Dakwaan sokongan kepada Shahrizat hanya sekadar pecah belah Wanita UMNO

Dakwaan sokongan kepada Shahrizat hanya sekadar pecah belah Wanita UMNO

Dakwaan kononnya seramai 147 Ketua Wanita UMNO bahagian seluruh negara, menyokong supaya bekas ketuanya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, kembali menerajui sayap itu, didakwa tidak benar sama sekali.

Pengarah Komunikasi Wanita Barisan Nasional (BN) dan EXCO Wanita UMNO, Datuk Rosni Zahari, menjelaskan dakwaan sokongan itu sebaliknya mencetuskan kegusaran terhadap keharmonian, kedamaian serta setia kawan dalam sayap parti itu.

“Saya terbaca kenyataan akhbar bertarikh 3 Februari yang dibuat Ketua Wanita Kota Melaka bahawa ada 147 bahagian wanita menyokong Shahrizat sebagai Ketua Wanita UMNO. Selaku orang lama dalam EXCO Wanita, saya sudah buat penyiasatan dan kajian terhadap kenyataan itu yang ternyata tidak benar sama sekali.

“Rata-rata mereka menyatakan kegusaran mereka mengenai keharmonian, kedamaian dan setia kawan dalam parti terutama dalam keadaan UMNO tengah nazak.

“Wanita mahukan kestabilan dalam membina kekuatan dan mengembalikan keyakinan rakyat kepada asas perjuangan UMNO. Rakyat sudah muak melihat perebutan yang tak sudah. Tidakkah kita semua terfikir apa yang difikirkan oleh rakyat di luar sana,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rosni yang berpengalaman berada di bawah kepemimpinan empat peneraju sayap itu sebelum ini, mengakui setiap daripada mereka mempunyai corak kepemimpinan yang tersendiri dan berbeza.

“Apa yang pasti dan nyata, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, diangkat menjadi Ketua Wanita di saat UMNO sangat lemah, tiada kuasa dan tiada wang ringgit apatah lagi harta, tidak sama dengan kepimpinan terdahulu yang semuanya ada.

“Jadi tidak adil kepada Noraini jika ada sesiapa mahu samakan beliau dengan kepimpinan terdahulu. Dalam pada sukar pun, Noraini cuba buat yang terbaik dalam mengarusperdanakan wanita semampu mungkin.

“Ramai Ketua Wanita UMNO bahagian yang berkelayakan berjaya diangkat dan diletak dalam Ahli Lembaga Pengarah (ALP) universiti,” katanya.

Beliau mengingatkan sayap UMNO itu untuk mengelak dengan naratif lama dengan mengulangi kesilapan lalu.

“Jangan ulangi kesilapan lalu di mana anak-anak muda melaungkan rindu zaman Tun M (Tun Dr Mahathir Mohamad), sudah menang pilihan raya, jadi kerajaan 22 bulan ternyata hancur berkecai negara.

“Begitu juga kita dalam wanita, berfikirlah secara waras. Jangan ikut hasutan dan adu domba mereka yang mempunyai agenda dan kepentingan peribadi. Kelak nanti yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran,” katanya.

Katanya, wanita UMNO harus istiqamah, muhasabah diri dan merenung jauh dengan melihat ke mana wanita UMNO mahu dibawa, sama ada bergerak ke hadapan atau mengundur ke belakang.

Ketua Wanita UMNO Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah, dalam satu kenyataan sebelum ini mendakwa seramai 147 Ketua Wanita UMNO Bahagian menggesa Shahrizat kembali menerajui kepimpinan Wanita UMNO Malaysia pada pemilihan bulan depan. BH

Dakwaan sokongan kepada Shahrizat hanya sekadar pecah belah Wanita UMNO

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Campak Botol Wiski Dari Balkoni Ke Jalan Raya (Video)

Lelaki ditahan arah kakak ipar hisap kemaluannya

Wanita tanggal pelitup muka terkejut lintah melekat dalam hidung [VIDEO]

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker