tidak lagi memperbaharui lesen perjudian, pihaknya menerima maklum balas positif daripada pelbagai kaum.

“Ada yang ucapkan terima kasih atas inisiatif kerajaan negeri itu yang disifatkan telah menyelamatkan ramai individu daripada terus terjerumus dalam pembaziran.

“Kerajaan negeri hanya ada kuasa berkaitan lesen premis sahaja melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT), jadi saya gunalah kuasa yang ada itu,” ujarnya.

Menurutnya lagi, keputusan kerajaan negeri untuk mengharamkan premis judi di negeri ini turut dihormati kerajaan Persekutuan yang kemudiannya mengharamkan lesen perjudian di Kedah.

“Atas permintaan kita, kerajaan Persekutuan turut tamatkan lesen perjudian di Kedah. Jangan kata di Kedah saja kita tak bagi lesen premis judi, lesen perjudian yang dikeluarkan kerajaan Persekutuan juga ditamatkan untuk Kedah,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi mencabar pihak yang masih membuat ‘bising’ berhubung isu tersebut agar melakukan kajian berhubung pulangan diterima negara apabila membenarkan kegiatan perjudian berbanding kerugian dialami akibat kerosakan yang berpunca daripada judi.

“Cuba tengok berapa pulangan sektor perjudian dalam negara berbanding bencana akibat daripada judi. Berapa nilainya untuk rawat orang sakit mental, masalah keruntuhan keluarga, pengabaian pendidikan anak-anak dan banyak lagi perkara negatif yang berpunca daripada judi.

“Kalau nak kaji, kaji betul-betul daripada setiap sudut. Saya sudah kaji daripada aspek sosial, ekonomi dan agama, semuanya tak sokong sektor perjudian,” tegasnya.

Semua operasi premis perjudian dan loteri di Kedah ditamatkan sepenuhnya susulan keputusan kerajaan negeri tidak lagi memperbaharui lesen perjudian yang tamat tempoh pada 31 Disember lalu.

Bermula pada Januari tahun ini, Muhammad Sanusi mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memantau dengan tegas bagi memastikan semua premis berkaitan mematuhi arahan yang ditetapkan.

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

‘Apa salah saya’, Mahathir tanya pengundi Langkawi

Pelajar perempuan bogel ketika keluar dari kereta selepas kemalangan

Wanita 23 tahun jadi jutawan selepas kerja cuci rumah

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker